Rabu, 6 Januari 2010

Rasa cinta mampu jayakan matlamat perkasa bahasa Melayu

BAHASA JIWA BANGSA, demikian ungkapan yang acap kali kedengaran setiap kali kita membincangkan perihal bahasa. Sudah terlalu banyak langkah dan usaha diambil, namun entah di mana silapnya, hasrat memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan kedudukannya di persada sepatutnya belum kesampaian. Daripada acara penggalakkan sehinggalah penguatkuasaan peraturan, semuanya sudah dilakukan, tetapi taraf bahasa Melayu seolah-olah kian terpinggir di bumi sendiri. Kepesatan ledakan teknologi dan himpitan pensejagatan dijadikan alasan mengapa ia semakin lesu. Pelbagai macam hujah diberikan untuk menghalalkan kita mengetepikannya. Dakwaan kononnya ia ketinggalan, miskin perbendaharaan kata, tandus irama, malah kuno dilemparkan untuk membolehkan ia diperkotak-katikkan tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Paling menyedihkan, semakin ramai kini menganggap bahasa Melayu tidak canggih. Alangkah sedihnya jika satu hari nanti ada antara kita yang malu menuturkannya. Kita sendiri tidak pasti dari mana munculnya tanggapan sebegitu kerana sebenarnya, bahasa Melayu berada pada kedudukan keenam paling luas digunakan di dunia selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India. Hakikat itu, sekali gus menyangkal apa saja dakwaan yang cuba memperlekehkan bahasa Melayu. Ia sebaliknya, memberi gambaran jelas bahawa ia mesti terus diperkasa demi memastikannya dapat terus tersebar luas.

Dalam menjayakan matlamat membela, memulihara dan memperkasa bahasa Melayu, perkara paling penting yang harus dihayati ialah rasa kecintaan terhadapnya. Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan saja tidak cukup untuk menjamin ia didaulatkan. Bahasa ialah perantara perhubungan dalam ketamadunan, maka sudah tentulah kelangsungan hidupnya bergantung kepada penggunaan. Jika terbit keinsafan dalam sanubari kita untuk mendalami keindahan dan kelebihan bahasa Melayu serta menggunakannya dalam urusan seharian, separuh daripada perjuangan ke arah itu sudah pun tercapai. Sebenarnya, tiada cacat celanya bahasa Melayu, sebaliknya yang bermasalah ialah diri kita sendiri yang sering memandang rendah terhadapnya. Janganlah sampai dalam perkara membabitkan bahasa Melayu pun kita terpaksa menunggu orang asing menyanjungnya terlebih dulu baru kita mahu berbuat yang sama. Budaya ikut-ikutan dalam mengiktiraf kelebihan kita seperti ini harus dikikis. Natijah budaya ikut-ikutan itulah yang menyebabkan kita hari ini tidak segan silu memperkecilkan bahasa Melayu dan mengaitkannya dengan bermacam-macam tanggapan buruk. Memang dasar, perundangan dan penguatkuasaan membantu usaha mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi ia hanya penyebab sampingan saja. Jaminan sebenarnya perlu datang dalam diri setiap daripada kita yang mempunyai jiwa sebagai bangsa yang mencintai bahasanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen