Khamis, 20 Ogos 2009

ANUGERAH MERDEKA

4 Tokoh Terima Anugerah

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang diumumkan sebagai salah seorang daripada empat penerima Anugerah Merdeka 2009.

Beliau menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik berikutan sumbangannya dalam pelbagai inisiatif alam sekitar berkaitan bekalan air, kumbahan, pemuliharaan sungai dan ekologi industri.

Zaini, 44, merupakan penerima pertama kategori berkenaan selepas tahun lalu tiada tokoh yang memenuhi kriteria jawatankuasa pemilihan.

Senarai penerima Anugerah Merdeka 2009 diumumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican di sini hari ini.

Seorang Pensyarah Jabatan Kimia UTM, Profesor Dr. Halimaton Hamdan, 53, turut menerima Anugerah Merdeka kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi.

Ia mengiktiraf kejayaan Halimaton menghasilkan ‘Maerogel’ iaitu sejenis ‘aerogel’ daripada sekam padi sekali gus mengurangkan 80 peratus kos penghasilannya.

Bahan itu mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh diguna untuk mengurangkan suhu panas bangunan konkrit, menyerap tumpahan minyak serta pencemaran udara dan dijadikan panel kalis bom.

Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti pula dimenangi secara bersama oleh dua tokoh wanita iaitu Tun Fatimah Hashim dan Datuk Lim Phaik Ghan.

Fatimah, 85, merupakan wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kabinet dan tokoh pejuang hak wanita.

Sumber : http://www. utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan