Khamis, 31 Disember 2009

Bangkit lebih ampuh – PM

Warga Kuala Lumpur meraikan Sambutan Ambang Merdeka sempena tahun baru 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Malaysia akan bangkit lebih ampuh dengan pertumbuhan positif dalam tahun 2010.

Beliau juga berharap agar kadar defisit fiskal kerajaan berkurangan daripada 7.4 peratus kepada 5.6 peratus tahun depan.

“Sungguhpun begitu, matlamat jangka panjang kita bukan semata-mata untuk pulih daripada krisis, tetapi yang lebih penting ialah mengambil peluang ini untuk meletakkan asas-asas kukuh bagi kemakmuran dan masa depan negara dengan pembaharuan berterusan,” katanya dalam perutusan sempena tahun baru 2010 yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam ini.

Beliau berkata, adalah menjadi suatu imperatif kepada kemakmuran masa depan untuk Malaysia meningkat dalam rantaian nilai ekonomi global.

“Merintis jalan ke hadapan bererti mewujudkan ekonomi yang berteraskan pengetahuan yang digerakkan oleh daya kreativiti, inovasi serta nilai tambah yang tinggi,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata dalam tahun 2010, kerajaan akan membentangkan dua inisiatif penting iaitu inisiatif jangka panjang melalui satu model ekonomi baru yang akan menjadi panduan hala tuju pembangunan negara menuju 2020 serta tahun-tahun berikutnya.

“Keduanya pula, satu inisiatif yang bersifat jangka pendek dan sederhana dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Kejayaan kedua-dua inisiatif ini memerlukan peranan proaktif setiap rakyat Malaysia.

“Adalah benar, dalam mendepani saat-saat sukar cabaran ekonomi, kita telah bersama meraih kejayaan bukanlah secara kebetulan bahkan dengan membuat pilihan yang bijaksana.

“Saya amat percaya bahawa kunci kepada kejayaan masa depan bukanlah semata-mata kekayaan sumber alam akan tetapi yang lebih utama adalah modal insan yang berilmu dihiasi semangat keusahawanan waja dalam menjana kekayaan baru untuk tanah air,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010, Najib mahu seluruh rakyat bergerak ke hadapan bagi mencapai kejayaan bersama kerana masih banyak denai dan cabaran yang akan diredahi.

“Apa yang membumbungkan semangat ini adalah kerana saya percaya bahawa saya tidak keseorangan, saya tahu rakyat negara ini adalah rakyat yang bijak, berbakat dan bersemangat tinggi.

“Kita akan bersama penuh optimistik menjulang nama Malaysia,” katanya sambil berharap agar tahun 2010 akan membawa kemakmuran, keselamatan, kesihatan dan tuah untuk Malaysia dan rakyatnya.

Najib menyifatkan tahun 2009 merupakan detik waktu yang diselubungi cabaran cukup luar biasa seperti krisis pemanasan global yang telah mengancam kelestarian dan kesejahteraan planet ini serta krisis kewangan sejagat yang julung kali seumpamanya menghentam di luar jangka dan skala sehingga memporak-peranda keluarga serta perniagaan di setiap penjuru dunia.

“Walau apapun dugaan dan rintangan, dengan izin-Nya jua, kita berupaya melalui semua itu bukan dengan duduk bersimpuh, akan tetapi, tegak berdiri, bertindak membuat keputusan yang sukar, sekali gus melaksanakan pelbagai dasar secara berhemah,” katanya.

Ketika memegang tampuk pemerintahan negara sembilan bulan lalu, beliau telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diutamakan dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

“Walaupun ada pihak yang cuba memesong dan mengelirukan inisiatif murni ini, saya yakin dan percaya majoriti rakyat Malaysia mula memahami falsafah yang melatari konsep 1Malaysia.

“Kekuatan kita terbina di atas nama meraikan perbezaan dan kemajmukan tidak kira tua, muda, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban ataupun etnik lain. Untuk memastikan matlamat ini terlaksana maka peranan kerajaan haruslah ditransformasi daripada penyedia mutlak kepada pemudah cara terbaik,” katanya.

Beliau berkata, masa depan Malaysia yang lebih cemerlang terletak kepada penggabungan serta pemupukan idea, bakat, inisiatif dan semangat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengenal batas dan latar belakangnya.

“Sumbangan setiap rakyat Malaysia adalah mustahak bagi menentukan kejayaan, tiada rakyat Malaysia yang tidak penting atau terpinggir. Kerajaan mengalu-alukan setiap bakat yang ada. Alangkah ruginya jika bakat yang terbentuk di bawah langit Malaysia diambil faedah untuk memakmurkan negara lain,” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Komen