Selasa, 25 Ogos 2009

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

Memperkasa pengurusan wabak

DUNIA hari ini menghadapi pelbagai cabaran besar daripada soal ekonomi, politik sehinggalah wabak penyakit. Berhadapan dengan konflik politik, peperangan dan masalah ekonomi sudah terlalu biasa bagi masyarakat dunia.

Dan kita sudah dibiasakan untuk mencari penyelesaiannya setiap hari. Namun, bagi serangan wabak penyakit walaupun penyakit tersebut dianggap biasa ia merupakan cabaran yang banyak menguji kecekapan manusia dalam mengendalikannya terutama dalam bidang sains perubatan.

Sebelum ini masyarakat dunia dihantui dengan serangan wabak selesema burung yang bukan sahaja meragut nyawa haiwan unggas tetapi turut meragut nyawa manusia.

Di negara kita selain daripada penyakit Denggi dan Malaria, Penyakit Encephalitis (JE) pernah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia. SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) misalnya juga merupakan antara penyakit yang berbahaya di samping penyakit lain seperti penyakit Tangan Kuku dan Mulut.

Kini pandemik Infuenza A (H1N1) digeruni oleh segenap lapisan masyarakat dunia berdasarkan kepada jumlah kes serta bilangan kematian yang meningkat setiap hari.

Berdasarkan kepada kemunculan pelbagai jenis wabak berbahaya sejak akhir-akhir ini, ia seakan-akan menuntut dunia sains perubatan memperkasa penyelidikan terutama dalam penghasilan vaksin dan ubat-ubatan selain penghasilan teknologi yang mampu membantu melawan penularan wabak.

Bagaimanapun, selain daripada pemberian vaksin, pengambilan ubat-ubatan dan langkah-langkah teknikal lain, perkara yang amat penting dalam menghadapi permasalahan penularan wabak ialah kecekapan kerajaan mengeluarkan arahan-arahan semasa, kecekapan institusi perubatan dalam menguruskan logistik pesakit dan tahap profesionalisme pengamal perubatan terutamanya doktor dalam mengenal pasti masalah-masalah pesakit.

Langkah kita sebelum ini seakan-akan bersikap tunggu dan lihat tanpa menjangkakan tahap keseriusan penularan wabak pada masa akan datang. Kita seharusnya telah belajar daripada negara-negara lain yang diserang wabak dengan begitu cepat.

Tindakan memberi cuti atau menutup operasi sesebuah institusi mungkin dilihat tidak wajar bagi sesetengah pihak atas kepentingan umum. Disebabkan inilah, terdapat arahanarahan yang tidak jelas dan lambat membuat keputusan sehinggakan penularan wabak berada pada tahap yang tidak terkawal.

Selain itu, pusat-pusat perubatan, hospital dan klinik seharusnya mewujudkan pusat perubatan bergerak tanpa menunggu orang ramai datang mendapatkan rawatan. Kesesakan yang berlaku di pusat-pusat perubatan berisiko untuk mengitar penyakit dan menjangkiti orang ramai.

Klinik-klinik swasta pula seharusnya turut bekerjasama dengan kerajaan bagi mewujudkan lebihan kaunter pemeriksaan kepada orang ramai.

Jumlah bayaran perkhidmatan juga tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya kerana, dalam keadaan pandemik seperti ini, pusat-pusat perubatan tidak boleh mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan atas hasil perkhidmatan yang banyak.

Kaedah-kaedah lain mungkin boleh dilaksanakan seperti semburan antibiotik ke udara. Walaupun mungkin kurang berkesan setidak-tidaknya dapat melemahkan serangan virus melalui udara.

Influenza A H1N1 misalnya menimbulkan rasa panik dalam masyarakat pada hari ini. Ini menyebabkan banyak aktiviti harian terganggu. Bagi sesebuah organisasi awam, pengurusan wabak juga perlu difahami secara mendalam kerana melibatkan kakitangan awam yang terikat dengan prosedur dan undang-undang perkhidmatan.

Adakalanya bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan cuti, juga memerlukan sejauh mana pemahaman ketua-ketua jabatan terhadap permasalahan yang timbul ke atas kakitangannya.

Dasar juga hendaklah seragam. Sekiranya arahan menutup organisasi atau perintah cuti dikeluarkan, maka tidak ada yang terkecuali daripada arahan tersebut. Demikianlah apabila arahan sebaliknya.

Semua ini memerlukan kebijaksanaan dan budi bicara yang baik atas kemaslahatan umum.

Bagi masyarakat, perintah bercuti atau kuarantin tidak boleh dijadikan peluang untuk melakukan aktiviti lain di luar rumah seperti membeli-belah, melancong dan sebagainya.

Pengurusan diri bagi individu yang dijangkiti sebarang penyakit juga perlu diberi perhatian melalui pendidikan.

Tindakan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM20 juta untuk bekalan vaksin perlu disusuli dengan pengurusan wabak yang berkesan dalam negara.

Pada masa akan datang, kerajaan perlu mengambil langkah mewujudkan Institut Pengurusan Wabak Kebangsaan yang khusus mencari strategi berkesan selain bekerjasama dengan semua negara di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kita memikirkan masalah wabak tidak seperti masalah minyak - yang dibezakan daripada segi kesukaran mengeluarkan kos dan keperitan menahan penyakit sehingga meragut nyawa. Maka, untuk menghadapai masalah akan datang, persediaan perlu dilakukan pada hari ini.

Dunia sains perubatan dan kaedah pengurusan penularan wabak perlu diperkasakan lagi bukan sekadar untuk mendapat keuntungan tetapi sebagai usaha umat manusia menyelamatkan diri daripada malapetaka.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Utara Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen