Selasa, 29 Disember 2009

Nasib bahasa Melayu di bumi sendiri

Oleh DR. SHARIFUDIN LUBIS

AKHBAR Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan satu berita yang perlu dilihat sebagai sinikal kepada pengamal media yang mencemburui perkembangan dan kedudukan bahasa Melayu.

Berita yang dimaksudkan ialah mengenai usaha mewujudkan stesen Radio Kampungku di Kanada yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara. Stesen ini turut menyiarkan lagu artis-artis popular Malaysia seperti Tan Sri P. Ramlee, Datuk Siti Nurhaliza dan sebagainya.

Seorang wanita rakyat Malaysia keturunan India yang berkahwin dengan seorang lelaki rakyat Kanada telah memprakarsakan stesen dan program-program berbahasa Melayu yang siarannya dapat diikuti di Toronto, Vancouver dan Calgary malahan sehingga di Amerika Syarikat.

Bersusah payah pasangan suami isteri tersebut memperkenalkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu sehinggakan si suami yang berbangsa bukan Melayu itu turut menguasai bahasa Melayu dengan begitu petah sekali.

Selain Kanada, siaran bahasa Melayu juga sebenarnya telah mantap di Radio Antarabangsa China yang berpangkalan di Beijing semenjak tahun 1959 lagi.

Usaha China ini telah membuahkan hasil yang amat signifikan dengan wujudnya Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University yang menawarkan jurusan Bahasa Melayu.

Terkini, Pusat Pengajian Melayu juga telah diwujudkan di wilayah Guangxi pada 2008 dan akan muncul pada tahun 2010 pusat yang serupa di wilayah Yunnan.

Usaha tersebut jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu tidaklah bersifat kampungan tetapi sebaliknya dapat diterima dengan baik oleh bangsa-bangsa dunia yang lain. Usaha ini juga membuktikan bahawa media penyiaran seperti radio sangat luas jangkauan pengaruhnya dalam melestari sesuatu bahasa.

Satu contoh lain ialah penggunaan bahasa Melayu sebutan baku di Bahagian Melayu Perbadanan Televisyen Singapura dan Perbadanan Radio Singapura. Namun demikian, kembali kepada senario tempatan, usaha memartabatkan bahasa Melayu nampaknya bersifat sambil lewa dan bermusim. Tanpa mengambil kira stesen radio swasta, stesen radio kerajaan yang berbahasa Melayu juga nampaknya 'keliru' dalam peranannya memartabatkan bahasa Melayu.

Penulis fikir jika Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sempat mendengar siaran radio kerajaan, beliau juga akan pening kepala dengan kerenah anak buahnya di RTM.

Selain masalah kesalahan sebutan yang merupakan gejala turun-temurun, pengawal stesen radio juga nampaknya gagal 'mengawal' penyiaran iklan yang sungguh menyakitkan telinga.

Sebagai contoh, semenjak beberapa minggu kebelakangan ini kerap diputarkan siaran iklan "Y.E.S" (dengan maksud Year End Sale), dan iklan berbunyi "K.L. Sunday One Malaysia Family Fair".

Pendengar faham bahawa iklan-iklan itu bukan dihasilkan oleh RTM tetapi tidakkah ada peraturan atau kuasa untuk tidak menyiarkannya di radio? Kekerapan putarannya menyebabkan banyak kesan buruk terhadap bahasa Melayu. Tidak bolehkah disebut "Jualan Hujung Tahun" atau "Pesta Ria Keluarga Satu Malaysia Ahad Kuala Lumpur"?

Rakyat Malaysia perlu segera bangkit daripada sindrom 'jangan jaga tepi kain orang'. Segala usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang bahasa semata-mata tetapi harus dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.

Bagi mereka yang berkuasa pula, hentikanlah segala retorik dan semangat yang bersifat musiman. Banyak mata menilai kejujuran dalam perjuangan yang belum selesai ini. Janganlah sampai nanti, orang lain lebih tahu bahasa kita daripada kita sendiri.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen