Rabu, 17 Februari 2010

Usaha martabat bahasa Melayu dibelit lingkaran lapuk

Bersama Salbiah Ani
dahiyah@nstp.com.my

SAMBUTAN Hari Pejuang Bahasa 152 - 14 Februari - dalam bentuk beberapa program yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Rumah Pena disambut baik sesetengah pengguna bahasa, tetapi ada juga melihatnya sebagai tidak memberi kesan ampuh untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dicatat bahasa itu suatu waktu dulu.

Penat lelah Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), DBP, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dilihat masih bergerak dalam lingkaran lapuk!

Begitu juga dengan Ceramah dan Forum Bahasa Kebangsaan sempena genap setahun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) melancarkan perarakan menyampaikan memorandum membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diadakan pada 7 Mac ini.

Pandangan yang tidak memihak kepada usaha terbabit disebabkan penganjur lupa mengambil kira aspek bahawa sasaran sebenarnya ialah kesedaran dan mendapatkan penyertaan serta perhatian daripada kelompok yang tidak peduli terhadap daya hayat bahasa Melayu, baik sebagai bahasa harian apalagi dalam hal berkaitan ilmu!

Seorang pengguna bahasa dan pakar linguistik bahasa Melayu ketika ditanya pandangan mengenai Hari Pejuang Bahasa menjawab pertanyaan penulis dengan selamba lagi mengejutkan sehingga penulis terpinga-pinga: “Saya tak ambil peduli mengenai hari itu. Hari kelahiran sendiri pun tak ingat.”

Pengakuan ini pasti mengguris hati pejuang bahasa Melayu, tetapi perlu diingat majoriti rakyat Malaysia kini berfikiran demikian, apalagi masyarakat kelompok bawahan yang terpaksa bertungkus lumus demi meneruskan kehidupan, manakala kelompok menengah atas tidak peduli kerana dibelenggu kemewahan, lalu ‘biaq pi’ bahasa Melayu!

Perkara seumpama ini terjadi bukan saja kerana kesilapan di kalangan kelompok berwewenang yang lupa diri apabila diri sudah menikmati kemewahan dan kuasa, tetapi juga ekoran kealpaan orang bahasa dan sastera selama ini kerana ‘mencicirkan’ kelompok di luar lingkungan sehingga mereka terus jauh daripada milik bangsa sendiri!

Untuk menyuburkan kembali rasa sayang kepada bahasa Melayu dan betapa penting mempertahankan haknya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 pasti mengambil jangka masa panjang, malahan mungkin lebih lama daripada ulang tahun kemerdekaan negara yang mencatat usia 53 tahun ini!

Dalam hal kebahasaan, Indonesia selalu beruntung kerana kata sepakat yang dicapai dalam memartabatkan bahasa Indonesia sebagai bahasa untuk semua rakyatnya seperti dipersetujui pada Sumpah Pemuda 28 Oktober 1928, terus bertahan sehingga ke hari ini!

Tidak seperti di Malaysia, meskipun haknya sudah diperakukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961/1996, tetapi sentiasa ada usaha mengganggu gugat, seolah-olah seperti suatu dosa jika membiarkan ia bertahan sebagai bahasa untuk semua bangsa, usia dan kedudukan di negara ini!

Kelompok yang memandang remeh hari terbabit juga tidak mahu melihat program itu digunakan sesetengah pihak yang hanya membisu seribu bahasa ketika bahasa Melayu dilanyak dan hanya bersuara selepas dicabar beberapa pihak sehingga mengeluar janji untuk menyaman dan mengadakan perarakan Keranda 152, tetapi akhirnya hanya tinggal janji!

Golongan yang memandang sepi itu juga melihat Hari Pejuang Bahasa tidak perlu kecuali jika bahasa Melayu sudah pupus kerana memperingati sesuatu adalah untuk perkara dan orang yang sudah tiada dan perjuangan bahasa suatu yang bersifat berterusan,

Mereka tidak nampak kewajaran hari terbabit dan Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera yang dilancarkan tanpa sebarang dana daripada pihak berwajib bukan saja tampak lucu, suatu sandiwara dan temberang, tetapi juga boleh digunakan golongan pengambil kesempatan!

Meskipun merah telinga dan terbakar hati mendengar hujah kelompok terbabit, tetapi hakikatnya itulah kenyataan yang sering diabaikan iaitu golongan bahasa mahupun sastera bergerak secara syok sendiri sehingga tampak usaha seperti anjing menyalak bukit, sedangkan bukit yang disalak tidak runtuh dan si penyalak akhirnya kering tekak dan kepenatan!

Sudah pasti gerakan lebih wajar ialah dengan mengambil tindakan seperti memberi ingatan, mengadakan perbincangan dari hati ke hati dan menghantar memorandum apabila berlaku pencabulan bahasa tanpa perlu menunggu kes menjadi busung seperti dalam hal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)!

Tanpa menafikan hakikat bahawa ia menjadi amanah semua insan bernama Melayu, tetapi tanggungjawab terbabit lebih terpikul di tangan pejuang bahasa dan sastera, apalagi mereka yang terbabit sama serta menyaksikan peristiwa Keranda 152 kerana mereka lebih berpengetahuan, berpengalaman selain disegani kelompok berwewenang negara ini!

Tidak banyak pilihan yang tinggal kini bagi memartabat, memperkasa dan mengangkasa bahasa Melayu di negara ini kerana hakikatnya majoriti Melayu sudah lama tidak boleh bergantung kepada senator yang dilantik ke Parlimen bagi membawa usul berhubung bahasa Melayu.

Peta sejarah negara ini merakam kelompok ini hanya mengulangi apa yang pernah diutarakan editor dan wartawan sastera, meskipun hakikatnya pelantikan mereka berdasarkan ‘wibawa’ masing-masing, lalu tampak semangat juang mereka tidak ke mana dan lebih kepada gah diri selain asal fulus masuk saku!

Peristiwa demonstrasi besar-besaran Kongres Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) di Balai Budaya DBP, Kuala Lumpur, pada 3 Mac 1967 dan perarakan membawa Keranda 152 sambil membawa sepanduk ke kediaman Tunku Abdul Rahman bagi menyampaikan surat protes rakyat akan sikap liberal terhadap bahasa Melayu, akan kekal sebagai tindakan paling berani bangsa Melayu dalam mempertahankan hak bahasa itu!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan