Rabu, 16 Disember 2009

HARAPAN RAKYAT MENJELANG TAHUN BARU

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

ESOK, umat Islam akan meraikan Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam dan ia akan disusuli pula sambutan tahun baru 2010 masihi yang sekali gus akan melabuhkan tirai 2009.

Isu politik, sosial dan ekonomi terus mewarnai kenangan tahun 2009 yang telah pun membuka pelbagai lembaran baru yang seterusnya merintis jalan kepada harapan yang tinggi bagi tahun 2010 kelak.

Perubahan tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah titik permulaan era baru landskap politik negara ini. Memulakan zaman pemerintahannya dengan memperkenalkan konsep '1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', Najib terus melangkah ke hadapan dengan penuh bersemangat dan yakin.

Perubahan demi perubahan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh beliau telah mula menampakkan hasilnya.

Namun segala usaha tersebut nampaknya bukan mudah untuk dilaksanakan. Pelbagai rintangan terutamanya isu-isu perpaduan, sentimen perkauman dan pelbagai tuntutan politik yang tidak munasabah dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda politik tersendiri sedikit sebanyak merencatkan agenda keharmonian politik negara kita.

Akibatnya rakyat mula kebingungan manakala kontrak sosial yang dibanggakan selama ini juga dilihat mengalami sedikit keretakan. Perasaan prejudis dan curiga sudah mula mengambil tempat dalam masyarakat kita.

Ini ditambah pula dengan pelbagai masalah sosial yang terus menghantui rakyat negara ini. Jenayah ragut, bunuh dan rogol misalnya semakin menjadi-jadi dan mula meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa.

Maka sinar tahun baru dinantikan dengan penuh harapan dan debaran oleh setiap rakyat negara ini agar ia akan membawa khabar gembira untuk kita semua.

Sesungguhnya rakyat sangat mendambakan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan mengutamakan rakyat tanpa propaganda politik yang boleh menghancurkan perpaduan kaum serta keamanan dan keselamatan negara ini. Untuk mencapai tahap itu, institusi politik negara ini memerlukan suatu anjakan paradigma yang besar-besaran dan menyeluruh dengan segera.

Kita juga menaruh harapan yang tinggi kepada pihak keselamatan terutamanya PDRM agar terus memainkan peranan yang efektif dalam membendung semua jenis jenayah yang mengganggu gugat ketenteraman awam. Ini penting kerana senario semasa menunjukkan seolah-olah rakyat kita semakin takut untuk keluar rumah ataupun berada di jalanan kerana jenayah ragut dan kemalangan jalan raya yang semakin menghantui mereka.

Dan yang pastinya rakyat juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat melaksanakan semua program dan projek yang telah dibentangkan dalam Bajet 2010 untuk merangsang kembali dan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara kita.

Ia diharap dapat mengurangkan kadar pengangguran di samping membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk diterokai. Menjelang tahun baru ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia berganding bahu membentuk sebuah negara yang aman dan terus mekar di persada antarabangsa.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen