Jumaat, 22 Januari 2010

MANGKATNYA SULTAN BERJIWA RAKYAT

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
hamzah.abdulhamid@kosmo.com.my

Tidak pernah sehari pun semasa hayat Almarhum Sultan Iskandar, waktu itu tidak dipenuhi dengan eksplorasi yang berkaitan dengan minat baginda dalam pelbagai bidang. Baginda amat dekat dengan rakyat.

NAUNGAN diraja di bumi Darul Takzim dan harapan pembelaan rakyat nyata terlihat kesinambungannya apabila Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru.

Putera ketiga Sultan Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Sultanah Ungku Tun Aminah binti Ungku Paduka Bena Sri Maharaja Utama Ahmad itu dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang sepanjang melayari kehidupan sebagai kanak-kanak.

Bermula dengan pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru, Johor, Almarhum seterusnya melanjutkan pelajaran di English College yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar, iaitu antara institusi pendidikan peringkat menengah yang terunggul di ibu negeri Johor.


Bertitik-tolak daripada semangat dan kecintaan yang tinggi terhadap penerokaan ilmu, baginda telah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Trinity Grammar School, Australia pada tahun 1952.

Selepas setahun, baginda mengembara ke Isle of Wight di United Kingdom untuk mengikuti pengajian di Upper Chime School selama tiga tahun.

Sejurus pulang dari perantauan dan kembali ke pangkuan keluarga di Johor pada 1956, baginda terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service. Baginda bertanggungjawab menerajui Jabatan Hal Ehwal Daerah, Tanah dan Perbendaharaan ketika itu.

Seperti keinginan seorang belia yang penuh dengan pengalaman dan kesungguhan, Tunku Iskandar diingati pada zaman muda baginda sebagai seorang juruterbang terlatih.

Namakan saja model pesawat ringan dan sederhana, semua itu pernah dikemudi baginda hingga meninggalkan rasa kagum dalam kalangan mereka yang menyaksikan aksi baginda di ruang angkasa.

Begitu juga dengan sahsiah baginda sebagai putera raja yang berdisiplin. Ternyata itu semua berkat latihan asas ketenteraan yang diperoleh baginda dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) yang diasas dan ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.

Cinta baginda datang pada 1956. Tunku Iskandar telah mengahwini Kalsom Abdullah dari Cornwall, United Kingdom dan dikurniakan dengan empat orang anakanda termasuk Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim (yang kini dilantik menjadi Pemangku Raja).

Sejurus perkahwinan itu berakhir sekitar 1961, baginda bernikah pula dengan Tengku Zanariah binti Tengku Ahmad yang merupakan kerabat diraja Kelantan. Perkongsian hidup baginda berdua dikurniakan enam orang cahaya mata.

PEMASYHURAN

Pada zaman kanak-kanaknya baginda biasa dipanggil dengan gelaran Mahmud oleh saudara dan sahabat terdekat. Baginda telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor dari 1959 hingga 1961, sebelum menjadi Raja Muda dari 1966 hingga 1981 oleh ayahanda baginda, Sultan Ismail. Baginda dilantik semula sebagai Tunku Mahkota pada 29 April 1981.


Tidak lama selepas itu, ayahanda baginda, Sultan Ismail mangkat dan sehari selepas itu, Tunku Iskandar telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang keempat pada tarikh 11 Mei 1981. Sebagai pelarasan hierarki, adinda baginda, Tunku Abdul Rahman telah diangkat sebagai Tunku Bendahara Johor.

Pada 5 April 1982, Sultan Iskandar telah diberi penghormatan khas sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ia dilihat sebagai satu perlambangan unggul iaitu seorang sultan berkarisma yang bertindak sebagai payung kepada sebuah institusi ilmu tersohor di selatan tanah air.

Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa menjalin hubungan yang rapat dengan Majlis Agama Negeri atau dengan pentadbiran jabatan berkenaan melalui pegawai-pegawai tinggi seperti Yang Dipertua Jabatan Agama, Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam atau Mufti Negeri.

PERISTIWA INDAH

Sesungguhnya peristiwa yang paling indah bagi kerabat diraja Johor dan sekalian rakyat jelata adalah apabila Persidangan Majlis Raja-Raja Malaysia yang ke-129 memilih untuk menabalkan Sultan Iskandar sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984.

Sepanjang lima tahun menerajui kedudukan tertinggi dalam tampuk pemerintahan negara, baginda disanjung sebagai ketua agama dan bangsa yang sangat mengambil berat perjalanan politik negara.

Rata-rata titah baginda berkaitan perkembangan politik negara sering kali bersulam dengan pesan mengenai hal ehwal dan nasib rakyat yang perlu dijuarai.

Nama Sultan Iskandar paling dihargai dalam kelompok populasi Orang Asli khususnya di negeri Johor. Nasib golongan itu yang sehingga kini masih meneruskan kehidupan di pedalaman dan jantung belantara itu adalah agenda penting bagi baginda.

Betapa istimewanya hubungan antara kerabat diraja Johor dengan golongan itu jelas diketahui umum. Difahamkan bahawa mana-mana Orang Asli yang mempunyai masalah mengenai survival dan penganiayaan persekitaran tempat tinggal mereka akan dibenarkan menghadap baginda secara terus di istana bagi mencari penyelesaiannya.

Kalau hendak bercakap tentang aktiviti yang digemari baginda, mungkin tidak kehabisan ceritanya. Selain menyemai minat berburu, Sultan Iskandar juga gemar bermain polo, tenis, skuasy dan sukan luncur layar.

Selain itu, sebelum konsep Kembara Mahkota dipopularkan oleh putera baginda, Tunku Ibrahim, minat terhadap motosikal berkuasa tinggi sudah pun bermula dalam pekarangan istana negeri.

Bercakap tentang kemahiran, baginda memang memahami segala komponen motosikal hinggakan tidak punya masalah meleraikan dan memasang semula setiap komponennya.

Selain keterujaan yang diteruskan dalam bidang sukan udara, baginda juga amat meminati golf. Kalau punya waktu terluang untuk diri sendiri, padang hijau Royal Johor Country Club pasti akan dikunjungi baginda untuk menguji kehandalan memukul bola golf.

Tidak ketinggalan juga, baginda memiliki koleksi haiwan peliharaan yang pelbagai. Bagaikan santuari istimewa, tetamu Istana Bukit Serene di Johor Bahru pasti mengetahui tentang burung merak yang berkeliaran bebas di halamannya. Begitu juga dengan minat baginda terhadap peliharaan lain seperti rusa dan buaya.

Setelah kemangkatan baginda semalam, nama Almarhum Sultan Iskandar terus disanjungi. Segala kenangan dan jasa yang ditinggalkan baginda adalah umpama daulat yang akan terus diabadikan dalam ingatan segenap rakyat.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan