Selasa, 2 Jun 2009

ISU PENGURANGAN MATA PELAJARAN TERAS SPM

Pendidikan Islam/Moral tingkat jati diri

APAKAH rasional Kementerian Pelajaran untuk mengehadkan pengambilan subjek untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 subjek sahaja? Apakah juga relevannya mengurangkan subjek teras dalam SPM kepada hanya empat subjek berbanding enam sebelum ini?

Seperti yang kita tahu, enam subjek teras SPM ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral.

Selain untuk menimba ilmu, subjek-subjek teras juga merupakan permulaan kepada proses pembentukan menjadi warganegara yang bertanggungjawab, bertoleransi dan tahu asal usul negara bermasyarakat majmuk ini.

Pelajaran seperti Sejarah amat penting untuk pelajar. Begitu juga Pendidikan Islam dan juga Moral. Subjek-subjek ini bagaimanapun perlu tampak signifikan untuk diajar dan bukan hanya sekadar belajar untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Ia mesti dapat diadaptasi dan diaplikasikan di dalam kehidupan seharian pelajar.

Realitinya, pengisian dan pemahaman tulen kepada kandungan subjek itu adalah jauh lebih penting daripada terburu-buru menghabiskan topik-topik di dalam buku untuk menyelesaikan sukatan pelajaran.

Malah, penekanan kepada beberapa topik penting yang sangat relevan kepada negara bermasyarakat majmuk ini juga perlu dipertingkatkan agar mesejnya sampai ke sanubari warga muda negara ini.

Di sini penulis ingin mengesyorkan agar topik-topik di dalam subjek teras seperti Sejarah, Pendidikan Islam/Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris patut juga dikaji semula agar relevan dan lebih padat.

Adakalanya topik di dalam subjek tersebut tidak berapa signifikan dengan perkembangan persepsi warga muda ketika ini. Dalam masa sama, topik-topik yang signifikan untuk mereka sekadar bacaan sambil lalu dan ringan yang hanya untuk dihafal dan bukannya mendatangkan kesan mendalam kepada emosi mereka.

Pendek kata, mana-mana topik yang kurang signifikan kepada pelajar-pelajar perlu digugurkan sahaja. Tidak apa jika sesetengah topik di dalam subjek itu dikurangkan asalkan topik-topik yang tinggal atau dikekalkan, masih relevan dan berkesan.

Maka, topik-topik yang penting seperti perkembangan evolusi negara dan bangsa perlu ditekan dan diperkembangkan dengan harapan pelajar-pelajar atau golongan muda ini dapat menjiwai kerangka pembinaan negara dengan lebih sempurna.

Realitinya, Kementerian Pelajaran masih mempunyai hak untuk membantu membentuk anak-anak bangsa ini menjadi warganegara yang lebih bertoleransi dan sensitif terhadap kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jika mengurangkan subjek teras kepada empat sahaja (kemungkinan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains), Kementerian Pelajaran seolah-olah telah terlepas satu peluang untuk membaja jiwa pelajar-pelajar agar lebih patriotik.

Ini kerana usia muda di zaman persekolahan inilah merupakan tempoh terbaik untuk mendidik kalangan anak-anak ini dengan aspek kecintaan terhadap negara dan jati diri yang tinggi. Ia ibarat melentur buluh sewaktu di peringkat rebung.

Penulis berpendapat subjek Sejarah dan Pendidikan Islam/ Moral patut terus menjadi subjek wajib agar ia dipelajari dan difahami oleh setiap pelajar. Kandungan pelajaran di dalam Pendidikan Islam/Moral mampu menjana naluri pelajar untuk menjadi insan berjiwa murni.

Maka amat penting untuk kedua-dua subjek itu terus dijadikan subjek 'paksaan' kepada pelajar. Ini kerana jika ia dijadikan subjek alternatif, mungkin ramai pelajar yang tidak akan mengambilnya.

Dan jika ia berlaku, maka Kementerian Pelajaran telah terlepas peluang untuk bertindak sebagai organisasi penting dalam membentuk keluhuran jiwa dan emosi warga muda yang masih di bawah lingkungan tanggungjawab kementerian dalam aspek pendidikan itu.

Ayat mudah untuk menerangkan maksud penulis ialah, "tidak" kepada soal pengurangan subjek teras.

Ia perlu diteruskan terutama ketika negara memerlukan usaha keras menyemai dan mempertahankan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum ini.

Seperkara lagi, struktur peperiksaan Kementerian Pelajaran juga perlu lebih fleksibel di dalam menerima pelbagai taraf IQ pelajar. Tidak ada salahnya jika ada pelajar yang mahu mengambil lebih daripada 10 subjek semasa peperiksaan SPM.

Ibu bapa dan guru-guru yang terlibat di dalam proses pembelajaran tersebut pastinya sudah mengkaji dan menganalisis kapasiti pelajar tersebut sebelum menggalakkan mereka mengambil lebih banyak subjek.

Dan penulis pasti ia bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada menilai diri sendiri. Lagi pun, ia adalah satu usaha positif, maka apa salahnya mereka mengambil lebih subjek dalam SPM.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan