Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my
RAMADAN bukan sekadar madrasah untuk meningkatkan taqwa dan amal salih dalam pengertian amalan khusus dan keuntungan ukhrawi semata-mata. Jika diperluaskan definisi madrasah Ramadan itu, maka program pendidikan yang tersirat melalui pelbagai amalan salih berkenaan, sebenarnya menyediakan peluang untuk mendidik umat Islam memantap jiwa, memperkasa fizikal, memperkaya rohani dan melestarikan minda.
Lestari dalam konteks ini bukan hanya jaminan kebahagiaan di akhirat bahkan kesejahteraan hidup di dunia. Pada hemat saya, amalan sepanjang Ramadan ini memberi empat pengajaran utama yang seharusnya dapat dihayati sepanjang hidup. Pengajaran utama ialah mengenai kepentingan masa.
Sepanjang Ramadan kita diperingatkan setiap amalan dilakukan akan diberi pahala dan rahmat berganda. Ini selari dengan konsep 'waktu perdana' dalam mengerjakan amal salih. Fadilat melakukan amal tertentu luar biasa ganjarannya, misalnya amalan pada malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan pahala.
Dalam soal ini madrasah Ramadan mengajar kita supaya tidak mempersia-siakan masa dan mengambil kesempatan untuk berlumba-lumba beramal salih. Dalam pengertian yang luas, Islam mendorong umatnya supaya tidak mempersia-siakan waktu dan kesempatan, serta memohon doa kesejahteraan dunia dan akhirat.
Banyak perkara dan kejadian di dunia ini adalah di luar keupayaan manusia... bencana alam seperti gempa bumi dan taufan misalnya. Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan dan belas ihsan.
Selain itu, madrasah Ramadan mendidik kita bersederhana dan berjimat cermat. Bersederhana khususnya dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan berjimat untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Pendidikan ini jika dihayati akan membenihkan amalan, keperibadian dan minda lestari. Bersederhana dan berjimat, dalam konteks yang luas, bermakna tidak membazir wang, makanan, masa, tenaga, air dan sumber alam lain.
Dengan menghayati konsep bersederhana dan berjimat, kita dididik supaya meningkatkan prestasi produktiviti dalam setiap lapangan hidup. Dengan minda lestari tiada pembaziran sumber membolehkan kita mengurangkan penghasilan sisa, sama ada sisa masa, tenaga, pepejal atau cecair.
Pengurangan ini juga membolehkan kita mengurangkan perbelanjaan dan kebergantungan kepada sumber-sumber yang semakin mahal seperti bahan api petroleum, elektrik, air dan bahan mentah lain. Hal ini bersesuaian dengan dasar penjimatan sumber, khususnya sumber tenaga seperti dicadangkan Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2008.
Di samping itu, madrasah Ramadan, terutama menerusi amalan berpuasa mendidik kita menghayati konsep ikhlas dan jujur. Tiada siapa dapat mengesahkan amalan puasa seseorang selain Allah SWT, seperti maksud hadis sahih riwayat Abu Hurairah r.a.: "Bahawa Allah berfirman, semua amal salih manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa yang khusus untuk-Ku, dan Aku akan memberikan ganjaran kepadanya. Puasa itu perisai (daripada seksa)."
Didikan madrasah Ramadan supaya kita bersifat jujur dan ikhlas bukan saja ketika menjalani ibadat puasa, bahkan perlu diperluaskan kepada amalan lain seperti solat, zakat, haji, bertetangga, berkerja dan melestarikan alam sekitar.
Ketika ini pencemaran alam sekitar banyak berpunca daripada sikap tidak jujur di kalangan pelbagai pihak. Memang diakui pihak berkuasa tidak berupaya memantau seluruh kegiatan berisiko yang boleh mencemarkan alam sekitar kerana alam sekitar luas terbentang menerusi sistem atmosfera, akuatik atau tanah.
Di sinilah perlu kejujuran dan keikhlasan untuk sama-sama melestarikan alam sekitar. Amalan mesra alam, misalnya mengurangkan penghasilan sisa berbahaya, kitar semula sampah, mematuhi prosedur pengurusan sisa dan tidak melakukan pembakaran terbuka adalah tanggungjawab setiap individu yang perlu dilaksanakan dengan sempurna, ikhlas dan efektif biarpun tanpa kehadiran pihak penguat kuasa.
Menerusi amalan dan penghayatan madrasah Ramadan, kita sentiasa menyedari bahawa Allah Maha Mengetahui dan kita akan dibicarakan pada Hari Pembalasan nanti. Madrasah Ramadan juga mendidik kita untuk meringankan bebanan dan kesusahan orang lain, tanpa mengira warna kulit dan darjat.
Itulah pengajaran di sebalik kewajipan mengeluarkan zakat fitrah, memperbanyak sedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Ada riwayat menyebut pahala menyediakan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa sama seperti pahala berpuasa.
Dalam pengertian lebih luas, konsep meringankan kesusahan orang lain juga boleh dinisbahkan kepada amalan yang tidak menyusahkan orang lain, khususnya dari segi keselamatan nyawa dan harta benda.
Madrasah Ramadan mendidik kita mengenai kewajipan melindungi sumber alam, termasuk ekosistem sungai, laut dan hutan. Seandainya kewajipan itu tidak dilakukan, maka musibahnya besar kepada masyarakat dan makhluk lain seperti gangguan bekalan air, jerebu, ketidaktentuan pola iklim dan peningkatan suhu bumi.
Satu contoh biasa berlaku ialah membuang sampah merata-rata. Ketika hujan, sampah itu akan dihilirkan dalam sistem perparitan dan ada kemungkinan tersangkut lalu menghalang laluan air sehingga boleh menyebabkan banjir kilat. Banjir ini menyebabkan kesesakan lalu-lintas atau kemusnahan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa.
Madrasah Ramadan adalah sebaik-baik kesempatan untuk kita menilai dan meningkatkan kualiti amalan salih. Ibadah intensif sepanjang Ramadan ini seharusnya mendorong kita membersih jiwa, menjernihkan minda, memperindahkan budi dan memperkasa jasad.
Itulah hakikat madrasah Ramadan, sesuai dengan peringatan sabda Rasulullah: 'Ada banyak orang yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh dari puasanya itu selain lapar dan dahaga".
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor UTM dan penerima Anugerah Merdeka 2009 (Pencapaian Ulung Akademik)
Sumber: http://www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan