Khamis, 21 Januari 2010

Amalan syura hakis tekanan di tempat kerja

Oleh NOR HARTINI SAARI

SUDAH menjadi lumrah apabila seseorang itu menceburi sesuatu bidang kerjaya, ada sahaja tekanan yang dihadapi. Tekanan seringkali ditakrifkan sebagai desakan, paksaan, atau keadaan menanggung beban yang amat sukar oleh seseorang.

Pelbagai bentuk tekanan yang berlaku misalnya disebabkan oleh kehilangan pekerjaan, kemusnahan harta benda, keruntuhan rumah tangga, kegagalan dalam hidup dan sebagainya. Impak daripada tekanan ini boleh merubah situasi seseorang pekerja itu bergantung kepada tahap sejauh mana ia menghadapi tekanan tersebut.

Sekiranya tekanan dihadapi dengan positif maka jawapannya pasti baik, akan tetapi jika seseorang itu menerima tekanan secara negatif maka ia boleh menjadi punca kepada pelbagai penyakit yang melibatkan emosi terutama penyakit mental yang boleh menyebabkan pekerja itu sukar dikawal. Panas baran, murung, keluh kesah, ketakutan, kesedihan dan hilang tumpuan terhadap kerjaya adalah antara kesan penyakit ini.

Malah kejadian yang melibatkan pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini turut dikaitkan dengan tekanan jiwa atau gangguan mental yang dianggap semakin kritikal di negara kita. Statistik daripada Jabatan Psikologi Universiti Malaya menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada sembilan rakyat Malaysia mengalami masalah mental juga amat membimbangkan.

Bahkan juga ditakuti apabila tekanan berada di tahap yang serius, ia akan meningkatkan lagi kes yang melibatkan gangguan emosi dan mental di negara kita. Justeru, penulis berpendapat bagi mengelak tekanan sebegini, segala tugasan yang diberikan kepada pekerja perlulah diteliti kembali agar tidak membebankan atau jauh daripada kemampuan mereka.

Bebanan tugas yang terlalu banyak, mengejar tarikh akhir, mesyuarat di sana dan sini adalah contoh persekitaran kerja yang memberi kesan negatif. Tambahan pula dengan peranan tugas yang kabur dan matlamat kerja yang kurang jelas serta sikap ketua yang sering ikut mood ketika memberi arahan, turut mengundang tekanan di tempat kerja.

Malah apa sahaja yang diminta oleh ketuanya mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan baik akibat pekerja itu tidak pasti dengan tugas yang diberikan dan tertekan dengan sikap ketuanya.

Hal ini akan menyebabkan pekerja itu berasa kecewa, rasa rendah diri, putus asa dan hampa, selain berkemungkinan akan terus hilang motivasi diri dan gagal mengawal tekanan yang dihadapi yang akhirnya memberi kesan kepada jiwa.

Apabila tekanan jiwa dihadapi, ia akan memberi impak terhadap kesihatan psikologi seseorang sekiranya ia tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2008, ia menunjukkan kadar masalah mental di negara kita meningkat kepada 15.6 peratus berbanding pada 2007.

Malah berdasarkan kepada statistik tersebut, ditakuti juga penyakit yang disebabkan oleh tekanan ini boleh menyebabkan negara gagal mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan hidup yang mana pada akhirnya menjejaskan prestasi kerja sehingga imej dan reputasi kerjaya turut terjejas dan merosot. Apabila prestasi merosot, sudah tentu kurang pengiktirafan atau penghargaan majikan untuk pekerja terbabit yang akhirnya mengakibatkan pekerja tersebut terus dirundung kedukaan dan mengalami tekanan.

Apakah yang harus dilakukan apabila seseorang pekerja itu mengalami tekanan seterusnya membawa kepada masalah emosi? Adakah mereka ini akan disisihkan? Sebagai pekerja Muslim, seseorang itu seharusnya mendalami situasi tekanan lebih-lebih lagi tekanan di tempat kerja supaya ia dapat diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada diri tetapi juga kepada organisasi.

Dalam konteks agama Islam, bagi mengelak tekanan kepada para pekerja, amalan syura atau bermusyawarah adalah jalan terbaik bagi menjalin hubungan pekerja dan majikan dalam organisasi. Syura merupakan satu bentuk mesyuarat yang mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak bagi mencapai keputusan yang tepat, berkesan dan boleh diterima oleh semua pihak.

Di sini, bermusyawarah bersama ketua berkaitan dengan skop tugas adalah penting agar apa saja yang dilakukan tidak memberi tekanan, tidak timbul rasa tertindas, kecewa dan rasa rendah diri di kalangan mereka serta menganggap organisasi yang dinaungi itu sebagai sebuah keluarga yang mampu bergerak bersama. Dengan penyertaan semua pihak terutama ketua dan pekerja, syura dapat mempereratkan lagi hubungan antara pekerja dan majikan.

Menyedari betapa besarnya manfaat syura, maka amalan syura oleh Rasulullah SAW patut dicontohi. Rasulullah sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan bernas daripada para sahabatnya mahupun hamba. Justeru, dengan pelaksanaan sistem syura ini diharapkan semua masalah yang membawa kepada tekanan emosi di tempat kerja hari ini dapat diselesaikan dengan baik.

Di samping itu, sebagai pekerja Muslim, dalam mengawal tekanan diri, eloklah iktikad dalam hati bahawa apa juga yang melanda itu adalah isyarat daripada Allah SWT untuk terus bermuhasabah diri dan memperbanyakkan beristighfar, di samping menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai pegangan, selain membaca, mendengar dan menghayati tafsirnya.

Begitu juga dengan amalan berzikir. Ia merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud: "Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia."

Untuk mengelakkan tekanan perasaan maka selalulah berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau sehebat manapun tekanan yang dialami, pertolongan Allah SWT tetap ada.

Ingatlah, tiada masalah tanpa penyelesaiannya. Oleh itu, kita harus mengkaji dan meneliti sebagaimana setiap penyakit ada penawarnya. Anggaplah apa jua tekanan yang terjadi itu merupakan tiket untuk kita mendekatkan diri dengan Allah SWT dan meningkatkan hubungan sesama manusia dalam organisasi.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan