Jumaat, 29 Mei 2009

TIADA LAGI IKON PELAJAR CEMERLANG SPM

Nur Amalina Che Bakri

TENTU ramai yang masih ingat pencapaian cemerlang pelajar SMK Ulu Tiram, Johor, Nur Amalina Che Bakri, yang berjaya mencatat 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004. Kejayaan itu menjadikan Nur Amalina muncul sebagai pelajar yang mencatat 1A paling banyak dalam sejarah SPM, yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pelajar sebelum ini. Sejak kejayaan Nur Amalina itu, ramai pelajar berazam dan mahu menyaingi pencapaiannya, sekali gus mendorong mereka mengambil seberapa banyak mata pelajaran yang termampu di peringkat SPM. Ada calon yang mengambil sehingga 21 mata pelajaran.

Kementerian Pelajaran juga tidak mengehadkan bilangan subjek yang ingin diduduki pelajar ketika itu kerana langkah mereka tidak menampakkan sebarang kesan negatif. Pada tahun-tahun berikutnya menyaksikan beberapa pelajar mencapai kejayaan lebih cemerlang berbanding Nur Amalina. Antara mereka yang cemerlang itu ialah seorang pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan Kedah, Azli Azlan, yang mencatat 20 1A dan 1 2A pada 2007. Pada SPM tahun lalu pula seorang anak nelayan dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Nur Madihah Nik Omar, muncul sebagai pelajar cemerlang dengan mencatat 20 A.

Walaupun pencapaian Nik Nur Madihah tidak dapat mengatasi rekod pencapaian Azlan, namun kejayaannya cukup dikagumi kerana dia datang dari keluarga yang miskin dan bapanya hanyalah seorang nelayan, tetapi segala kekurangan hidup tidak menghalang Nik Nur Madihah untuk mencacat keputusan yang luar biasa. Kejayaan cemerlang pelajar-pelajar berkenaan cukup membanggakan kita, apatah lagi mereka adalah anak Melayu yang kemampuan mereka sering diperlekeh dan dikatakan tidak mampu bersaing dengan pelajar kaum lain. Terbukti terdapat anak Melayu yang mampu mengatasi kaum lain dengan kejayaan yang lebih cemerlang dan secara tidak langsung mereka telah menaikkan imej pelajar Melayu. Kejayaan mereka mendapat liputan meluas semua media tempatan, sekali gus menjadikan mereka dikenali dalam sekelip mata, mengatasi populariti penyanyi terkenal. Nama mereka ‘dijual’ ke seluruh negara dan dijadikan ikon golongan pelajar yang harus dicontohi. Mereka menjadi simbol kegigihan pelajar yang bercita-cita besar dan mahu melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan dalam peperiksaan.

Bagaimanapun tidak semua yang melihat pencapaian membanggakan itu sebagai kejayaan yang sihat. Ada pihak, termasuk pakar motivasi menyifatkan calon yang mengambil terlalu banyak mata pelajaran hanya membebankan diri sendiri dan tidak harus menjadi amalan atau ikutan. Sebaliknya pelajar dinasihatkan memadai dengan mengambil setakat 10 mata pelajaran atau paling banyak 12 mata pelajaran. Perkembangan itu kini bukan saja dikatakan membebankan pelajar, malah mendatangkan masalah kepada Kementerian Pelajaran, terutama dalam membuat tawaran biasiswa kerajaan kepada pelajar yang layak.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya menetapkan pelajarnya hanya boleh mengambil 10 subjek dan sudah pasti pelajarnya tidak dapat menyaingi pelajar sekolah lain yang memberi kebebasan kepada pelajarnya mengambil seberapa banyak subjek yang mereka mampu. Selain itu, mereka juga tidak mahu pelajar terlalu menumpukan kepada pelajaran semata-mata sehingga tidak mempunyai masa untuk membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan menimba kemahiran insaniah yang lain.

Sejajar dengan itu, semalam Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan mulai tahun depan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran. Pengumuman itu adalah susulan daripada kenyataan beliau minggu lalu yang mahu mengehadkan bilangan subjek yang boleh diambil calon dalam SPM. Dengan pengumuman itu, kini sah bahawa selepas ini tidak akan ada lagi pelajar yang mampu mencatat keputusan luar biasa dengan bilangan A melebihi 10 mata pelajaran.

Keputusan itu mungkin akan boleh memudahkan lagi pihak kementerian membuat pemilihan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak. Bagaimanapun langkah berkenaan mungkin sukar untuk dilaksanakan di sekolah aliran agama kerana mereka bukan saja mempelajari subjek biasa berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran, malah mereka juga mengikuti subjek lain termasuk Bahasa Arab serta yang berteraskan keagamaan.

Kita percaya terdapat segelintir pelajar yang kurang bersetuju dengan langkah mengehadkan bilangan subjek kerana keputusan itu dianggap menyekat cita-cita mereka untuk mencatat kejayaan lebih baik berbanding pelajar lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan