Jumaat, 6 November 2009

Langkah memartabatkan bahasa Melayu : untuk siapakah penguatkuasaan bahasa Melayu?

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

BANYAK sebab mengapa ramai yang menunggu pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 diluluskan dalam tempoh terdekat ini.

Draf akta itu ketika ini disemak oleh penasihat undang-undang Kementerian Pelajaran dan akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Pertamanya, kerana isu memberikan lebih kuasa kepada DBP menerusi pindaan akta itu merupakan perbincangan yang sudah lama berpanjangan. Justeru biarlah kali ini, ia benar-benar membuahkan hasil dan tidak lagi mencetuskan polemik yang sia-sia.

Keduanya, ramai yang ingin menyaksikan sejauh mana DBP akan diberikan kuasa untuk memartabatkan bahasa Melayu sama ada dalam konteks pertuturan atau penulisan.

Adakah akan dibentuk pasukan penguatkuasaan di bawah DBP yang bertindak seperti 'polis' bahasa sama seperti pegawai penguatkuasa di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?

Apakah pula bentuk hukuman atau jumlah denda yang perlu dibayar oleh pesalah bahasa itu?

Ketiganya, dan yang penulis kira amat penting, apakah hasil atau kejayaan yang bakal dilihat selepas DBP diberikan kuasa ekoran pindaan akta tersebut.

Adakah kedudukan bahasa Melayu akan kembali menjadi bahasa utama dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat di negara ini? Atau lebih utama, adakah rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu itu dapat disemat di dalam sanubari setiap rakyat Malaysia?

Tidak dinafikan penguatkuasaan terhadap bahasa kebangsaan turut diamalkan di negara lain seperti di Perancis dan Jepun.

Namun, dalam konteks negara maju itu, penguatkuasaan tersebut dilakukan semata-mata untuk memastikan identiti atau jati diri nasional negara tersebut terus wujud dalam acuan tersendiri.

Masalahnya di Malaysia, bahasa Melayu belum cukup kuat untuk dikatakan sebagai bahasa identiti atau jati diri nasional setiap warga Malaysia. Ini kerana bukanlah sesuatu yang menghairankan hari ini untuk bertemu dengan mereka yang mengaku sebagai rakyat Malaysia, tetapi terkial-kial bertutur dalam bahasa Melayu.

Malah ada yang tanpa segan silu mengaku 'kedengaran bodoh' apabila bercakap menggunakan bahasa Melayu.

Jadi di mana letaknya bahasa Melayu sebagai identiti negara? Perkara inilah sebenarnya yang harus diperhatikan melangkaui aspek penguatkuasaan semata-mata.

Sebab itu apabila timbulnya polemik bahasa Melayu seperti penggunaan bahasa rojak atau kesalahan bahasa, kita tidak secara automatik menuding DBP.

Memang benar badan itu memikul tanggungjawab sebagai pusat pengembangan bahasa dan persuratan Melayu negara. Malah, DBP selama 52 tahun kemerdekaan negara juga telah mengambil pelbagai inisiatif tidak hanya memperkasakan bahasa Melayu di kalangan rakyat negara ini, tetapi turut memperkenalkannya kepada masyarakat global.

Namun, soal mencintai dan berasa bangga serta memberi penghormatan terhadap bahasa Melayu di kalangan setiap rakyat Malaysia bukan boleh dipupuk oleh DBP. Sebaliknya ia perlu hadir menerusi kesedaran yang tinggi di kalangan setiap rakyat Malaysia yang meyakini bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa penting untuk berjaya.

Berjaya sama ada dalam konteks sebagai bahasa ilmu, ekonomi, antarabangsa atau bahasa yang menyeru kepada perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum ini.

Malangnya, keyakinan itulah yang tidak ada terhadap bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia hari ini. Bahasa Melayu terbelenggu dengan pelbagai persepsi negatif termasuk tidak melambangkan imej dan prestij yang tinggi. Malah bahasa Melayu juga seperti tidak mempunyai nilai dalam konteks bahasa ekonomi dan pekerjaan.

Kegagalan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dalam erti kata sebenar juga kerana kita terlalu memberi kebebasan kepada bahasa lain sebagai bahasa pengantar atau bahasa ilmu dalam sistem pendidikan.

Keadaan ini yang sebenarnya bermula di peringkat lebih awal iaitu sekolah rendah, menyukarkan lagi proses perpaduan melalui bahasa tunggal. Penggunaan pelbagai bahasa dalam sistem pendidikan itu hanya akan melahirkan generasi muda yang tidak jelas mengenai identiti nasionalnya.

Sementelah, perpaduan menerusi satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi sudah dibuktikan berjaya di banyak negara termasuk di Indonesia.

Perkara ini juga harus dilihat melangkaui peruntukan kuasa yang diberikan kepada DBP semata-mata. Polisi-polisi kerajaan khususnya yang bersifat budaya, perlu memberi perhatian ke arah melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Ini bagi memastikan rakyat Malaysia tidak hanya melihat bahasa Melayu itu milik kaum majoriti Melayu semata-mata. Tetapi bahasa yang menjadi identiti bangsa dan nasional setiap yang bergelar anak Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen