Isnin, 14 September 2009

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

Gempa di Indonesia, prihatin di Malaysia


SEORANG ibu dan anaknya (gambar kiri) hanya mampu melihat sayu rumah mereka yang musnah akibat gempa bumi, sementara penduduk di Kampung Ciloe, Tasikmalaya, Jawa Barat bertungkus lumus membantu mangsa dalam kejadian gempa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 74 penduduk baru-baru ini - Gambar AFP


PERASAAN terayun-ayun atau terbuai-buai, buku-buku jatuh dari rak, tanah bergoyang ke kiri dan ke kanan disusuli dengan tempikan panik menyelamatkan diri, akan membuatkan siapa saja menganggap kiamat sudah tiba, namun ia bukan perkara asing bagi Indonesia.

Seluruh rakyatnya sedia maklum negara yang mereka duduki terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang menyumbang kepada kewujudan hampir 150 gunung berapi daratan dan dasar laut serta garis gelincir yang banyak, menyebabkan Indonesia digegarkan dengan 'kiamat kecil' dengan kerap.

Pukul 2.57 petang hari Rabu 2 September lalu menyaksikan Indonesia sekali lagi digegar dengan gempa bumi sekuat 7.3 pada skala Richter di Tasikmalaya, Jawa Barat, dengan angka korban yang disahkan seramai 74 orang dan kira-kira 1,250 yang lain cedera,

Angka sebenar kematian dijangka melebihi 100 orang kerana 34 mangsa yang tertanam akibat tanah runtuh di perkampungan Cikangkareng, yang dicetuskan gempa bumi, masih belum ditemui dan kemungkinan sangat tinggi mereka sudah terbunuh.

Gegaran yang turut mencetuskan panik kepada pekerja-pekerja pejabat di bangunan pencakar langit di Jakarta itu menyebabkan 88,000 orang kehilangan tempat tinggal dan 54,000 rumah dan bangunan rosak dengan anggaran kerugian setinggi RM350 juta.

Setakat ini, bencana paling teruk melanda Indonesia adalah tragedi tsunami 26 Disember 2004, dicetuskan oleh gempa bumi Sumatra-Andaman yang meragut hampir 230,000 nyawa di 11 negara, dengan Indonesia merekodkan korban paling tinggi iaitu lebih 130,000 mangsa kebanyakannya di Acheh.

Trauma

Kira-kira tiga bulan selepas itu, trauma kembali dengan giliran Kepulauan Nias pula digoncang gempa bumi sekuat 8.7 pada skala Richter pada 28 Mac 2005 yang mencatatkan lebih 1,300 kematian selain meranapkan ribuan rumah dan jambatan.

Gempa bumi Yogyakarta pada 27 Mei 2006 sekuat 6.2 pada skala Richter pula meragut hampir 6,000 nyawa manakala gegaran pada magnitud 7.7 skala Richter dua bulan kemudian di selatan Jawa membunuh lebih 650 orang.

Bencana alam serupa melanda Bengkulu pada 12 September 2007 dengan kekuatan gegaran 8.5 pada skala Richter, meragut 23 nyawa dengan 88 yang lain cedera, beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib menandakan ketibaan Ramadan sekali gus menyebabkan penduduknya menjalani ibadah puasa dalam keadaan benar-benar teruji.

Gempa terbaru ini juga berlaku pada bulan Ramadan dan September dua tahun selepas itu, membuatkan rakyat Malaysia merasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan baik dari segi kemanusiaan ataupun membantu saudara seagama dalam kesulitan.

Malaysia memang dikenali sejak dulu lagi dengan reputasi pantas menghulurkan bantuan apabila negara tetangganya ini berdepan dengan masalah, semuanya dilakukan atas dasar kemanusiaan, semangat kejiranan dan asal bangsa serumpun.

Contohnya rancangan bantuan melaksanakan sistem perparitan terancang untuk mengurangkan pembakaran di Rokam Hilir, Riau, Indonesia bagi menangani masalah jerebu yang melanda rantau ini.

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) juga sudah beberapa kali ke Indonesia bagi menghulurkan bantuan ketika beberapa kawasannya dilanda gempa bumi seperti di Acheh, Nias, Yogyakarta dan Bengkulu sebelum ini.

Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia juga 'diseru' semangat sama untuk menhulurkan tangan dalam tragedi bencana. Contohnya, seramai 35 penuntut perubatan di Jakarta dan Bandung baru-baru ini menyertai pasukan sukarela Bulan Sabit Merah Indonesia bagi memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Pangalengan, Bandung Selatan.

Atas rasa prihatin rakyat Malaysia sebeginilah tertubuhnya Tabung Gempa Nusantara, hasil kerjasama akhbar Utusan Malaysia dengan Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang dimulakan selepas gempa bumi melanda Bengkulu dua tahun lalu.

Rasa belas kasih rakyat Malaysia nyata terbukti kutipan lebih RM1 juta yang diterjemahkan kepada 11 buah ambulans dan seunit lori tangki dan diserahkan kepada hospital-hospital di wilayah Bengkulu pada 18 Ogos tahun lalu.

Ia disampaikan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin bersama Penasihat Maybank, Datuk Mohammed Hussein kepada Gabenor Bengkulu, Agusrin M. Najammudin dan 11 bupati untuk digunakan di hospital-hospital di daerah masing-masing.

'Seruan' yang sama juga sekali lagi menggerakkan Tabung Gempa Nusantara pada Selasa 8 September lalu bagi meringankan beban penduduk mangsa gempa di Jawa Barat baru-baru ini.

Apa yang menghairankan, sebilangan kecil rakyat Indonesia sanggup menjalankan gerakan 'Sweeping Malaysia' (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat kita di sana hanya kerana isu remeh seperti tarian Pendet yang nyata diperbesar-besarkan pihak tertentu.

Sedikit sebanyak penduduk di Malaysia berasa terkilan dengan isu-isu yang timbul namun itu tidak membantutkan niat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sebagai negara jiran.

Tambahan pula, masyarakat di kedua-dua negara yang berasal dari rumpun bangsa yang sama dan kita nyata tidak boleh melihat saja saudara seagama mengharungi baki Ramadan dalam keadaan kesusahan atau menyambut ketibaan Syawal dengan kedukaan.

Diharap seluruh rakyat Malaysia dapat menghulurkan bantuan melalui Tabung Gempa Nusantara kali ini agar dapat meringankan beban mangsa gempa dengan menyalurkan sumbangan ikhlas tanpa mengambil kira isu-isu remeh yang kebelakangan ini melingkari hubungan dengan Indonesia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan