Masih ingatkah lagi dengan sebuah iklan Aidilfitri mengenai seorang wanita yang gagal mengembalikan kasih sayang yang diberikan bapanya ketika masa remajanya.
Iklan hasil kerja Allahyarham Yasmin Ahmad keluaran Petronas itu bermula dengan wanita tersebut mengambil bapanya yang tua dari hospital untuk pulang ke rumah, dengan suaminya bertanya tidak bolehkah bapanya tinggal di hospital dengan lebih lama.
Di rumah wanita itu, bapanya menerima layanan dingin daripada menantu sehinggakan waktu makan pun orang tua itu terpaksa makan berseorangan di tempat lain dan tidak bersama keluarga anaknya.
Iklan itu berakhir apabila wanita tersebut sedar dia telah gagal membayar balik segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh bapanya pada satu masa dahulu, kembali pada masa ini.
Baru-baru ini media melaporkan mengenai dua insiden di mana bapa telah ‘dibuang’ oleh anaknya.
Dalam kes pertama, seorang pesakit buah pinggang berumur 60 tahun telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisis di Kangar, Perlis. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudian menempatkan lelaki tersebut di sebuah rumah kebajikan, ‘Rumah Sri kenangan’ di Jejawi.
Itulah kali kedua dalam seminggu di mana warga emas dilaporkan dibuang oleh darah daging mereka sendiri.
Dalam kes sebelumnya, seorang bapa berumur 57 tahun telah ditinggalkan di tepi jalan bersama bungkusan pakaiannya di Behor dekat Kangar. Beliau, yang baru menjalani pembedahan jantung, terpaksa berlindung dan tidur di sebuah perhentian bas.
Lelaki itu kemudian diberi perlindungan di rumah kebajikan Batu Bertangkup di Chuping.
“Dalam dongeng Melayu, kita ada kisah ‘Si Tenggang’. Sekarang kita pula ada baca laporan media tentang anak membuang bapa yang tua”, kata Pegawai Kemajuan Masyarakat (Kemas) Rafia’ah Jaafar.
Sudah tentu Rafia’ah merujuk kepada sebuah cerita dongeng seorang pemuda bernama Tenggang yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari kesenangan.
Beliau kemudian berjumpa dan berkahwin dengan seorang wanita kaya. Bertahun kemudian, ketika dalam satu pelayaran kapalnya terpaksa berlabuh di kampung tempat asalnya.
Bagi Rafia’ah terdapat beberapa jawapan bagi persoalan tersebut.
“Ramai ibu bapa yang mahukan anak mereka dapat lebih daripada apa yang mereka sendiri punyai lalu melakukan kesilapan dengan terlampau memanjakan anak.
Bila besar anak itu tidak dapat menilai benda atau perkara yang ‘dikorbankan’ oleh ibu bapa dan berasa mereka berhak terhadap apa yang diberikan ibu bapanya”, katanya.
Apabila ibu bapa semakin tua, anak-anak berasa bukan tanggungjawab mereka untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi ibu bapa, kata Rafia’ah.
Ada juga anak yang mementingkan diri sendiri dan memandang sambil lewa sahaja terhadap ibu bapa.
“Satu lagi faktor adalah cara ibu bapa membesarkan anak. Sesetengah daripada anak mengharungi alam kanak-kanak yang traumatik dan mungkin membenci ibu bapa.
Ada ibu bapa yang mendera dan mendatangkan stres terhadap anak-anak. Jadi bila anak ini besar, mereka membalas apa yang mereka alami semasa kecil terhadap ibu bapa”, katanya.
Pada satu majlis tahun lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata sesiapa yang membuang ibu bapa boleh dianggap melakukan satu perbuatan kejam.
Beliau menasihati mereka yang rasa tidak lagi mampu menjaga ibu bapa supaya menghubungi pejabat kebajikan yang terdekat.
“Jangan tinggalkan mereka di hospital atau di jalanan. Juga jangan tinggalkan orang tua yang tidak berdaya keseorangan tanpa jagaan di rumah”, beliau dilaporkan berkata.
Kata Shahrizat, beliau tidak mahu melihat satu budaya buang ibu bapa berkembang di negara ini.
Bagi pendidik Abdul Rahman Noordin, sudah tiba masanya kerajaan menggubalkan undang-undang terhadap isu tersebut.
Mengikut Abdul Rahman, pertalian ibu bapa-anak adalah satu komponen yang amat penting dalam masyarakat yang penyayang dan maju.
“Tetapi kini terdapat satu trend di mana ibu bapa ditinggalkan di rumah orang tua tanpa apa-apa bantuan serta perhatian”.
Agak malang kerana negara ini masih belum punya akta yang mewajibkan anak menjaga ibu bapa mereka.
“Ibu bapa perlukan undang-undang bagi menjaga keperluan mereka di peringkat usia yang lanjut”, katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan