Sabtu, 9 Mei 2009

TINTA : PENGORBANAN IBU TIADA PENGHUJUNG

Oleh Fadzlena Jafar

TANGGAL 10 Mei ini kita akan meraikan hari yang cukup istimewa untuk bonda. Walaupun ramai yang mengatakan menghargai ibu bukan hanya sehari kerana jasanya yang tiada ternilai walaupun diberi wang berjuta ringgit, rasanya tidak salah jika kita memilih satu hari untuk meraikan mereka supaya pada hari itu dapat diadakan majlis yang khusus untuknya.

Mungkin pada Ahad ini, anda dan adik beradik lain boleh pulang ke kampung untuk berkumpul dan mengadakan sedikit parti atau majlis doa selamat, atau mungkin juga membawa bonda ke restoran atau bercuti di tempat yang menarik untuk sekeluarga.

Tidak kira apa yang dilakukan, pastikan Hari Ibu ini juga waktu untuk kita menginsafi kembali peranan ibu yang banyak berjasa dalam hidup kita. Segala kepayahan yang diharungi bagi membesarkan kita untuk menjadi insan berjaya dan segala pengorbanan yang dilakukan bagi memastikan kita dapat menikmati kehidupan selesa semestinya dijadikan pedoman dalam hidup kerana ada kalanya apabila sudah berjaya, kita lupa asal-usul.

Pelbagai cerita yang kita dengar mengenai anak yang sanggup menjadi si tanggang pada hari ini, sehingga ada kalanya kita yang mendengar atau membaca kisah berkenaan sedih mengenangkan nasib ibu bapa yang diketepikan. Bukan sekadar diketepikan, malah ada juga yang sanggup menganggap ibu dan bapa itu seolah-olah tidak wujud dalam hidup.

Alasan mungkin diberikan, ibu dan bapa tadi kejam serta tidak menghiraukan mereka ketika kecil. Ada juga yang mengatakan ibu atau bapa mereka, meminggirkan mereka ketika kecil sehingga berasa hati dan tidak dapat memaafkan mereka. Tidak kurang juga yang membenci ibu bapa sendiri kerana tidak merestui kekasih hati sehingga sanggup membuang jauh ibu dan bapa yang pernah bergolok bergadai untuk membesarkan mereka.

Memang benar, kita tidak tahu apa yang terjadi antara insan berkenaan dengan ibunya, tetapi bagi saya tidak kira apa kesalahan yang pernah dilakukan ibu atau bapa, sebagai anak kita seharusnya bersyukur jika tidak kerana mereka, tidak mungkin kita dapat menikmati udara segar dan mengenali kehidupan pada hari ini.

Saya pernah mendengar cerita bagaimana ada ibu yang tidak berkemampuan, tetapi sanggup melakukan apa saja termasuk mengikat perut bagi memastikan dapat memenuhi hajat anaknya demi kasihnya kepada si kecil. Biar baju sendiri tidak pernah bertukar ganti, asalkan anak mereka dapat menggayakan baju baru pada Aidilfitri.

Semuanya dilakukan demi kasihnya pada anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh. Tetapi, ada anak yang seolah-olah tidak pernah berpuas hati dengan apa yang ada dan hanya tahu asalkan mereka dapat memenuhi impian di hati, perkara lain termasuk keperluan ibu tidak diambil kira.

Kata-kata ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ menunjukkan betapa pentingnya kedudukan ibu itu sendiri. Walaupun ada anak hari ini yang memperlekehkan kata-kata itu, satu hari nanti apabila mereka juga bergelar ibu, tentu peritnya akan dirasai jua. Orang kata, hidup ini umpama roda, apa yang kita lakukan hari ini satu hari nanti mungkin akan kembali kepada kita.

Sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan pada Ahad ini, marilah kita kembali menginsafi diri dan menghargai jasa ibu yang sanggup berkorban harta dan nyawa bagi membesarkan kita. Jangan tunggu apabila mereka sudah menutup mata, baru ketika itu menyesali perbuatan lalu.

Ketika itu, menangis air mata darah sekalipun, yang pergi tetap akan pergi. Jadi, pastikan ibu dan bapa anda dapat menikmati keceriaan pada hari tua mereka supaya setiap pengorbanan yang dilakukan mereka, dihargai sewajarnya.

Selamat Hari Ibu!

Sumber :http://www.bharian.com.my/

Nota Hujung:

Buat bonda tercinta,
anakanda, Izzah & cucu-cucumu
sentiasa merinduimu.

Kau bonda yang ceria, prihatin....
tiada dua, tiada tiga....
hanya kausatu-satunya....
insan teristimewa....
kebanggaan kami semua.

Bersempena Hari Ibu ini,
kudoakan kesejahteraanmu
berpanjangan...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan