Selasa, 13 April 2010

Hukuman tegas mampu capai sasaran sifar beg plastik

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

PENGGUNAAN beg plastik dalam pelbagai aktiviti khusus untuk memuatkan barangan yang dibeli di gedung beli-belah, pasar raya dan kedai sudah menjadi amalan biasa sejak berkurun lamanya. Kesedaran masyarakat terhadap sifar penggunaan beg plastik masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara maju untuk memastikan planet ini bebas daripada sebarang pencemaran alam sekitar.

Hakikatnya, apa saja bahan berunsur plastik bukan saja mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk dilupuskan, malah boleh menjejaskan kesihatan, selain memerlukan kos yang tinggi bagi tujuan pelupusan.

Kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ di beberapa negeri sudah dilancarkan dan ia masih terlalu jauh untuk mencapai sasaran sifar terhadap penggunaannya. Pada masa sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah menggiatkan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan plastik dalam usaha melindungi alam sekitar.

Kementerian juga akan menggunakan peruntukan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 untuk diwajibkan supaya bahan boleh dikitar semula seperti plastik diasingkan daripada sisa pepejal lain.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukim ketika ditemui baru-baru ini, menjelaskan kementerian sedang menumpukan perhatian serius isu berhubung penggunaan beg plastik dengan meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi menangani masalah penggunaan beg plastik yang berleluasa.

Katanya, pada masa ini kementerian juga mengambil pendekatan untuk memastikan beg plastik diguna atau dikitar semula.

“Bagaimanapun, kita sedang menunggu penguatkuasaan Akta 672 diwartakan. Mengikut akta itu, ada peruntukan tertentu untuk menangani masalah beg plastik seperti memastikan isi rumah dan pihak berkaitan mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula daripada sisa pepejal lain.

“Di samping itu, peruntukan seperti sistem terima balik dan sistem bayaran balik deposit yang ada dalam akta itu boleh digunakan pada masa akan datang untuk menangani isu beg plastik,” katanya.

Beberapa peruntukan di bawah Akta 672 untuk pelbagai kesalahan berkaitan dengan aspek pengurusan sisa pepejal, juga akan menjadikan masyarakat lebih berhati-hati untuk menggunakan bahan berunsurkan plastik.

Sebenarnya, ada peruntukan mewajibkan orang awam mengasingkan sisa pepejal. Sebagai contoh mengikut perenggan 101(1)(a), menteri menghendaki mana-mana penghasil sisa pepejal mengurangkan penghasilan pepejal terkawal mengikut apa-apa cara atau kaedah. Mereka yang gagal mematuhi peraturan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Taklimat sudah diberikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Jemaah Menteri baru-baru ini berhubung pelaksanaan penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seluruh negara serta penguatkuasaan Akta 672.

Seterusnya, kementerian akan membentangkan perkara ini di dalam mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada Jun ini sebelum keputusan daripada MNKT akan dibawa ke Jemaah Menteri.

Lajim begitu optimis menangani isu sisa pepejal itu, termasuk mengurangkan penggunaan beg plastik kerana menerusi akta berkenaan ada klausa tindakan dikenakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan.

“Selepas akta itu dikuatkuasakan ia akan memberikan impak besar terhadap misi kita. Saya lihat tahap kesedaran masyarakat masih rendah khususnya di luar bandar berbanding di bandar,” katanya.

Oleh itu, kementerian bercadang melancarkan Hari Tanpa Plastik peringkat kebangsaan bagi menggalakkan orang ramai tidak menggunakan beg plastik.

Bagaimanapun, kementerian menggalakkan penggunaan semula beg plastik dan pengurangan penggunaan beg plastik dengan menggunakan beg yang boleh diguna pakai semula contohnya beg kanvas.

Pada masa yang sama, kerajaan sedang meneliti dan mengkaji beberapa pendekatan menangani masalah penggunaan dan pelupusan bahan berunsurkan plastik.

Antara pendekatan kementerian untuk mencapai sasaran sifar beg plastik ialah menjalankan kempen mengurangkan penggunaannya dan mengitar semula sisa plastik supaya ia tidak berakhir di tapak pelupusan sisa pepejal.

“Peraturan bagi mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti plastik daripada sisa pepejal lain akan diwujudkan supaya plastik boleh dikutip untuk kitar semula.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak akan membuahkan hasil yang baik sekiranya orang ramai tidak menjalankan tanggungjawab untuk tidak membuang beg plastik di merata tempat dan mengurangkan penggunaan beg plastik disediakan di kedai dan pasar raya,”katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen