Rabu, 17 Mac 2010

Mengkritik bangsa Melayu

Abdullah Munsyi

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

CATATAN sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya, Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau tentang beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai antara penyebab kemunduran bangsa Melayu. Di antara yang disebutnya adalah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa.

Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga mengkritik keras fenomena kemunduran orang Melayu. Pandangan dan kritikan beliau itu boleh diteliti di dalam bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.

Pada awal abad ke-20, lahir gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu yang dipimpin oleh beberapa tokoh islah dan tajdid seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad'Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai 'Kaum Muda' ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat yang merugikan orang Melayu.

Lidah rasmi mereka, majalah Al-Imam (1906 - 1908) yang diterbitkan di Singapura bertujuan menyedarkan orang Melayu supaya segera melakukan perubahan. Seperti yang dicatat oleh Abdul Aziz Mat Ton, peranan Al-Imam adalah untuk 'mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjaga mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat' (Jurnal Sejarah, Jilid XI,1973/73). Malah, Al-Imam ketika itu sudah pun menyeru umat Melayu supaya melihat dan mencontohi pembaharuan yang berlaku di negeri Jepun.

Seruan-seruan itu dibuat kerana keadaan hidup orang Melayu pada awal abad ke-20 sangat mundur dalam semua bidang. Demikian juga akhbar Saudara yang diterbitkan sekitar tahun 1928-1941 turut mengkritik umat Melayu, di samping membela nasib mereka. Di antara tokoh-tokoh penting penerbitan akhbar tersebut ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd. Yunus Abdul Hamid, Syed Sheikh al-Hadi dan Syed Alwi Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Mereka banyak menyeru orang Melayu supaya memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai kehidupan sosial ynag lain.

Sekitar tahun 1930-an hingga 1940-an pula, lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Mereka bergerak dalam berbagai pendekatan daripada kebudayaan, sosial, pendidikan sehinggalah kepada perjuangan politik. Ketika orang Melayu disuntik kesedaran oleh pemuka-pemuka tajdid bangsa, masyarakat Cina pula sudah pun aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal serta mementingkan keuntungan.

Kelahiran UMNO pada tahun 1946 berjaya menyatukan orang Melayu dari pelbagai pertubuhan. Bangsa Melayu mula menunjukkan semangat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Gagasan Malayan Union yang ingin dilaksanakan oleh British menjadi pemangkin menyatukan orang Melayu di bawah perjuangan UMNO. Ramai cendekiawan, budayawan, sasterawan, usahawan dan agamawan Melayu ketika itu menyokong perjuangan UMNO.

Di awal tahun 1970-an iaitu selepas tragedi 13 Mei, usaha untuk memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula digerakkan. Untuk menggerakkan minda orang Melayu, maka gabungan tenaga intelektual dan pemimpin politik Melayu diketuai Datuk Senu Abdul Rahman menerbitkan buku Revolusi Mental (1970) yang dihasilkan ketika era Tun Razak (1970-1976). Pada tahun 1970 juga, Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis sebuah buku yang berjudul The Malays Dilemma yang turut mengkritik kelemahan Melayu. Melayu dilihatnya terpinggir dan dimarjinalisasi di tanah air sendiri sebagai warga kelas dua.

Perubahan orang Melayu mula menjadi realiti selepas diperkenalkan DEB. DEB telah melahirkan ramai profesional Melayu seperti dalam sektor perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perbankan, pendidikan, keusahawanan dan pelbagai bidang lain yang sebelum ini dikuasai oleh kaum lain. Namun, setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita masih terus membicarakan masa depan bangsa Melayu. Bukankah bangsa Melayu telah mengalami anjakan dan transformasi dalam hampir semua bidang kehidupan hasil perjuangan UMNO?

Memang keadaan bangsa Melayu ketika ini tidaklah seburuk era penjajahan. Kemerdekaan telah memberikan kedaulatan dan kebebasan kepada kita untuk mentadbir dan mengurus negara. Bagaimanapun, pelbagai halangan dan cabaran seperti ketirisan dalam pelaksanaan DEB, politikus dan pentadbir yang tidak amanah, perpecahan Melayu yang semakin meruncing kesan daripada pertelingkahan politik, wujudnya petualang politik Melayu, cabaran ekonomi global dan halangan psikologi bangsa Melayu yang semakin keliru dengan identiti dan jati dirinya memerlukan kita merangka dan merencana anjakan baru bagi mengatasi cabaran yang lebih kompleks sifatnya. Wujudnya pelbagai masalah itu menyebabkan bangsa Melayu terus dikritik oleh bangsanya sendiri.

Tidak salah kita mengkritik diri sendiri selagi ia bertujuan menimbulkan kesedaran. Apa yang penting adalah pihak yang mengkritik biarlah berpada-pada dalam kritikan, sementara yang dikritik harus bersedia menerima kritikan serta menunjukkan sikap mengakui kesilapan. Namun, pastinya bangsa Melayu berasa terhina apabila kaum lain turut menempelak dan mengkritik beberapa hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita masih boleh menerima kritikan yang positif dan membina tetapi bukannya mencabar dan mempersoalkan hak kita.

Justeru, cadangan untuk menghapuskan hak Melayu sama ada secara nyata atau secara halus melalui pelbagai tuntutan sama ada yang diputuskan dalam resolusi-resolusi parti tertentu atau pun melalui memorandum adalah sikap yang melampau. Orang Melayu harus menghadapinya dengan tegas dan berani dalam bentuk tindakan yang berstrategi.

Ia memerlukan kepimpinan Melayu yang benar-benar beramanah dan memiliki minda strategik yang hebat. Kesungguhan politik (political will) sangat diperlukan dalam hal ini. Demikian juga pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang semakin banyak wujud hari ini yang memiliki cita-cita untuk mempertahankan hak-hak Melayu mestilah konsisten dan terus komited dalam perjuangan.

Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit daripada kelemahan dan kejatuhan memerlukan empat kekuatan iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepimpinan yang amanah, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa. Harapan kita, biarlah semua pemimpin Melayu dari parti mana sekali pun dapat duduk semeja untuk berbincang secara ikhlas dari hati ke hari ke arah membina semula kekuatan Melayu yang hari ini semakin terhakis kesan daripada pelbagai pertentangan politik sesama bangsa.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan