Selasa, 2 Mac 2010

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri : 51 negara bersaing

SEBAHAGIAN peserta luar negara yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri menunggu giliran masing-masing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 2 Mac.

PERTANDINGAN Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010 (PABM 2010) bakal menyaksikan 56 peserta akan mengambil bahagian mewakili 51 negara yang berlangsung selama empat hari mulai kelmarin, di Pusat Persidangan Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Program yang diadakan masuk tahun keempat itu sebelumnya dianjurkan bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun dinaikkan taraf kepada Piala Perdana Menteri mulai tahun ini. Majlis kemuncak pertandingan itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di PICC, Jumaat ini.

Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan kategori antarabangsa.

KPT dalam kenyataannya berkata, kategori nusantara dianggotai peserta dari negara pengamal Bahasa Melayu sebagai bahasa utama seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

Bagi kategori antarabangsa pula, penyertaan terdiri daripada anak watan negara berkenaan yang mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai kursus elektif di institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu.

Setakat ini terdapat 130 institusi pengajian tinggi di 45 negara seluruh dunia menawarkan program berkenaan.

Peserta dari negara berkenaan antaranya, Amerika Syarikat, Argentina, Jepun, China, Korea Selatan, New Zealand, Jerman, Belanda, Vietnam, Ukraine, Romania, Yaman, Mesir dan India akan mengambil bahagian.

Johan pertandingan menerima wang tunai AS$5,000 (RM17,500) serta hadiah sampingan berupa kamus dan buku bahasa Melayu serta hadiah sampingan. Naib johan menerima wang tunai AS$3,000 (RM10,500) dan hadiah iringan manakala tempat ketiga akan membawa pulang AS$2,000 (RM7,00) dan sijil penyertaan.

Sebagai menghargai sumbangan peserta dalam meningkatkan penguasaan mereka dalam pengucapan Bahasa Melayu, penganjur menyediakan cenderamata berupa plak, sagu hati RM1,000 dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

PABM bertujuan memartabatkan pengaruh Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa selain memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan serta pelajar antarabangsa yang mengikuti program berkenaan.

Sumber : http : http://www.bharian.com.my/

3 ulasan:

  1. saya sudah tengok sebanyak 27 peserta (3.mac.2010)...sangat bangga bila orang luar cakap bahasa melayu...peserta dari China sangat fasih..jepun,UK dan AS pun

    BalasPadam
  2. Saudara Nashue, yang menjadi masalahnya,masyarakat antarabangsa kini mula mengiktiraf keindahan bahasa kita, malangnya masyarakat kita sendiri seolah-olah tidak menghargai kehebatan bahasa kita. Mereka cenderung mengagung-agungkan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Semoga penganjuran pertandingan ini mencelikkan mata golongan ini agar lebih menghargai khazanah sendiri.

    BalasPadam
  3. salam...cikgu taufiq...saya nasarulddin..
    pihak usm ingin mengadakan pidato peringkat university. so saya ingin meminta jasa baik cikgu seandainya ada contoh skema permarkahan dan syarat2 pertandingan untuk kami rujuk.???
    seandainya cikgu dapat membantu boleh tolong e-mail kan maklumat itu pada saya di alamat e-mail..nasarulddin@gmail.com.
    terimakasih

    BalasPadam