Pertimbangan ini selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan dasar PPSMI. Jika syarat tersebut diluluskan, untuk memperoleh SPM, pelajar- pelajar mesti lulus bahasa Inggeris. Ini adalah langkah yang terbaik untuk memastikan pelajar lepasan sekolah menengah kita menguasai bahasa tersebut yang akan berguna dalam kehidupan mereka selanjutnya.
Namun demikian, sebelum sebarang keputusan dibuat tentang hal tersebut, wajarlah di ambil kira beberapa perkara. Pertama, apakah matlamat sebenar kelulusan Bahasa Inggeris itu diperlukan? Kedua, hendaklah dipastikan tidak ada pihak yang melatah-latah atau mengada-ngada untuk mewajibkan pula kelulusan Bahasa Inggeris tanpa mengira keperluan bidang dan latar sektor pengajian atau pekerjaan yang bakal diceburi.Secara umumnya terdapat dua matlamat penguasaan bahasa Inggeris; satu untuk tujuan komunikasi, dan kedua untuk tujuan akademik. Sebelum memutuskan kelulusan itu, kerajaan perlu terlebih dahulu menetapkan matlamat yang mana menjadi fokus. Hal ini kerana kedua-duanya akan menentukan ciri pedagogi yang akan diaplikasikan dalam bilik darjah. Matlamat akan menentukan jenis bahan, pendekatan, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan dalam bilik darjah.
Sebagai perbandingan, jika untuk tujuan komunikasi isi kandungan pengajaran perlu lebih bersandarkan pengetahuan am, isu semasa dan bersifat pragmatik. Strategi sebegini akan menimbulkan minat pelajar kerana mereka dapat menghayati kepentingan menguasai bahasa itu.
Mereka juga boleh menggunakan secara praktis dalam kehidupan sehari-harian. Sebenarnya ramai pelajar yang tertanya-tanya tentang keperluan menghafal segala macam hukum tatabahasa dan sistem-sistem bahasa itu yang diajarkan dalam kelas, tanpa mengetahui kegunaannya di luar bilik darjah.
Bagi tujuan akademik pula, secara umumnya kita melihat pelajar-pelajar yang menyambung pengajian di luar negara, tidak menghadapi masalah besar untuk menguasai bahasa Inggeris walaupun mereka mempelajari ilmu-ilmu asas di peringkat rendah dan menengah menggunakan bahasa Melayu. Tambahan pula dalam persekitaran yang memaksa mereka menguasai bahasa itu, bahasa Inggeris tidak menjadi halangan untuk mereka berjaya dalam pengajian mereka.
Kerajaan juga perlu bersedia mengawal pihak-pihak yang sengaja mengambil kesempatan atas syarat kelulusan tersebut dengan menetapkannya pula dalam sektor pekerjaan. Sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, tanpa mengira keperluan dan latar sesuatu pekerjaan.
Kita telah melihat banyak majikan yang menetapkan kelulusan bahasa Inggeris sebagai salah satu syarat memohon pekerjaan. Malahan, ada pula majikan yang mengambil kesempatan dengan sengaja menetapkan keperluan bahasa selain daripada bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris untuk memohon pekerjaan di agensi mereka.
Akibatnya, ramai dalam kalangan pelajar lepasan sekolah mahupun institusi pengajian tinggi yang gagal memohon pekerjaan walaupun memiliki kelayakan akademik yang sesuai, hanya kerana lemah atau tidak lulus bahasa Inggeris.
Jika para majikan ini mendesak juga, mereka perlu diminta supaya bersikap adil dengan mengklasifikasikan jenis kelulusan yang dikehendaki.
Dengan itu, mereka bolehlah menentukan calon yang sesuai dengan latar bidang pekerjaan yang hendak ditawarkan.
Dalam pada itu, kerajaan juga mestilah memastikan bahawa tidak ada pihak yang 'menahan lukah di pergentingan' dengan mengambil kesempatan daripada keputusan yang dibuat.
Selalunya apa sahaja dasar yang diputuskan akan ditafsirkan sehingga mendatangkan laba oleh para oportunis dan pihak yang bijak memanipulasi keadaan. Bertopengkan pelbagai program sokongan seperti penerbitan bahan pembelajaran, perbengkelan, kursus, ceramah, dan sebagainya, akhirnya ibu bapa yang menanggung beban, manakala para pelajar pula kehilangan fokus dan menjadi semakin kalut.
Akhir sekali kerajaan sendiri juga perlu tidak terbawa-bawa dengan dasar tersebut sehingga melupakan pula bahasa Melayu. Pastikan 'yang dikejar dapat, yang dikendong tidak berciciran'.
Dr. Sharifudin Lubis,
Universiti Putra Malaysia
Sumber : http ://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan