Sabtu, 10 Oktober 2009

Martabatkan bahasa jiwai bangsa




MEMINJAM semangat Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, kita kena realistik untuk memastikan kedudukan dan masa depan bahasa Melayu terbela tidaklah semudah meletakkan kepada tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak terutama sekali kalangan ahli politik Melayu.

Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuching minggu lalu boleh dianggap anjakan yang memberi harapan kepada bahasa Melayu. BBK tahun ini memperlihatkan keseriusan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Dengan itu gerakan yang menjurus kepada agenda bahasa Melayu mesti diteruskan tanpa ada kerisauan menimbul tanggapan rasisme oleh kaum lain.

Keseriusan Muhyiddin bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ilmu perlu dimanfaatkan untuk mengembleng usaha mengangkat kembali bahasa Melayu yang telah dipijak secara terhormat dan juga secara paling hina. Bulan Bahasa Kebangsaan sudah pasti bukan sekadar program bahasa yang memenuhi kalendar aktiviti sahaja. Sebaliknya Bulan Bahasa Kebangsaan mesti memancarkan keyakinan baru tentang bahasa Melayu.

Bahasa Melayu tidak menjadi bahasa ilmu sebelum ini kerana ilmu dalam bahasa lain tidak diterjemahkan secara konsisten kepada bahasa Melayu. Kalau kedai-kedai buku besar di Kuala Lumpur boleh dijadikan satu penanda aras terjemahan kita, carilah buku-buku ilmu dalam bahasa Melayu. Buku dalam bahasa Melayu hanya berada di sudut yang tercorot, jumlahnya kecil berbanding lambakan buku bahasa Inggeris dan Cina. Adakah senario ini memperlihatkan kedai buku besar ini tidak memberi laluan kepada buku ilmu sememangnya tidak banyak buku terjemahan kepada bahasa Melayu?

Puisi Keranda 152 tulisan Allahyarham Usman Awang mesti dibaca semula bagaimana ledakan kebahasaan masa lalu melihat masa depan bahasa Melayu yang berlaku pada hari ini. Malah kena hayati juga slogan keramat Bahasa Jiwa Bangsa yang telan dimandulkan oleh kuasa politik Melayu sendiri.

Tinggi

Kedudukan tinggi bahasa Melayu dalam Perlembagaan telah ditelan oleh arus gelombang politik Melayu sendiri yang tidak mengendahkan bahasa ini. Bahasa Melayu tidak lagi menjadi faktor untuk menentukan jatuh bangun politik Melayu kerana politik Melayu dikuasai oleh ekonomi. Tetapi yang ironinya orang Melayu masih lagi kecil dalam penguasaan ekonomi.

Jangan meletakkan kelemahan kepada DBP saja apabila bahasa Melayu menjadi bahasa kelas tiga di negara ini. Sebaliknya mereka yang menggerakkan gelombang politik Melayu yang lebih mempunyai ruang dan kuasa untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu di tempat selayaknya.

Pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris hanya satu isu saja dalam menentukan jangka hayat bahasa Melayu. Suatu yang paling memalukan kalangan politik Melayu apabila mereka gagal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Mengangkat kedudukan bahasa Melayu yang dipijak sekarang ini bukanlah mahu mengambil kedudukan bahasa lain tetapi meletakkan semula bahasa Melayu dalam Perlembagaan. Bahasa Melayu adalah bahasa warganegara di negara ini, bukan bahasa milik orang Melayu saja.

Perlembagaan yang menyebut tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan digubal dan diluluskan oleh satu pihak. Maknanya selepas disebut dalam Perlembagaan, itu adalah persetujuan dan kesepakatan bersama oleh pelbagai kaum di negara ini. Maka yang ditekankan dalam BBK atau Bulan Bahasa Kebangsaan akan datang adalah memahami kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.

Ada kalangan orang politik Melayu yang sewenang-wenang menakut-nakutkan rakyat khususnya orang Melayu bahawa kemajuan datang dengan bahasa Inggeris. Untuk menyokong hujah itu mereka pun menudinglah kepada sekian banyak tokoh korporat yang berjaya dengan penguasaan bahasa Inggeris. Tetapi mereka lupa bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah meminggirkan bahasa Inggeris. Sebaliknya tumpuan kepada bahasa Inggeris yang meminggirkan bahasa Melayu.

Suatu yang sangat tidak adil apabila pejuang bahasa Inggeris menganggap pejuang bahasa Melayu sebagai "cauvinis". Perjuangan memartabat bahasa Melayu tidak ada kena mengena dengan kaum, ini agenda perjuangan semua rakyat. Apabila bercakap mengenai perpaduan, bahasa kebangsaan adalah jambatannya. Tetapi sesetengah pihak seolah-olah mahu membina perpaduan tanpa membina jambatan antara kaum.

Penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan harus bertolak daripada premis bahawa bahasa Melayu menjadi kata kunci kepada perpaduan kalangan pelbagai kaum. Bahasa Melayu menjadi kata kunci kepada segala usaha menangkis prasangka antara kaum terutama apabila melibatkan soal bahasa dan budaya. Sementara kalangan orang politik Melayu harus memanfaatkan gelombang yang ada untuk menyakinkan bahawa memartabatkan bahasa Melayu tidak memufliskan negara ini.

Pejuang bahasa sejak generasi Usman Awang, Ashraf hingga sekarang ini tidak pernah jemu menggerakkan usaha menyelamatkan bahasa Melayu. Biar pun sering dianggap "cauvinis bahasa" mereka terus percaya bahawa persetujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan satu kesilapan generasi lampau. Cuma semangat kental mereka wajar disokong secara bersungguh-sungguh oleh penggerak gelombang politik Melayu. Mereka perlu membaca kembali slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang tidak pernah lupus jangka hayatnya.

Sumber :http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan