Khamis, 22 April 2010

Kempen menghijaukan bumi

Sasaran tanam 26 juta pokok usaha kerajaan tangani krisis iklim

UNTUK menikmati sebuah kehidupan yang sejahtera, alam sekitar adalah elemen paling penting yang perlu dititikberatkan.

Bagaimanapun untuk berada dalam suasana alam sekitar bersih dan selamat, masyarakat perlu bersatu padu berusaha melestarikannya. Bagi memastikan rakyat negara ini dapat hidup dalam suasana kehijauan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melancarkan kempen ‘Menanam 26 Juta Pokok’ yang bertemakan ‘Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok’.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas, berkata kempen ini memilih untuk menanam 26 juta pokok kerana ia bersamaan dengan jumlah penduduk Malaysia masa kini.

“Untuk melaksanakan kempen penanaman pokok ini, kita menggunakan slogan ‘Satu Warga Satu Pokok’ dan ia selari dengan slogan 1Malaysia. Adalah menjadi keperluan buat kita untuk menanam pokok di seluruh negara.

“Bagi melaksanakannya kita menganggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan berkurangan, kawasan hutan sudah dibalak dan kawasan pesisiran pantai negara akan ditanam di bawah kempen ini menjelang 2014” katanya.

Douglas berkata, Putrajaya juga menjadi kawasan tumpuan untuk kempen ini kerana banyak kawasan lapang yang masih belum ditanam dengan pokok di situ.

Untuk melaksanakan kempen ini, ia akan diagih-agihkan supaya setiap negeri memainkan peranan masing-masing untuk memulihkan kawasan hutan yang semakin merosot bagi memastikan 60 peratus daripada keluasan tanah di Malaysia diliputi hutan.

Hingga kini, Malaysia hanya diliputi 56.4 peratus kawasan berhutan, walaupun angka itu dilihat besar, apatah lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Persidangan Rio pada 1992, meletakkan komitmen sebanyak 50 peratus kawasan Malaysia diliputi hutan, tetapi kerajaan memikirkan adalah wajar kawasan hutan di negara ini berada dalam lingkungan 60 peratus.

Justeru, kempen yang dilancarkan ini adalah komitmen kerajaan bagi menangani isu perubahan iklim.

Berhubung jenis pokok yang ditanam sempena kempen ini, Douglas berkata, pokok dipilih mengikut kesesuaian tanah supaya pokok berkenaan dapat tumbuh dengan baik bagi mencapai sasaran penanaman 26 juta pokok.

Berdasarkan pengalamannya mengendalikan program tanaman pokok, kadangkala pokok tidak sesuai dengan tanah menyebabkan kadar pertumbuhannya rendah.

Justeru, tanggungjawab diberikan kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Sabah dan Sarawak bagi membantu mengenal pasti pokok sesuai ditanam di tempat tertentu.

Sehubungan itu, dengan memberi fokus kepada pokok sesuai dengan tanah, diharapkan kadar pokok yang hidup adalah tinggi iaitu di sekitar 70 peratus.

Proses penanaman pokok itu mengambil masa lima tahun dan akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh berkenaan di seluruh negara, manakala pemantauannya akan dilakukan Jabatan Perhutanan.

Usaha untuk menanam 26 juta pokok ini bersempena Sambutan Hari Bumi Sedunia yang disambut pada 22 April.

Pelancaran kempen ini juga selari dengan ‘Program Penghijauan Wilayah Persekutuan’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Pelancaran kempen menanam 26 juta pokok akan diadakan di Presint 5, Putrajaya membabitkan kawasan seluas 10 ekar iaitu sebuah kawasan lapang berdepan dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis pelancaran penanam 26 juta pokok dilancar serentak di seluruh negara dengan 500 pokok ditanam di Putrajaya.

Jumlah pokok yang ditanam seluruh negara pada majlis pelancaran yang diadakan serentak itu adalah 16,200 pokok dan penanaman seterusnya akan dijalankan secara berperingkat untuk menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26 juta pokok menjelang akhir kempen berkenaan.

Kempen menanam 26 juta pokok bersempena Sambutan Hari Bumi ini disambut bagi membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap masalah dihadapi oleh bumi. Kesedaran ini diperlukan untuk menyelamatkan bumi supaya kehidupan bumi tidak mengalami kepupusan.

Walaupun usia bumi dianggarkan 3.8 bilion tahun, namun sambutan diadakan pada tahun ini adalah untuk ulang tahun ke-40.

Ekosistem yang tidak stabil menjadikan cuaca yang tidak menentu sekali gus mengakibatkan bumi berdepan kejadian bencana alam dan ancaman keselamatan dan kesihatan manusia yang menurut World Health Organisation (WHO), perubahan iklim global secara langsung atau tidak langsung menyebabkan 77,000 kematian setiap tahun di rantau Asia Pasifik.

Selain sambutan Hari Bumi Sedunia, majlis ini diadakan sempena ‘Tahun Biodiversiti Antarabangsa’ dengan tujuan utama untuk melaksanakan program dan aktiviti yang memberikan pendedahan kepada masyarakat berhubung kepentingan biodiversiti dan tanggungjawab untuk mengurus dan memulihara biodiversiti.

Kepelbagaian biologi atau biodiversiti di negara mega diversiti merangkumi lebih 60 peratus daripada spesies yang diketahui di dunia.

Menyedari kepentingan kerjasama sedunia di dalam usaha pemuliharaan biodiversiti, pemimpin dunia menandatangani Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity-CBD) pada 1992 ketika Earth Summit, Rio de Janeiro, Brazil.

Persidangan CBD ke-7 yang berlangsung di Malaysia pada 2004, menetapkan 2010 sebagai sasaran penurunan di dalam kehilangan sumber biologi. Selaras dengan itu juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Biodiversiti Antarabangsa (International Year Of Biodiversity 2010).

Sehubungan itu, dengan penganjuran pelbagai aktiviti di seluruh negara pada tahun ini, diharapkan masyarakat Malaysia dapat bekerjasama bagi menjamin masa depan berkekalan untuk generasi akan datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

1 ulasan:

  1. salam cikgu,entah dari mana,yang saya pasti ilham dari allah swt.tetiba saya begitu kuatir akan kemusnahan diatas tangan2 manusia bumikita yang tercinta dan rasa berdosa selama ini mengabaikan tentang ketidak perihatinnya saya dan individu lain yg saya tidak pasti begitu wenang2nya membuang sampah sarap dan apa jua bahan yg tidak perlu bagi saya.tetapi saya terfikir kemana perginya minyak hitam 4litre yg telah saya tukarkan dgn yg baru atas kereta saya setiap 5000km pemanduan,ada org bilang direcycle, tapi apa betul dan brapa % dikitar semula.kini saya dapat resolusinya dengan mengurangkan sebanyak 30x ganda pembuangan minyak hitam kereta saya,ini bermakna saya jimat wang,masa dan pasti ada yg lainnya.apa kata dan komen cikgu.emailsaya. wasilah4all@gmail.com

    BalasPadam