Khamis, 25 Mac 2010

Kekeluargaan renggang punca masalah sosial

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Pendidikan gender, seksualiti dan agama perlu didedah elak remaja terjebak gejala negatif


APABILA cabaran kemodenan global semakin meruncing, moral manusia turut menerima tempias. Pendidikan akhlak yang diterima mungkin tidak setara pengaruh sosial yang tiada sempadan. Malah dunia yang kini boleh dikunjungi dengan hujung jari tidak semuanya menjadi manfaat kepada setiap manusia.

Justeru, golongan muda yang baru mencari identiti perlu dibekalkan ilmu supaya mampu menahan pengaruh kebejatan akhlak dan akidah yang mudah meresap ke minda mereka melalui pelbagai saluran yang sukar dipantau. Gejala arak, dadah, bunuh, buli, merokok, meragut, pecah rumah dan sebagainya adalah antara perlakuan golongan muda bermasalah masa ini. Cara hidup zaman jahiliah kembali menjadi norma dalam masyarakat sekali gus ancaman kepada kemakmuran negara. Kelonggaran ikatan kekeluargaan menjadi antara sebab utama ramai individu bermasalah. Pendidikan agama pula tidak dianggap satu kewajipan dari pemimpin keluarga terhadap anak. Untuk mendepani dunia hari ini, bukan saja dua perkara itu menjadi tunjang mengukuhkan identiti diri malah pendidikan gender dan seksualiti bertujuan membina semula sosial serta budaya setiap individu mengikut acuan agama.

Hari ini, menonton video lucah, kahwin lari, zina serta buang bayi di kalangan remaja sudah melampaui batas kesabaran manusia normal yang inginkan kehidupan berteraskan moral dan agama. Pendidikan seks yang dulunya dianggap remeh bukan lagi usul yang boleh dipandang sebelah mata. Ia sebaliknya perlu dirangka supaya menjadi panduan setiap pelajar di peringkat menengah memahami perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan, keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan, tingkah laku seksual, masyarakat dan budaya.

Adalah mengejutkan apabila remaja awal belasan tahun lari mengikut lelaki berkahwin di negara lain, mengamalkan seks bebas serta hamil pada usia kanak-kanak. Walaupun tidak semuanya dengan kerelaan sendiri, ia tetap berpunca daripada kedangkalan ilmu dan longgarnya pemantauan keluarga.

Remaja seperti ini mungkin dapat diselamatkan jika diajar mengenai faktor luaran dan dalaman yang boleh mengancam maruah serta harga diri di samping had batasan agama dalam pergaulan berlainan jantina. Remaja juga perlu diberitahu implikasi hubungan sosial dan seks tanpa nikah serta hukumnya menurut agama serta undang-undang negara. Sikap ingin mencuba sesuatu yang baru serta membuktikan kehandalan sesama rakan sebaya adalah sifat remaja.
Ini adalah sifat yang boleh membawa kecemerlangan kepada remaja jika dilakukan untuk mencapai sesuatu yang baik tetapi jika sebaliknya, mereka akan menghancurkan diri sendiri hanya kerana tidak cukup ilmu menerajui diri.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal belasan tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian. Mereka mungkin ingin mencuba atau tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Hari ini, pembelajaran formal dan khusus penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Asuhan ibu bapa mungkin tidak mencukupi kerana faktor komitmen terhadap kerjaya yang memaksa seisi rumah tangga memberi keutamaan terhadap perkara lain, bukan lagi mengasuh dan membimbing anak.

Ilmu kekeluargaan yang boleh diterapkan dalam silibus pendidikan gender dan seks perlu menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga. Tidak lupa, tanggungjawab setiap ahli keluarga menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat. Ia rentetan daripada jalan pintas diambil pasangan suami isteri menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap remeh tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan di samping proses pertumbuhan minda kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Mengenai ilmu perkahwinan pula, masyarakat mempunyai pengetahuan sangat cetek berkenaan hukum perkahwinan, memelihara dan pembubarannya. Ekoran itu, mungkin ada suami sudah menceraikan isteri tetapi urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan mengikut peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam diri setiap individu dan ia mudah diamalkan setiap pelajar yang mempunyai keluarga. Melalui pendidikan gender dan seks, setiap individu boleh diberi bimbingan mengenai amalan kehidupan, hak, tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai individu mengikut jantina, ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang , Universiti Sains Islam Malaysia kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan