Sabtu, 23 Mei 2009
TEKNOLOGI HIJAU SATU KONSEP TERKEHADAPAN
APABILA Kabinet baru diumumkan, banyak perkara menarik dapat dilihat iaitu daripada segi barisan anggotanya, perspektif pemilihan selain penggabungan dan memberikan nama baru untuk kementerian.
Paling menarik, apabila sebuah kementerian dinamakan Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Ia menunjukkan pemikiran terkehadapan dan keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengguna dan mengetengahkan konsep baru.
Teknologi Hijau telah banyak dibincangkan oleh ahli-ahli akademik, penyelidik malah pembuat dasar. Namun ia mungkin sesuatu yang masih baru bagi rakyat Malaysia.
Teknologi ini bagaimanapun telah lama diamalkan contohnya menerusi penjanaan kuasa hidro bagi penghasilan tenaga elektrik.
Kesedaran untuk menggunakan teknologi ini terus meningkat terutama dengan kemunculan isu pemanasan global dan krisis minyak baru-baru ini.
Namun kita tidak menyedarinya jika tiada takrifan atau penjelasan diberi mengenai apa sebenarnya teknologi hijau itu.
Teknologi hijau mempunyai banyak takrifan dan ia bergantung kepada skop tertentu. Secara umumnya mengikut laman web carian Wikipedia, teknologi hijau juga dikenali sebagai teknologi persekitaran dan teknologi bersih.
Ia bermaksud, penggunaan teknologi yang menjamin pengekalan alam semulajadi dan menjamin persekitaran hidup manusia agar sentiasa bersih dan sihat.
Teknologi ini berkait rapat dengan pembangunan lestari, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pencarian sumber tenaga baru dan pembuatan peralatan atau mesin yang menggunakan tenaga pada tahap optimum serta mesra alam.
Malaysia ialah sebuah negara yang amat mengambil berat tentang alam sekitar. Komitmen dan inisiatif baru ini diharap dapat memperluaskan konsep teknologi hijau sehingga ke tahap penguatkuasaan dan pengwujudan akta berkaitan.
Dalam proses melaksanakan teknologi ini, banyak bidang yang boleh diberi tumpuan dan diperkasakan lagi. Misalnya bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan pencarian tenaga baru.
Meningkatkan penggunaan tenaga solar dan memperkenalkan penggunaan tenaga daripada sumber angin dan ombak juga akan menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau ini.
Sebagai sebuah negara pertanian, Malaysia seharusnya menggunakan kelebihan ini bagi menghasilkan tenaga daripada hasil pertanian dan sisa buangan pertanian. Ia secara tidak langsung akan menyokong penggunaan konsep 'sisa sifar' (zero waste).
Penghasilan tenaga daripada sisa buangan pepejal mesti terus ditingkatkan untuk kepentingan alam sekitar. Teknologi ini banyak dilaksanakan di Jepun.
Sementara itu, konsep bangunan hijau (green building) yang menumpukan kepada penjimatan tenaga, air dan bahan pembuatan haruslah dipertimbangkan untuk dikuatkuasakan dalam pembinaan bangunan di negara ini.
Penjimatan tenaga di bangunan hijau banyak berdasarkan kepada reka bentuk dan penggunaan bahan binaan termaju. Konsep ini telah diterima di beberapa negara maju seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Britain.
Dan sebagai negara pengeluar kenderaan selain mempunyai banyak kenderaan di atas jalan raya, Malaysia juga mesti memikirkan dengan serius untuk mengembangkan penggunaan enjin hibrid.
Ia dapat menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan pencemaran. Di samping itu, penggunaan kenderaan berkuasa elektrik dan bahan api bio juga perlu diberi tumpuan.
Teknologi hijau juga akan membuka ruang kepada para penyelidik untuk meneroka dan memantapkan lagi penyelidikan.
Kita berharap dan percaya dengan iltizam yang tinggi ke arah pelaksanaan teknologi hijau di samping mengekalkan persekitaran hidup yang sihat akan memberi nilai tambah kepada pencapaian ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
Apa yang lebih penting ialah konsep teknologi ini mestilah disedari dan difahami oleh semua rakyat. Promosi mengenai kepentingan dan kebaikan teknologi hijau ini juga perlu diadakan sepanjang masa.
PROF. DR. SAIFOLLAH ABDULLAH
Fakulti Sains Gunaan, UiTM
Sumber:http://www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan