Jumaat, 11 September 2009

ISU KESELAMATAN DI JALAN RAYA

Ops Sikap gagal selagi pemandu tidak berhemah

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, isu keselamatan di jalan raya pasti menjadi tumpuan. Pelbagai kempen dilaksanakan daripada peringkat tertinggi hinggalah kepada kumpulan kecil. Semuanya bermatlamat memastikan perjalanan ‘balik kampung’ yang menjadi tradisi setiap kali musim perayaan, berakhir dengan kegembiraan bukannya tangisan. Saban tahun, pihak berkuasa juga terpaksa mengambil pelbagai inisiatif mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya. Ops Sikap yang dimulakan pada 1998 contohnya, memasuki edisi ke-XX apabila dilancarkan semalam. Malangnya ia tidak banyak mengubah landskap kadar kematian dan kecederaan di jalan raya. Semua ini berpunca daripada tabiat dan tingkah laku masyarakat. Ia dibuktikan apabila kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros), mendapati sikap pemandu di negara ini masih teruk dengan 66 peratus mereka tidak takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa kerana kesalahan lalu lintas. Lebih buruk lagi, mereka sedia berdepan risiko kematian dan kecederaan kerana keengganan mematuhi peraturan. Statistik Ops Sikap sempena Aidilfitri lalu, menunjukkan antara kesalahan utama pemandu ialah tidak memakai tali pinggang keledar iaitu 25.6 peratus, melebihi had laju (24.08 peratus), ingkar lampu isyarat (21.3 peratus), memotong laluan kecemasan (16 peratus) dan memotong di garisan berkembar (13 peratus).

Apa yang dapat dirumuskan ialah pemandu kita tidak mengendahkan undang-undang dan masih memerlukan penguatkuasaan menerusi operasi khas bagi meningkatkan tabiat serta disiplin. Ini tentunya sesuatu yang menyedihkan kerana ia bukan budaya yang kita harapkan. Negara mempunyai infrastruktur dikagumi tetapi sikap pemandu masih pada takuk lama. Akibatnya, jalan dan lebuh raya kita bertukar menjadi peragut nyawa tiap kali tiba musim perayaan. Slogan Pandu Cermat, Jiwa Selamat tidak lagi dihayati kerana masing-masing bersikap mementingkan diri tanpa memikirkan kesannya. Kita juga hairan bagaimana rakyat Malaysia yang cukup terkenal sebagai penyabar, bersopan, bertolak ansur dan saling menghormati, boleh bertukar ‘kiasu’ di jalan raya. Kerajaan sudah melakukan segala yang termampu mengatur strategi terbaik menangani masalah itu, namun kadar kemalangan tidak pernah surut, malah semakin menjadi-jadi. Benarlah pendapat sesetengah pihak bahawa kemalangan jalan raya bergantung kepada faktor sikap manusia. Tanpa keinsafan dan perubahan sikap, seribu peraturan sekalipun tidak akan memberi sebarang makna dan hasrat mengurangkan jumlah kemalangan pada musim perayaan ini tidak akan tercapai. Bagi kita, bukan penguatkuasaan undang-undang sebenarnya yang boleh mengurangkan kadar nahas jalan raya, sebaliknya sikap pengguna sendiri yang lebih utama. Tanpa kesedaran dan kesungguhan untuk mengubah sikap oleh setiap pengguna jalan raya, Ops Sikap XX yang dilancarkan di Johor semalam tidak akan mampu mencapai matlamatnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan