PUTRAJAYA 11 Ogos - Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau dikenali sebagai Anwar Ridhwan diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika membuat pengumuman itu hari ini berkata, penyampaian anugerah tertinggi sastera negara itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 20 Oktober ini.
Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu pernah muncul dengan novel terkenalnya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa selain diadaptasikan ke pentas teater sebanyak 14 kali.
Sumber : http : //www. utusan.com.my/
Nota Hujung :
Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya .Beliau kemudiannya memperoleh ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP. Kini. Anwar bertugas sebagai Dekan di Fakulti Penulisan di ASWARA ( Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan)
Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).
INFO: Penerima Anugerah Sastera Negara
1 Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas (1981)
2 Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad (1982)
3 Allahyarham Datuk Dr Usman Awang (1983)
4 Datuk (Dr) A Samad Said (1985)
5 Allahyarham (Dr) Arena Wati (1987)
6 Prof Dr Muhammad Salleh (1991)
7 Datuk Nordin Hassan (1993)
8 Datuk Abdullah Hussain (1996)
9 Allahyarham Dr Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan (2003).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan