Oleh Nazmi Yaakub
KETEGASAN ibu bapa mendidik anak dalam budaya Melayu dulu sehingga anak tidak mungkin membawa cerita dihukum di sekolah termasuk dirotan pulang ke rumah masih kental dalam himpunan memori sebahagian masyarakat.
Ini kerana anak yang dihukum sudah maklum bahawa ibu bapa bukan saja tidak akan menyebelahi mereka, bahkan mengiyakan hukuman berkenaan dan sekiranya tidak bernasib baik, rotan akan singgah sekali lagi ke tubuh mereka atau setidak-tidaknya dipiat telinga.
Malah, sesetengah daripada kita masih teringat-ingat kisah bapa sudah menanti di pintu dengan rotan apabila pulang menjangkau waktu Maghrib dan sebaik saja kaki melangkah ke bendul rumah, tanpa banyak soal, terus melibas rotan berkenaan.
Bagaimanapun, pengalaman dalam budaya Melayu itu sudah jarang dialami terutama masyarakat kota sehingga sekiranya anak pulang membawa kisah dihukum di sekolah, sebahagian ibu bapa tanpa usul periksa membuat laporan polis, memanggil pemberita dan berkira-kir menyaman guru serta sekolah.
Perubahan ini disifatkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sharifudin Yusop, sebagai anjakan paradigma Melayu yang songsang.
Ini kerana bangsa Melayu sudah berubah seratus peratus daripada zaman ibu bapa bergantung kepada sekolah untuk pendidikan anak kepada era sekolah dianggap seolah-olah ancaman kepada anak dan keluarga.
Beliau mengimbau pengalaman pendidikannya dalam dekad 1960-an dan 1970-an yang mewarisi semangat era sebelum itu apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan satu rotan berbekalkan ayat, “Cikgu, ini anak saya dan ini rotan. Ajarlah dan didiklah dia asal jangan patah atau buta.”
“Kami tempuh zaman yang sekiranya anak salah di sekolah, maka hukuman di rumah pun tetap salah, tetapi sekarang mereka sanggup melaporkan kes di balai polis dan membawanya ke mahkamah,” kata pakar bidang sosiolinguistik, sosiobudaya, bahasa Orang Asli dan ketrampilan berbahasa.
Baginya hal itu berlaku akibat beberapa dasar dalam sistem pendidikan yang terlalu kebaratan terutama apabila pelajar dihantar ke luar negara untuk mengambil sarjana dan kedoktoran dalam bidang pendidikan, lalu membawa pulang pelbagai teori dan nilai untuk dilaksanakan di sekolah.
Dr Mohd Sharifudin berkata, dasar pelajaran yang banyak dipengaruhi unsur luar dan liberalisasi pendidikan sampai ke tahap tidak boleh bertolak-ansur lagi sehingga peraturan, tindakan dan idealisme berlandaskan budaya serta warisan tidak diambil kira lagi.
“Kegawatan moral yang awalnya bermula di rumah itu, dibawa ke sekolah sehingga institusi pendidikan menjadi tempat untuk memulihkan pelajar, tetapi kuasa tidak diberikan, manakala tindakan sekolah diberi tafsiran negatif seperti mendera dan merosakkan masa depan pelajar,” ujarnya.
Baginya, ibu bapa yang melalui sistem pendidikan berdasarkan doktrin dan idealisme barat, terdedah dengan ilmu psikologi dan sosiologi, tetapi malangnya ia hanya berasaskan idealisme serta teori luar, bukannya Islamik mahupun berunsurkan ketimuran.
“Ia sampai ke tahap rasional dan daya tafsir menjadi keliru apabila kita berasa ibu bapa yang baik, hanya bersifat lembut dan mesra dengan anak, sedangkan dalam menangani remaja, pendekatan lembut melampau tidak boleh digunakan.
“Dasar liberal ini menyebabkan kita tidak membuka peluang untuk mengguna pakai pendidikan agama, sedangkan Islam mengizinkan penggunaan hukuman keras seperti rotan bagi anak yang malas menunaikan solat pada usia 10 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Mohd Sharifudin menegaskan pelaksanaan hukuman tidak boleh seperti dulu yang diberikan tanpa usul periksa, sebaliknya anak perlu diberi peluang untuk menjelaskan tindakan atau kesalahan mereka.
Pensyarah Sosiologi Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fatimah Abdullah, berkata perubahan nilai dalam budaya orang Melayu itu kesan daripada perpecahan struktur sosial apabila ahli keluarga besar tidak lagi tinggal serumah atau berdekatan.
“Dalam analisis sosiologi, manifestasi ini umpama puncak bungkah ais iaitu kawalan sosial secara tidak formal menjadi lemah, kesan perpecahan struktur sosial sehingga kita hidup saling tidak peduli, manakala unsur bantu-membantu dan tegur-menegur tiada lagi dalam masyarakat.
“Tanpa kawalan sosial secara tidak formal, yang tinggal hanya undang-undang, manakala adat, resam dan tatacara yang dulunya kita belajar daripada ibu bapa dan datuk nenek sudah tidak ada lagi,” katanya.
Dr Fatimah yakin bahawa kesibukan ibu bapa dalam kerjaya juga menyebabkan mereka terpaksa memejamkan mata terhadap kesalahan anak kerana kepenatan dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk diluangkan dengan anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan