Pandemik H1N1 serlahkan jentera kawalan krisis negara lemah
KINI setiap kali matahari terbit menimbulkan kegusaran apabila bertambahnya lagi statistik kematian dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1). Daripada beberapa orang, kini sudah menjadi ribuan.
Kalau dulu tidak ada kematian, kini kematian berlaku setiap hari dan ia menunjukkan ke arah peningkatan yang mendadak.
Pola jangkitan juga tidak lagi daripada gejala import tetapi penularannya lebih bersifat domestik. Kalau dilihat setakat kelmarin (3 Ogos) jumlah yang dijangkiti ialah 1,446 orang. Mengikut pecahan, hanya 574 sahaja mendapat infeksi dari luar negara. Bakinya seramai 872 orang adalah infeksi domestik.
Ini bermakna, jangkitan tempatan sudah jauh melebihi jangkitan import. Ia sudah pun di tahap gawat. Malang sekali, selain daripada pengumuman, iklan tv dan radio, penutupan sekolah serta institusi pengajian tinggi, nampaknya tidak ada langkah pencegahan (pre amptive) sebenar dilakukan bagi mengekang gejala ini daripada terus menular.
Selain Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan beberapa tindakan kuarantin dan menghantar pulang pelajar serta pelatih ke kampung masing-masing, jentera negara yang berkaitan dengan isu H1N1 dilihat seperti tidak prihatin langsung dengan wabak ini.
Tidakkah Majlis Keselamatan Negara melihat ini sebagai satu ancaman bencana besar? Ataupun, perlukah menunggu petunjuk-petunjuk lain baru melaksanakan satu tindakan menyeluruh secara tergesa-gesa dan tidak terancang?
Rakyat biasa mungkin tidak memahami bahaya sebenar wabak yang selalu diberikan interpretasi yang remeh termasuk oleh pihak yang berwajib. Malah, terdapat kenyataan mengejutkan yang menyamakan H1N1 ini dengan selesema biasa.
Bolehkah kita salahkan mereka jika mengambil sikap demikian kerana tanggapan-tanggapan yang salah hasil pemahaman yang silap itu?
Fakta sebenar H1N1 adalah sejenis jangkitan baru yang belum ada rekod untuk dijadikan sebagai perbandingan. Kita semua tidak tahu apa yang berupaya dijanakan oleh penyakit ini. Malahan sehingga kini tidak ada rawatan khusus selain daripada antiviral yang boleh diberikan. Hatta tidak ada sebarang vaksin boleh diberikan kepada rakyat bagi menghalang jangkitan tersebut.
Apakah perkara ini tidak difikirkan secara rasional dan matang oleh pihak berwajib? Tidakkah mereka melihat gejala penularannya saban hari sebagai satu mimpi ngeri ‘tsunami wabak’ yang mungkin memakan korban terbesar pada alaf baru ini?
Di sebalik gerakan mansuh ISA yang dipelopori oleh Gerakan Memansuhkan ISA diberikan respons melewati kegusaran sebenar; H1N1 amat dikhuatiri memberikan kesan yang lebih hebat. Mungkin dalam tempoh terdekat, tidak ada lagi rakyat yang mampu berjalan secara bebas.
Sepatutnya, lama sebelum ini semboyan sudah dibunyikan oleh Pusat Kawalan Krisis Negara dan mereka sudah bersedia dengan pelbagai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menghadapi situasi ini. Apakah budaya “sudah terhantuk baru tengadah” masih menjadi pegangan?
Sepatutnya kita sudah ada garis pengukur jumlah jangkitan sebagai petunjuk kepada tahap seriusnya penyakit ini dan langkah berjaga-jaga. Jika statistik yang diberikan setiap hari tidak dilihat sebagai kayu pengukur, apakah lagi petunjuk yang akan digunakan?
Mari kita tanyakan diri kita sendiri apa akan berlaku selanjutnya pada hari esok, lusa, tulat dan seterusnya jika pihak berwajib hanya membuat pengumuman mengenai jumlah jangkitan atau kematian semata-mata?
Satu rayuan dan seruan rakyat kepada pemimpin di atas – tolong berikan saranan mengenai cara bagaimana pandemik ini boleh disekat atau diatasi.
Kami bukan perlukan iklan mencuci tangan dengan sabun berjenama tertentu yang kononnya mampu membunuh virus H1N1. Kami perlukan satu agenda kukuh yang terancang dan boleh dilaksana serta diikuti secara serentak di peringkat nasional.
Kita tentu tidak boleh menangani krisis ini secara terasing dan ikut-ikutan semata-mata. Kena ada satu langkah secara besar-besaran dan mesti dilaksanakan serentak. Kerana masalah ini bukan lagi terpencil. Ia bukan masalah orang kaya atau terpelajar yang sering ke luar negara. Tetapi ia telah melanda sehingga ke kampung pedalaman dan menyerang mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke luar negara walau sekalipun.
Jentera Kawalan Krisis Negara perlu digerakkan segera. Jangan tunggu “nasi menjadi bubur” baru hendak memulakan langkah. Tetapi itulah hakikat yang perlu kita akui – jentera ini masih belum bergerak ataupun digerakkan. Apa lagi yang ditunggu?
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan