Selasa, 16 Februari 2010

Hari Pejuang Bahasa diisytihar 15 Februari

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Kamaruddin Siaraf (kanan) dan Ismail Hussein (tengah) ketika melancarkan Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera sempena sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Tarikh 15 Februari diisytiharkan sebagai Hari Pejuang Bahasa 152 setiap tahun dalam usaha mengingatkan masyarakat supaya terus memelihara kedaulatan bahasa Melayu seperti diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Inisiatif itu merupakan usaha bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk mengingatkan semua pihak agar terus memperkasakan Bahasa Kebangsaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf berkata, persoalan mengenai bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan dan ia merupakan titik penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

''Penyatuan ini terbina bukan kerana peruntukan (Perkara 152) itu semata-mata tetapi telah tertanam subur dalam setiap sanubari rakyat Malaysia yang mencintai keharmonian.

''Namun, dalam proses bahasa Melayu menyusuri pembangunan pesat negara, pelbagai cabaran dan ujian mula merubah suasana sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan yang akhirnya menjadikannya bercelaru,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Pejuang Bahasa 152 dan Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Tabung itu diwujudkan bagi memudahkan penyaluran sumbangan kepada pertubuhan seperti persatuan penulis, penggiat bahasa dan sastera supaya menggalakkan mereka terus menyemarakkan program kelangsungan bahasa.

Sementara itu, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein ketika berucap berkata, kombinasi 152 pada nama hari berkenaan dan pemilihan 15 Februari bagi sambutannya merupakan pengiktirafan ke atas bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tunggal negara.

Beliau memberitahu, perisytiharan Hari Pejuang Bahasa 152 dan pemilihan tarikh itu berupaya membantu masyarakat negara ini untuk terus menghormati semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas pembentukan serta keharmonian Malaysia.

''Saya amat berharap agar kerajaan serta kementerian terlibat supaya mendokong dan menyebarkan tentang perisytiharan (hari dan tabung) ini,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, perisytiharan itu menyaksikan sambutan dilakukan secara penuh patriotik dengan penuh adab Melayu yang mementingkan sikap menghormati individu lain terutama golongan tua.

Ia juga diisi dengan acara pembacaan puisi yang diiringi persembahan formasi silat, pembacaan Ikrar Pejuang Bahasa, pembentangan kertas kerja utama dan program Wacana Peradaban Bahasa Melayu.

Pada akhir acara dua hari yang bermula semalam itu, Ismail turut menyerahkan Resolusi Hari Pejuang Bahasa 152 kepada Kamaruddin yang sebelum itu dibacakan oleh Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad.

Antara kandungan resolusi berkenaan ialah menuntut kerajaan memberikan dana besar dalam usaha memantapkan kualiti bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu moden.

Selain itu, resolusi tersebut turut meminta kerajaan agar mengutamakan penggunaan Bahasa Kebangsaan seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dalam semua urusan rasmi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa di Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan