Isnin, 16 November 2009

Bersiap sedia hadapi banjir, tanah runtuh

MUSIM banjir sudah kembali. Minggu lepas, negeri sebelah Pantai Timur dilanda banjir. Minggu ini nampaknya giliran negeri sebelah utara Pantai Barat.

Kedatangan banjir sudah boleh diramal. Di mana banjir akan berlaku juga boleh dijangka.

Berdasarkan pengalaman tahun-tahun terdahulu, masalah banjir kerap berlaku pada November hingga Disember iaitu musim tengkujuh di negara kita.

Hakikatnya semua rakyat Malaysia sepatutnya sudah tahu bila banjir akan berlaku dan apa persediaan yang perlu dibuat untuk menghadapinya. Ketika hujan turun hampir setiap hari, maka elok kita mengingatkan penduduk di kawasan yang berhampiran sungai dan yang kerap berlaku banjir supaya membuat persiapan awal.

Kita percaya, Kerajaan Pusat dan negeri sudah membuat persediaan dari segi sistem yang mencukupi untuk menghadapi bencana banjir yang bukan asing bagi kita.

Justeru, kepekaan dan tahap kewaspadaan mereka yang terbabit sepanjang musim tengkujuh ini amat dituntut bagi mengelakkan keadaan 'sudah jatuh ditimpa tangga.'

Jika setiap orang mengambil langkah berhati-hati, sudah tentu angka korban banjir dapat dikawal. Perkara paling penting, kecuaian akibat terlepas pandang mesti dielakkan bagi menjamin keselamatan anak-anak. Ini kerana kelalaian boleh mengundang padah di musim banjir.

Sifat kanak-kanak yang kebanyakannya masih menganggap banjir sebagai 'pesta air' menuntut pemantauan berterusan oleh anggota keluarga. Membiarkan mereka mandi-manda di sungai semasa musim banjir seolah-olah membiarkan anak-anak menempah maut.

Kita percaya kerajaan berusaha menangani masalah banjir dengan menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan. Bukan itu sahaja, kerajaan juga gigih menghulur bantuan kepada mangsa.

Namun, mungkin tiba masanya bantuan bukan hanya diberi kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Sebaliknya, bantuan perlu dihulurkan kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat banjir seperti petani dan penoreh getah.

Walaupun rumah mereka tidak ditenggelami banjir tetapi tanaman mereka di kebun musnah. Golongan yang terjejas pendapatan seperti ini perlu dibantu.

Mungkin satu perkara yang perlu kita ingat di musim hujan ini ialah kejadian tanah runtuh. Jangan kerana tertumpu lebih pada bencana banjir, kita kurang menyedari bahawa tanah runtuh juga boleh terjadi terutama di kawasan penempatan di tanah tinggi dan lereng bukit.

Berdasarkan peristiwa lalu, kejadian tanah runtuh di negara kita berlaku serentak pada musim tengkujuh. Kepada penduduk kawasan tanah tinggi dan pihak berkuasa tempatan, rajin-rajinlah membuat pemantauan kawasan kediaman. Ambil tindakan segera jika ada tanda-tanda struktur tanah berhampiran rumah tidak kukuh.

Alangkah baiknya jika dalam keadaan begini, kita tidak perlu lagi mendengar rintihan dan rungutan daripada mangsa banjir atau tanah runtuh, di samping aduan berhubung kelemahan usaha bantuan.

Oleh itu, kita berharap musim tengkujuh sekarang tidak membawa cerita sedih.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan