Khamis, 8 Oktober 2009

Perbaharui iltizam terhadap bahasa Melayu

Oleh DR. FIRDAUS ABDULLAH

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kuching, Sarawak.

Seminggu sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman telah memberi ucaptama dan merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bahru.

Kedua-dua peristiwa itu dapat dinilai secara sinikal dan konstruktif. Secara sinikal seperti pertanyaan seorang tokoh pejuang bahasa yang hadir pada persidangan di Johor itu. “Tidakkah saudara rasa kita hanya syok sendiri? Atau tidakkah kita menipu diri sendiri berangan-angan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia, sedangkan di bumi kelahirannya sendiri bahasa Melayu itu terpinggir dan diperlekeh?”

Tokoh itu telah melewati umur 60-an dan sejak muda tidak pernah ketinggalan menghadiri perjumpaan bahasa dan sastera. Beliau sebenarnya kecewa. Memang dia turut mengingini agar bahasa Melayu itu menjadi bahasa dunia, tetapi katanya lagi:

“Orang tua-tua mengingatkan, duduklah dulu sebelum berlunjur. Jika kita ingin bahasa Melayu menjadi bahasa dunia, bahasa itu mestilah terlebih dahulu diperkasa, dihormati dan dihargai di negara Malaysia sendiri yang telah mengiktirafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

“Tetapi realitinya masih ramai warga yang tidak tahu berbahasa Melayu. Malah ada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli-ahli Parlimen yang tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan itu.”

Begitulah satu contoh sikap atau pandangan sinikal terhadap persidangan di Johor Baharu itu. Penilaian atau reaksi negatif dan sinikal seperti itu barangkali juga boleh berlaku terhadap pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Kuching.

Sesuatu yang ironis, setelah lebih setengah abad kita merdeka dan bahasa Melayu dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kita masih perlu berkempen supaya bahasa itu difahami dan diamalkan.

Dalam ucapan perasmiannya, Muhyiddin berkata Bulan Bahasa Kebangsaan itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi. Ertinya setelah lebih setengah abad merdeka, kita masih belum puas hati dengan kadar kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan itu. Di sanalah terletak ironisnya dan itulah yang menyebabkan sesetengah pihak bersikap sinikal.

Tetapi jika kita ingin membebaskan diri dari sikap sinikal dan bersedia untuk berbaik sangka, banyak aspek positif yang boleh disebut tentang peristiwa-peristiwa bahasa di Johor Baru dan di Sarawak itu. Setidak-tidaknya kedua-dua peristiwa tersebut dapat dilihat sebagai pernyataan azam dan iltizam baharu terhadap bahasa Melayu.

Ucapan kedua-dua tokoh yang disebutkan tadi serta 50 kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan di Johor Baharu itu, semuanya dapat dilihat dan patut diterima sebagai pernyataan hasrat dan azam untuk meneruskan perjuangan memperkasa bahasa Melayu.

Dalam ucaptamanya, Menteri Besar Johor mengimbas peranan Johor sebagai benteng pertahanan dan pusat perkembangan persuratan dan tamadun Melayu.

Pelbagai kejayaan telah dicapai sama ada dalam bentuk penghasilan karya-karya agung (seperti Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Taj-us-Salatin dan lain-lain) atau dalam bentuk kemunculan cendekiawan ternama seperti Raja Ali Haji atau dalam bentuk penubuhan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Maktab Perguruan Bahasa di Bukit Senyum.

Tetapi di samping pelbagai kejayaan yang membanggakan itu, perjuangan memperkasa bahasa Melayu yang berpusat di Johor itu juga telah mengalami pelbagai dugaan dan cabaran. Sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada 2002, hanya UMNO Johor yang berani menentangnya secara terbuka.

Sikap berani itu dipertahankan secara konsisten hingga akhirnya dasar PPSMI ditarik kembali.

Dengan penuh semangat dan nada yang puitis, Abdul Ghani memberi jaminan “Sekali kita sama berdayung, bersama-samalah kita menempuh dan menghadapi badai gelombang dan angin taufan yang ingin menghancurkan seluruh tradisi kemelayuan di bumi tercinta ini.

Kami anak-anak Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berhasrat menghapus atau memperkecilkan tamadun Melayu.”

Di bahagian lain dalam ucapannya, beliau menegaskan: “Bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa ilmu jika penggunaannya sebagai bahasa pengantar hanya terbatas setakat sekolah rendah dan menengah sahaja.”

Pernyataan Abdul Ghani itu penting untuk mengekalkan momentum keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI.

Pada hemat saya, itu jugalah yang disuarakan oleh Muhyiddin apabila beliau berkata: “Jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama-kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan akhirnya akan pupus.”

Dengan semangat “berbaik sangka” marilah kita menerima ucapan Abdul Ghani dan Muhyiddin itu sebagai pernyataan “Memperbaharui iltizam” untuk memperkasa bahasa Melayu. Bahasa Jiwa Bangsa.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah

Felo Penyelidik Kanan (Pelawat),

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan