Rabu, 10 Februari 2010

Hari paling bermakna lima beradik

Markom Giran (tiga dari kiri) meluangkan masa bersama lima beradik yang baru mendaftar untuk bersekolah buat pertama kali semasa perhimpunan pagi di Sekolah Kebangsaan Datuk Usman Awang, Kota Tinggi, kelmarin.


KOTA TINGGI 10 Feb. - Isnin lalu merupakan hari yang amat bermakna bagi lima beradik, Ahmad Nor Danish Hassan, 6; Haris Fadillah, 7, Nor Shahira, 9; Adam Iskandar, 10; dan Mohd. Haikal, 12; kerana diterima masuk ke Sekolah Kebangsaan Datuk Usman Awang (SKDUA) dekat sini.

Lima beradik yang tercicir dalam pelajaran ini dijangka menjalani ujian diagnostik bagi pengesanan pencapaian kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Ia bagi memudahkan pemulihan pembelajaran mengikut tahap dapat dilaksanakan pihak sekolah.

Kesemua adik beradik tersebut tidak dapat mengikuti sesi persekolahan kerana tidak memiliki surat beranak sebelum ini.

Bagaimanapun, adik beradik itu tetap menerima pendidikan tidak formal hasil tunjuk ajar ibu mereka dan ahli keluarga di rumah dan mampu mengenal huruf, boleh membaca dan mengira.

Nor Shahira ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana akhirnya dapat mengikuti sesi persekolahan seperti rakan-rakannya yang lain.

"Saya sangat gembira dan akan belajar bersungguh-sungguh," janjinya yang ditemani ayahnya, Hassan Nudin yang mengusahakan bengkel membaiki kenderaan.

Kakak sulung mereka, Norshara Danila, 14, yang khatam al-Quran pula kini melanjutkan pengajian di sebuah seolah tahfiz di Kuala Lumpur sejak November lalu kerana tidak pernah berpeluang menghadiri sekolah harian.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran yang meluangkan masa menghadiri perhimpunan murid SKDUA turut menyerahkan set buku teks dan alat tulis.

Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada lima beradik berkenaan yang ditempatkan di kelas-kelas berdasarkan umur mereka.

Beliau berpesan supaya mereka rajin menelaah pelajaran secara konsisten, menyiapkan kerja rumah, menghormati orang tua dan berdaya saing untuk mencapai kecemerlangan pada masa depan.

Pada perhimpunan itu, Markom turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 24 ketua kelas dan penolong ketua kelas serta 49 pengawas pusat sumber kepada murid-murid yang dilantik.

Beliau kemudian melancarkan Program Sebulan Sebuah Buku (SSB) untuk memupuk budaya rajin membaca di kalangan pelajar.

SKDUA juga menyediakan Laman Seri Nilam iaitu kawasan terbuka berbumbung dilengkapi meja dan kerusi mudah alih yang disediakan pelbagai bahan bacaan rumusan guru mengikut kesesuaian panitia mata pelajaran masing-masing.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen