Selasa, 23 Mac 2010

BELASUNGKAWA TAN SRI SULAIMAN DAUD

Pernah terajui sembilan kementerian


ALLAHYARHAM Tan Sri Sulaiman Daud yang meninggal dunia semalam merupakan seorang menteri Kabinet berpengalaman luas yang pernah menerajui sembilan buah kementerian di antara 1981 sehingga 1999.

Jawatan menteri yang pernah disandang Allahyarham adalah Menteri Wilayah Persekutuan (Mac 1981 - Julai 1981); Menteri Pelajaran (1981-1984); Menteri Kebudayaan; Belia dan Sukan (1984-1985); Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-1989); Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman (1989-1990); Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991); Menteri Pendidikan (1991-1995) dan Menteri Pertanian (1995-1999).

Allahyarham merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak apabila memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding pada tahun 2002. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya dari 1995 hingga 2004.

Ketika menjadi Menteri Pendidikan, Allahyarham pada tahun 1994 bertanggungjawab membawa kemudahan Internet di sekolah tempatan. Pelaksanaannya bermula melalui projek percubaan pertukaran maklumat dengan 70 buah negara melalui Internet yang diperkenalkan di 50 buah sekolah terpilih.

Projek berkenaan dikenali sebagai Jaringan Pendidikan Kebangsaan (JPK). Sulaiman ketika mengulas mengenai projek percubaan berkenaan berkata, Internet ketika itu sudah digunakan oleh beratus ribu pelajar di negara-negara maju sebagai satu sumber maklumat yang mudah dan terkini.

Semasa menyandang tugas yang sama, Allahyarham juga merupakan penggerak utama bagi penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Antara isu-isu yang beliau tangani ketika menjadi Menteri Pendidikan adalah menghantar pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Pusat Islam bagi memberikan penerangan secukupnya kepada para pelajar Malaysia di luar negara mengenai tindakan kerajaan mengharamkan pergerakan al-Arqam pada tahun 1994.

Langkah berkenaan diambil selepas Sulaiman mendapati laporan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) menunjukkan para pelajar Malaysia di luar negara ingin mengetahui faktor- faktor penyelewengan al-Arqam dan perkembangan terbaru mengenai pertubuhan itu.

Pada masa itu, beliau menganggap sesi penerangan adalah amat penting supaya tidak timbul rasa simpati oleh para pelajar ekoran pengharaman pergerakan tersebut.

Selain isu al-Arqam, Allahyarham turut bertanggungjawab menangani masalah gejala sosial bohsia di kalangan para pelajar sekolah.

Dalam menangani masalah tersebut, beliau meminta semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan masing-masing memandangkan aktiviti bohsia berlaku di luar waktu persekolahan.

Pada tahun 1995, Allahyarham mengarahkan kesemua universiti di negara ini mewujudkan Program Jarak Jauh (PJJ) masing-masing bagi membolehkan rakyat memperoleh pendidikan tinggi di institusi pengajian tinggi.

Ketika mengumumkan perkara berkenaan, beliau berkata, langkah mewujudkan PJJ adalah penting kerana tidak semua negara mampu menyediakan tenaga pengajar dan institusi pengajian tinggi di bandar-bandar kecil.

Semasa menjadi Menteri Pertanian pula, Allahyarham terlibat dalam langkah penyeragaman harga beras dan menjadikannya barangan terkawal pada tahun 1998. Allahyarham juga antara pemimpin yang bertanggungjawab dalam meneroka peluang untuk menceburi sektor pasaran makanan halal.

Langkah tersebut bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat makanan halal dunia berdasarkan permintaan makanan halal yang tinggi dari Amerika Syarikat (AS).

Beliau turut menggalakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) menggiatkan lagi usaha promosi hasil-hasil pertanian Malaysia di luar negara.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pada penghujung 1999 Allahyarham meminta Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya namanya digugurkan daripada senarai Kabinet alaf baru.

Sulaiman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada konvokesyen ke-25 universiti berkenaan di Skudai, Johor Bahru pada tahun 2000. Allahyarham turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Dalam Bidang Sains Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada tahun yang sama.

Pada penghujung 2000, Allahyarham dilantik sebagai pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk tempoh lima tahun. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 pula, Sulaiman mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya di Sarawak.

Allahyarham kemudiannya mengundurkan diri dari mempertahankan jawatan naib Presiden pada persidangan agung PBB yang ke-11 pada 2007 bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang bekas anggota Kabinet dan pemimpin masyarakat yang berpengalaman luas dan banyak berjasa serta menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang. Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan