Isnin, 22 Februari 2010

Bahasa Melayu tidak sukar

BUKU Petunjuk Bahasa antara bahan bacaan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

Kita selalu mendengar senario bahawa ada di kalangan rakyat negara ini yang dilahir dan dibesarkan di Malaysia sehingga berbelas-belas tahun tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu.

Bahkan, lebih menyedihkan ada yang langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan melihat bahasa itu sekadar bahasa cukup syarat memasuki institusi pengajian tinggi.

Bertemu dengan beberapa pelajar dari luar negara yang menjadikan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tempat pengajian mereka membuatkan hati penulis berbunga.

Melihat mereka menghargai bahasa Melayu bahkan mampu menguasainya dalam masa yang sangat singkat sangat menyeronokkan.

Kata mereka bahasa Melayu sangat mudah.

Percaya atau tidak dengan hanya dua bulan di Malaysia dan empat bulan di Indonesia, seorang anak muda Jerman, Moritz Ivo Will, 26, sudah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

Walaupun pelajar jurusan Ijazah Mikrobiologi Pertanian itu merendah diri mengatakan dia masih bertatih berbahasa Melayu, namun bagi penulis keupayaan itu cukup untuk membuatkan kita terpegun.

Pertemuan yang diatur oleh Pegawai Perhubungan Awam, UPM di Pusat Bahasa dan Komunikasi universiti itu telah mempertemukan penulis dengan empat warga luar tersebut.

Sepanjang sesi temu bual GenK dengan Moritz, Zainab Thamer Ahmed, 24, dari Iraq dan dua orang pensyarah bahasa Perancis, Cecile Gabarre dan Serge Gabarre, penulis kerap ketawa sendirian kerana teruja dengan perkataan yang mereka gunakan dalam pertuturan.

Sesekali bersoal jawab dalam bahasa Inggeris dengan mereka, akui Serge itulah antara kelemahan masyarakat Malaysia kerana tidak gemar menggunakan bahasa Melayu.

"Inilah masalahnya, apabila kami bercakap bahasa Melayu orang akan bercakap bahasa Inggeris dengan kami," kata Serge yang melihat ia menyukarkan untuk orang luar tertarik dengan bahasa Melayu.

Serge dan Cecile yang merupakan sepasang suami isteri dari Perancis telah menetap di Malaysia selama 12 tahun dan mengajar di UPM dalam kursus Bahasa Antarabangsa Perancis.

Zainab pula adalah pelajar jurusan Ijazah Linguistik Gunaan dan telah menetap selama empat tahun di Malaysia. Bapanya juga merupakan salah seorang pensyarah kejuruteraan di UPM.

Keempat-empat mereka mempunyai cerita tersendiri mengenai pengalaman dan kebolehan mereka dalam menguasai bahasa Melayu.

Menurut Moritz, dia belajar selama satu semester atau empat bulan semasa di Bandung, Indonesia.

"Di tempat saya tinggal, penduduknya tidak tahu menggunakan bahasa Inggeris oleh itu untuk berkomunikasi saya terpaksa mempelajari bahasa mereka.

"Kamus merupakan teman baik saya. Apabila saya datang ke Malaysia pembelajaran bahasa Melayu itu berterusan kerana bahasa Indonesia adalah hampir sama dengan Malaysia," katanya.

Bagi Zainab pula, bahasa Melayu sangat mudah untuk dipelajari kerana tatabahasanya mudah dan banyak perkataan dalam bahasa Melayu menyamai bahasa Arab.

Di UPM dia mengambil subjek Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2, Bahasa Melayu 3 dan Bahasa Melayu Tinggi. Disebabkan itu dia tahu menggunakan kosa kata dengan betul untuk percakapan dan penulisan.

"Dalam keluarga hanya saya dan seorang adik saya sahaja yang fasih menggunakan bahasa Melayu. Perkara yang saya paling suka adalah melihat reaksi orang ramai ketika saya bertutur dalam bahasa Melayu sehinggakan orang akan kata, 'Oh tuhan'.

"Adik saya juga pernah mendapat potongan harga ketika membeli barang di kedai semata-mata kerana dia pandai bertutur dalam bahasa Melayu," katanya.

Zainab Thamer Ahmed

Kata mereka, bahasa Melayu sangat mudah dipelajari dan ia menyerupai bahasa Inggeris. Bahasa Melayu berpotensi untuk menjadi lingua franca kerana masyarakat dunia menggemari bahasa yang mudah.

Bagi pasangan Cecile dan Serge, mereka menuntut selama empat tahun di Universiti Bahasa Antarabangsa di Perancis.

Selama tiga tahun mereka belajar bahasa Indonesia manakala setahun lagi mempelajari bahasa Malaysia. Antara karya-karya yang sering menjadi rujukan mereka adalah karya Osman Awang, Siti Zubaidah dan banyak lagi.

"Memang sukar belajar bahasa asing di Perancis kerana segalanya adalah dalam bahasa Perancis termasuk filem wayang antarabangsa. Ia akan diubah suara.

"Tapi seronok bila boleh berbahasa Melayu kerana ia menjadi motivasi terbaik dalam pengajaran bahasa Perancis di UPM. Pelajar akan merasa tercabar kerana pensyarah mereka tahu menggunakan bahasa ibunda Malaysia oleh itu pelajar akan lebih tekun mempelajari bahasa Perancis.

"Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan usaha pelajar dalam mendapat gred yang lebih baik," kata Serge.

Tambahnya, Malaysia sangat berlainan daripada negaranya dan juga beberapa negara maju lain. Malaysia sangat terbuka dalam isu bahasa antarabangsa kerana di Malaysia sendiri terdiri daripada berbilang kaum dan mempunyai bahasa Cina, Tamil dan bahasa Inggeris.

Filem wayang juga tidak akan dialih suara dan cuma menyediakan intisari kata.

Dalam pada itu Cecile memberitahu, pelajar-pelajar UPM menjadikan kebolehan mereka itu sebagai satu medium untuk bergurau dalam pembelajaran seperti menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Perancis.

"Kadang-kadang apabila pelajar tidak tahu suku kata Perancis yang ingin digunakan mereka akan menyebut dalam bahasa Melayu dengan intonasi bahasa Perancis.

"Ia menjadikan suasana pembelajaran menjadi lucu dan gamat dengan gelak ketawa. Ia menjadikan pembelajaran kelas menjadi lebih menarik," katanya. - JULIA ISMAIL

Sumber : http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan