Selasa, 18 Mei 2010

PENGORBANAN GURU TIDAK SAMA WANG RINGGIT

Guru-guru terpaksa menaiki bot penambang ke sekolah di pedalaman Hulu Tembeling di jeti Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini

Oleh Alimuddin Mohd Dom

SEMUA boleh mengajar, tetapi tidak semua guru mampu mendidik. Mengajar dan mendidik dua perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan mempunyai pengertian serta terjemahan tersendiri. Menyandang jawatan guru, tugas mereka bukan saja mengajar, malah yang lebih penting dalam melengkapkan proses pengajaran ialah menyelitkan unsur nasihat. Elemen ini dapat mendidik insan menjadi individu cemerlang akademik dan memiliki sahsiah terpuji.

Proses pendidikan semakin mencabar. Ledakan maklumat pelbagai medium berikutan kecanggihan teknologi maklumat dan telekomunikasi menjadikan tugas guru semakin mencabar, malah rencam. Tidak timbul minat atau paksaan, tugas mendidik tanggungjawab perlu dijayakan bagi memastikan anak bangsa mendapat bimbingan wajar.

Berkongsi pengalaman ketika mengajar di Lumut, saya berhadapan masalah seorang pelajar terpaksa berpindah ke sekolah luar dari Perak disebabkan masalah keluarga. Ketika itu, wujud konflik kerana pelajar itu dalam keadaan terpaksa sedangkan pada tahun sama dia perlu menduduki peperiksaan.

Begitu juga ketika berhadapan masalah pelajar miskin terpaksa datang ke sekolah dalam keadaan serba kekurangan. Sebagai guru, mereka dapat kenal pasti setiap pelajar di kelasnya menerusi sistem maklumat murid. Bagi mengatasi masalah itu, mungkin ada guru sedia menghulurkan bantuan menggunakan wang saku.

Ketika bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Kiri di Tapah Road, laporan kedatangan mendapati seorang pelajar tidak ke sekolah tiga hari berturut-turut. Risau memikirkan keadaan, sebelah petang, saya ke rumah pelajar itu untuk mengetahui mengapa dia gagal ke sekolah.

Sampai di rumah itu didapati keadaan hidupnya terlalu daif. Dia terpaksa membantu ibunya menoreh getah bagi menampung hidup adik beradik ramai yang masih kecil. Pelajar berkenaan perlu menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia.

Peristiwa 1975 itu sungguh mengharukan ketika negara berhadapan kemelesetan ekonomi. Ironinya di sini, tidak semua pelajar yang tidak datang ke sekolah disebabkan malas atau tiada motivasi memajukan diri, sebaliknya banyak sebab menyumbang kepada keadaan itu. Guru perlu peka perkara itu dan mencari jalan mengatasinya. Masalah boleh diatasi dengan pelbagai cara sama ada mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau mencadangkan pelajar untuk mendapatkan biasiswa.

Mengulas isu imbuhan guru tidak setanding tugas dan beban yang terpaksa digalas. Perkara ini memang tidak dinafikan, terutama bagi mereka yang bertugas di pedalaman yang serba kekurangan. Perkara sama juga dibangkitkan guru di bandar besar kerana kos sara hidup yang tinggi sedangkan pendapatannya sama dengan rakan yang mengajar di pekan kecil.

Apabila bercerita imbuhan, ia suatu yang begitu subjektif dan bergantung kepada persepsi individu. Ada guru menerima gaji sama dengan rakan lain, tetapi dia sedia bertugas pagi dan petang bagi menjayakan proses pengajaran dan aktiviti kokurikulum sebagai inisiatifnya untuk melihat pelajar mendapat pendidikan seimbang.

Guru sebegini sedia menghulurkan bantuan kerana pada mereka kerja adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas. Pendidik kelompok ini akan menjadikan tugasan sebagai aktiviti menyeronokkan dan menjadikan hidup mereka gembira setiap kali berada di samping pelajar.

Kita tidak boleh menyamakan pengorbanan guru dengan wang ringgit kerana segala yang disumbangkan itu adalah terlalu berharga dan tidak ternilai. Tugas mulia seorang guru sering dijadikan pedoman masyarakat yang sering mengaitkan anak guru lazimnya seorang yang cerdik, pintar dan pandai.

Jika diteliti secara mendalam, andaian itu memang betul. Jika guru ikhlas lakukan tugas dengan penuh tanggungjawab pastinya anak mereka mendapat berkat. Keberkatan itu dilihat dengan pencapaian cemerlang anak mereka dalam akademik, selain pembangunan sahsiah membanggakan.

Walaupun kerajaan mengemaskinikan pendapatan guru dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mendapat imbuhan setanding penjawat awam lain, pada masa sama, banyak perkara perlu diambil kira terutama kekangan dana apabila berhadapan dalam situasi ekonomi tidak mengizinkan.

Sama ada di bandar, luar bandar malah di pedalaman, tugasan dilaksanakan penuh ikhlas pastinya mendapat kepuasan. Kepuasan melakukan sesuatu itu tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk wang ringgit, penghargaan, pingat, anugerah atau pujian daripada mana-mana pihak, sebaliknya itu adalah hadiah paling berharga daripada guru untuk dirinya sendiri.

Penulis ialah Ketua Pengarah Pelajaran

Sumber : http : www.bharian.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan