Selasa, 6 April 2010

Protokol keselamatan kanak-kanak

Oleh NOR AZIAH JAAFAR

PENJAGAAN kanak-kanak bukan setakat memastikan kebajikan dari segi makan minum serta pelajaran mereka tidak terabai, malah tidak kurang pentingnya adalah menjamin keselamatan mereka agar sentiasa terjaga.

Sebagai insan kecil yang tidak berdaya, kanak-kanak bergantung kepada golongan dewasa terutama ibu bapa atau penjaga untuk menghindari mereka daripada bahaya sama ada yang disebabkan oleh manusia atau persekitaran.

Akal yang belum berkembang sepenuhnya menyebabkan golongan ini tidak berupaya menilai seseorang atau sesuatu situasi sama ada berbahaya atau tidak kepada mereka.

Justeru, membiarkan anak-anak kecil ke kedai atau menaiki lif secara bersendirian bukan satu tindakan bijak kerana ia boleh mendedahkan mereka kepada pencabulan, malah lebih teruk lagi dirogol dan selepas itu dibunuh dan mayat dibuang dengan sewenang-wenangnya.

Kes cabul, liwat atau rogol terhadap kanak-kanak selalunya berlaku kerana golongan itu tidak dapat membezakan sesuatu sentuhan itu bersifat seksual atau sebaliknya.

Jikapun kanak-kanak terlibat tahu perbuatan yang dilakukan terhadap mereka adalah salah, namun mereka mungkin terlalu takut untuk memberitahu ibu bapa kerana diugut atau 'digula-gulakan' dengan sedikit wang atau hadiah.

Di negara-negara maju, terdapat garis panduan atau protokol kelakuan yang perlu dipatuhi orang dewasa ketika berada dalam kalangan kanak-kanak bagi mengelakkan berlaku penderaan terhadap golongan itu.

Institusi-institusi yang berkaitan kanak-kanak seperti pusat jagaan harian serta sekolah perlu mematuhi protokol kelakuan berkenaan dalam operasi masing-masing supaya anak-anak boleh belajar atau bermain dengan selamat.

Sejak beberapa tahun lalu, komitmen terhadap keperluan mewujudkan protokol seumpama itu di Malaysia telah diusahakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam kerangka Dasar dan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak yang diluluskan Kabinet pada 29 Julai 2009, satu set protokol kelakuan ditetapkan untuk diaplikasikan di rumah perlindungan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Faktor keselamatan menjadi keutamaan dalam protokol tersebut yang menetapkan amalan baik dan amalan yang dilarang dilakukan ketika berada dalam kelompok kanak-kanak.

Antaranya, protokol itu menetapkan semua kakitangan, pelawat dan sukarelawan tidak dibenarkan berada bersendirian bersama kanak-kanak di tempat yang sunyi.

Amalan lain yang perlu dipraktikkan adalah menentukan tiada orang dewasa berada di dalam bilik kanak-kanak melainkan mereka yang sedang bertugas.

Dalam keadaan di mana kanak-kanak lelaki dan perempuan dibawa keluar, mereka mesti diiringi oleh kakitangan lelaki dan wanita.

Mengambil gambar mereka pula hanya boleh dilakukan dengan kebenaran Pengarah JKM dan perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Kakitangan juga tidak boleh membawa balik kanak-kanak ke rumah atau berpakaian menjolok mata serta bercakap perkara lucah di hadapan mereka.

Penapisan kakitangan turut dititikberatkan apabila rekod jenayah pemohon diambil kira untuk pengambilan bekerja melibatkan kerjasama dengan pihak polis.

Menerusi protokol berkenaan, JKM mahu mewujudkan persekitaran yang selamat bagi memastikan kanak-kanak tanpa mengira kaum dan agama mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang unsur penderaan bagi menggalakkan perkembangan jasmani, emosi dan mental yang sihat.

Menurut Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM, Nor Amni Yusoff, protokol kelakuan itu akan menjadi panduan kepada semua rumah kanak-kanak di bawah jabatan itu pada sepanjang masa.

Setakat ini, katanya, sebanyak tiga daripada 10 buah rumah kanak-kanak JKM termasuk di Cheras dan Kuantan sudah mengguna pakai sepenuhnya protokol berkenaan dalam operasi mereka dan ia akan diikuti oleh rumah-rumah lain.

Jelasnya, JKM berharap kerangka dasar dan protokol itu menjadi titik tolak kepada pelaksanaan secara menyeluruh oleh institusi-institusi yang berkaitan kanak-kanak di negara ini pada masa akan datang.

''Sebelum kita menggalakkan institusi lain mengguna pakai dasar ini, kita mahu pastikan rumah-rumah perlindungan kanak-kanak di bawah JKM melaksanakannya terlebih dahulu,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, sejak dasar itu diluluskan, JKM sudah mengambil tindakan memberi penerangan kepada tadika dan taska yang dilesenkan oleh jabatan itu mengenai peranan mereka dalam membanteras gejala penderaan kanak-kanak.

''Kerangka ini turut boleh diguna pakai oleh institusi-institusi berkenaan atau dijadikan panduan ke arah mewujudkan protokol atau dasar mereka sendiri,'' katanya.

Menurutnya, kemungkinan juga pelaksanaan dasar berkenaan akan dijadikan syarat kepada tadika dan taska untuk memperbaharui dan memohon lesen baru pada masa akan datang.

Pada tahun ini pula, usaha penerangan ditumpukan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh mengguna pakai protokol berkenaan dan disesuaikan dengan keperluan masing-masing.

''Bagi yang mahu melaksanakan dasar dan protokol ini, mereka boleh menghubungi kementerian,'' jelas Nor Amni.

Langkah yang dilakukan itu semakin membuahkan hasil apabila pelaksanaan dasar itu kini menarik perhatian beberapa syarikat besar untuk melaksanakannya.

Setakat ini, empat syarikat sudah menyatakan komitmen untuk mengaplikasikan dasar berkaitan kanak-kanak itu di syarikat masing-masing, selain syarikat Perladangan Kumpulan Sime Darby Berhad yang sudah melaksanakannya baru-baru ini.

Syarikat-syarikat berkenaan terlibat dalam sektor perbankan, telekomunikasi dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang dijangka menjadi contoh kepada pihak lain untuk turut mengaplikasikan dasar tersebut.

Dengan pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak secara menyeluruh oleh semua pihak di negara ini, masalah penderaan kanak-kanak boleh dibanteras daripada puncanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen