Rabu, 2 September 2009

Membudayakan Penggunaan Satu Bahasa

Iklan, program, lagu mesti gunakan bahasa kebangsaan

SUDAH menjadi kelaziman, iklan dan program TV atau radio bertemakan kemajmukan kaum, perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini akan ke udara apabila tibanya sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Persoalannya, sejauh mana penerbit rancangan dan syarikat pembuat iklan berkenaan faham akan hakikat perpaduan dan kemerdekaan dalam iklan yang di ketengahkan?

Misalnya, amat tidak kena apabila ada program TV bercorak dokumentari yang menceritakan kejayaan anak-anak Malaysia dalam pelbagai bidang tetapi disampaikan dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa kebangsaan!

Turut mengecewakan apabila ada sebahagian pencipta lirik bagi lagu-lagu patriotik sempena bulan kemerdekaan ini yang berkonsepkan santai oleh radio menampilkan lagu berkonsepkan Satu Malaysia yang ‘rojak’ seni katanya iaitu bercampuk-aduk bahasanya!

Begitu juga dengan iklan. Setelah 52 tahun merdeka, rupa-rupanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih berfikir dalam kotak perkauman apabila ditampilkan watak-watak bercakap dalam pelbagai bahasa mengikut warna kulit!

Walhal, kita sudah diseru supaya mempraktikkan semangat Satu Malaysia yang terasnya sudah tentu satu bahasa kebangsaan. Malah, sudah ada pun gesaan agar pengenalan kaum melalui borang digugurkan hanya semata-mata mahu mengikis identiti kaum.

Persoalannya, bilakah lagi syarikat penaja iklan kemerdekaan mahu berfikir di luar kotak perkauman? Bilakah GLC termasuk syarikat pengiklan dan penerbit program TV sedar bahawa hanya penggunaan bahasa kebangsaan sahajalah kaedah kita merapatkan hubungan rakyat berbilang kaum di negara ini?

Mengapa di dalam iklan menggambarkan perpaduan, jika kaum Cina mesti bercakap Cina dan India mesti cakap bahasa Tamil manakala jika sudah berjaya dan berprestij mesti menggunakan bahasa Inggeris?

Sejak bila bahasa-bahasa asing itu sudah diangkat sebagai bahasa rasmi menggantikan kedudukan dan fungsi bahasa kebangsaan?

Membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan atau ‘menghadirkan’ bahasa-bahasa lain di samping bahasa kebangsaan dalam iklan dan program TV, jelas satu tindakan kurang sopan dan membelakangkan peruntukan dalam Perlembagaan serta merendah-rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan.

Malah, lebih memalukan telah memperlekehkan kemampuan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam menguasai bahasa kebangsaan.

Budaya bercakap kita pada hari ini tidak sama dengan 52 tahun dahulu. Jika dahulu benar ramai golongan bukan Melayu tidak faham bahasa kebangsaan tetapi sekarang generasi muda bukan Melayu sudah fasih malah sebahagiannya lebih baik penguasaan bahasa Melayu mereka mengalahkan orang Melayu sendiri!

Hakikat ini mesti difahami oleh syarikat pengeluar iklan dan penerbit program TV yang umum tahu berorientasikan keuntungan selain daripada mesej khidmat masyarakat yang ditampilkan.

Adalah salah sama sekali jika ada syarikat pengeluar iklan masih menganggap usaha ‘memancing’ perhatian pengguna bukan Melayu mestilah dibuat dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil!

Lebih mengecewakan jika ada iklan yang menonjolkan watak bukan Melayu bercakap sesama mereka dalam bahasa Inggeris!

Tidak keterlaluan dikatakan, pihak yang masih berbicara dalam kotak perkauman atau pun berkiblatkan Inggeris sebenarnya telah gagal menunaikan tanggungjawab sosial mereka.

Perlu ditegaskan, penerbit program TV, pencipta lagu serta syarikat yang mengeluarkan iklan lebih-lebih lagi GLC mesti sedar mereka memikul tanggungjawab sosial yang besar dalam merakyatkan penggunaan bahasa kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa membeza-bezakan warna kulit!

Jika benar kita mahu menghayati erti 52 tahun kemerdekaan negara dan semangat 1Malaysia, tidak kira sama ada warna kulitnya sawo matang, kuning langsat atau hitam si tampuk manggis mestilah bersama-sama membudayakan penggunaan satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan dalam segenap urusan hidup seharian tidak terkecuali dalam bidang pengiklanan, penyiaran dan hiburan.


Tanah Merah, Kelantan

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan