Sabtu, 25 Julai 2009

Bahasa Melayu, bahasa Malaysia

Oleh Salbiah Ani
dahiya@nstp.com.my

Apakah perbezaan sudah dilakukan dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara?

SESETENGAH pihak di negara ini menggunakan bahasa Malaysia ketika merujuk kepada bahasa Melayu tanpa menyedari bahawa istilah berkenaan tidak pernah mengambil tempat dalam Fasal 152, Perlembagaan Negara dan penukaran terbabit menuntut pengorbanan besar daripada bangsa Melayu.

Profesor Sosiolinguistik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong, berkata istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini masih kekal dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, meskipun sesetengahnya pemimpin politik dan rakyat merujuknya sebagai bahasa Malaysia.

“Pada 4 atau 5 Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan mengumumkan bahasa Melayu dirujuk sebagai bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri dan keesokan harinya, disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa terbabit,” ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada usaha menukar bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan, meskipun sudah ada penerbit swasta yang menerbitkan, meskipun hakikatnya bahan bercetak terbabit hanya boleh diterbitkan oleh Percetakan Negara.

“Saya dimaklumkan bahawa Perlembagaan Negara kini boleh dibeli di beberapa kedai buku negara ini dan istilah bahasa Melayu dalam bahan bercetak terbabit sudah ditukarkan ke bahasa Malaysia dalam naskhah yang diterbitkan oleh penerbit swasta,” katanya kepada Sastera ketika diminta mengulas istilah yang sepatutnya digunakan.

Baginya, istilah bahasa Melayu tidak boleh ditukarkan kepada bahasa Malaysia selagi usul tidak dibawa ke Dewan Rakyat dan kemudian dibawa ke Dewan Negara untuk didebatkan. Penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agung.

Baginya apabila kerajaan mengumumkan pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ia dilakukan atas tujuan perpaduan kaum dan integrasi nasional dengan matlamat yang murni dan mulia daripada segi zahirnya, tetapi boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya kepada orang Melayu sebagai empunya bahasa.

Prof Teo mengingatkan, hakikatnya dalam bahasa turut terkandung terangkum artifak Melayu, institusi dan organisasi sosial orang Melayu, sikap Melayu, pemikiran dan emosi Melayu, falsafah orang Melayu, budaya Melayu, sejarah bangsa Melayu, sistem kepercayaan dan nilai bangsa Melayu yang terhimpun sejak turun-temurun.

“Saya tidak nafikan sekalipun dikenali sebagai bahasa Malaysia, ia tetap bahasa Melayu, tetapi apakah berbaloi bangsa terbabit mengorbankan pelbagai semangat dan citra yang terkandung di dalamnya. Apakah bukan Melayu memberi balasan yang setimpal dengan pengorbanan itu?” soalnya.

Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia dikatakan berbeza daripada Indonesia kerana bahasa rasmi negara jiran itu diangkat daripada kumpulan minoriti berbanding Jawa yang mendominasi Indonesia dan tidak timbul bantahan kerana ia ia boleh diterjemah sebagai suatu penghormatan besar kepada empunya bahasa.

“Mengikut fitrah linguistik, bahasa selalunya dinamakan mengikut bangsa yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda. Di Malaysia bangsa Melayu dominan dan paksi bangsa di negara ini. Jika namanya ditukar kepada bahasa Malaysia, maka hilang jati diri orang Melayu sebagai kelompok distingtif. Perkara ini perlu difikirkan,” jelasnya.

Timbalan Pengarah, Bahagian Ijazah Tinggi, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, berpendapat Malaysia sewajarnya menggunakan kaedah yang digunakan negara lain dalam penentuan bahasa mereka.

“Negara seperti Australia, England, Kanada dan New Zealand, semuanya menggunakan istilah standard iaitu bahasa Inggeris serta bukannya mengikut nama negara meskipun mereka ada loghat sebutan sendiri. Begitu juga dengan Jepun, Korea dan China. Jadi mengapa Malaysia memilih jalan berbeza,” katanya

Seperti Prof Teo, Dr Nor Hisham mengingatkan bahawa bahasa mewakili bangsa dan situasi bahasa Malaysia di negara ini berbeza daripada Indonesia yang mengangkat bahasa berdasarkan nama negara itu kerana sudah terbukti mereka berjaya mewujudkan bangsa Indonesia.

“Bahasa Indonesia tidak sama dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Indonesia difahami sebagai bahasa yang diucapkan di Riau, satu daripada wilayah di negara jiran itu. Di Malaysia pula bahasa Melayu adalah bahasa bangsa Melayu,” katanya.

Baginya, penukaran istilah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia hakikatnya bagi membolehkan ia tidak melambangkan apa juga suku kaum di Malaysia, tetapi daripada segi realiti, hasrat terbabit tidak menjadi meskipun bangsa Melayu sanggup bertolak ansur ‘menggugurkan’ nama bangsanya.

Dr Nor Hisham mengajak semua pihak untuk menilai realiti di negara ini, iaitu meskipun sudah 52 tahun merdeka, rasa neutral kepada bahasa Malaysia gagal diperoleh daripada kalangan rakyat bukan Melayu dan kerana itu ada wajarnya istilah bahasa Melayu diguna pakai semula.

“Ada rakyat di negara ini yang mahu diiktiraf sebagai Bumiputera, meskipun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka dan tidak beragama Islam. Mereka mahu menuntut hak sebagai Bumiputera, tetapi enggan memakai baju Melayu sebagai busana kebangsaan, apalagi berbahasa Melayu,” tegasnya.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, pula melihat sama ada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia tidak menjadi soal kerana kedua-dua bahasa terbabit, merujuk kepada bahasa yang sama.

“Dalam akademik ia akan dirujuk sebagai bahasa Melayu. Daripada segi perpaduan atau politik pula, ia dirujuk sebagai bahasa Malaysia. Jadi tidak salah istilah bahasa Malaysia digunakan. Saya dimaklumkan ketika bahasa Malaysia diperkenalkan dulu, akhbar berbahasa Cina menentangnya dan apabila ditukarkan ke bahasa Melayu juga ditentang,” ujarnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen