Isnin, 14 Disember 2009

PERADABAN MELAYU MANTAP

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Bahasa, pemikiran maju sebelum kedatangan pengaruh luar di Nusantara

SARJANA tanah air diminta menekankan kemajuan peradaban Melayu secara endogenus, iaitu pertumbuhan dari dalam masyarakat berdasarkan kreativiti mereka, tanpa terperangkap kecenderungan melihat kemajuan secara eksogenus, iaitu suntikan daripada peradaban lain.

Cadangan yang dikemukakan tokoh ilmuwan dan budaya Melayu pada Seminar Peradaban Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, bertujuan mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam perbincangan yang lebih diberatkan kepada aspek eksogenus kerana semua peradaban dunia seperti Arab Islam, Eropah Islam, India Hindu dan Cina tidak terlepas daripada menerima pengaruh luar.

Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, berkata kecenderungan sarjana tanah air mengambil sikap eksogenus menyebabkan ia dimanfaatkan pihak tertentu bagi menafikan kewujudan peradaban Melayu.

“Saya pernah menerima kiriman petikan daripada buku yang diterbitkan di luar negara yang mengatakan unsur peradaban luar yang datang ke alam Melayu. Inilah yang menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang berperadaban dengan mengambil contoh perkataan daripada bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, Inggeris, Portugis, Belanda dan Cina,” katanya ketika membahaskan Bahasa Sebagai DNA Peradaban pada seminar anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tanpa menafikan pengaruh luar memperkaya bahasa Melayu, Prof Emeritus Asmah mengingatkan khalayak untuk tidak menerima pandangan penulis blog terbabit yang berusaha merendah-rendahkan peradaban Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu dan pemikiran Melayu sudah maju sebelum datangnya pengaruh dari luar atau dengan perkataan lain, bahasa Melayu sudah lengkap dengan sistem leksikal bahasa yang dapat memaujudkan konsep dalam minda penuturnya.

“Bukti bahasa Melayu bertulis paling awal ialah bahasa di batu bersurat Sumatera Selatan dan Pulau Bangka yang bertarikh abad ke-7 yang turut dikenali sebagai Inskripsi Melayu Sriwajaya yang sudah banyak diperkatakan sarjana Belanda, Perancis dan Inggeris,” jelasnya.

Pandangan Prof Asmah itu diperakukan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, yang menegaskan tamadun Melayu dibina orang Melayu yang pandai berfikir dalam bahasanya seperti digambarkan dalam Hikayat Hang Tuah.

“Orang Melayu pandai menggunakan bahasa dengan baik, betul dan indah walaupun tidak mempelajarinya secara formal. Ini menunjukkan cara berfikir dalam bahasa Melayu menyebabkan akal dapat ditajam serta dijernihkan sehingga menjadi alat pembinaan tamadun tinggi,” katanya ketika membahaskan Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan akal budi bangsa Melayu Sepanjang Zaman.

Kekuatan akal Melayu tidak dikacau oleh bahasa asing sehingga pemantun dan pencetus pepatah serta peribahasa Melayu zaman dulu bebas untuk mengetahui atau menguasai bahasanya secara intuitif.

Pengarah APM, UM, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, menyarankan peradaban Melayu dimantapkan kembali dengan menjadikan kekuatan Islam dan ilmunya sebagai kekuatan rohani serta falsafah Melayu.

“Pendekatan ini membolehkan ia menjadi benteng pertahanan rohani Melayu daripada segi tauhid, takwa dan iman. Fungsi bahasa Melayu juga perlu dipertingkatkan daripada bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah kepada bahasa ilmu,” katanya.

Pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu diberi sokongan dan sarjana di semua universiti awam perlu bekerja keras untuk menulis makalah atau buku dalam bahasa Melayu dalam semua ilmu.

“Selain penciptaan ratusan ribu kosa kata dan istilah baru oleh ilmuwan, saintis dan teknologis Melayu, mereka juga perlu meneroka ke dalam alam teoritikal dan paradigma Melayu,” katanya ketika membincangkan Memantapkan Peradaban Melayu.

Zainal Abidin menegaskan tumpuan juga harus diberikan kepada penerokaan bidang baru yang belum diangkat kepada umum seperti falsafah, maritim dan ethnosains Melayu, selain mencipta dan merumus teori Melayu seperti dalam bidang kesusasteraan.

“Dalam usaha mempertingkatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa kedua atau bahasa antarabangsa kepada pelajar antarabangsa yang difahamkan terdapat lebih 100 institusi pengajian Melayu di dunia,” tegasnya.

Dalam konteks perdagangan pula, bangsa Melayu perlu meramaikan individu yang datang daripada kelas masyarakat perusahaan, perdagangan dan perindustrian Melayu dengan mewajibkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dalam bidang berkenaan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

1 ulasan: