Khamis, 6 Mei 2010

Tragedi Aminulrasyid


Oleh : Abd Jalil Ali

Tanpa prejudis, Aminulrasyid Amzah memang telah melakukan satu kesalahan, dan patut dihukum. Pelajar berusia 14 tahun itu memandu sebuah kereta Proton Iswara, di Seksyen 11 Shah Alam, jam dua pagi, 26 April lalu. Kesalahannya ialah memandu tanpa lesen.

Bagaimana dia boleh mendapat kunci kenderaan milik kakaknya, itu tidak penting. Tidak penting juga untuk ditanyakan sama ada ini kali pertama atau kali ke berapa dia ‘mencuri-curi’ memandu. Atau, sama ada ibunya membenarkan dia keluar atau tidak di tengah-tengah malam buta itu.

Malah, tidak perlu pun dihujahkan apakah tujuan dia dan seorang rakan sebaya, Azamuddin, meninggalkan rumah? Atau bagaimana dia boleh berjaga hingga lewat malam sedangkan pagi esoknya dia sepatutnya bersekolah? Anggaplah semua soalan itu tidak relevan.

Hakikatnya ialah dia di bawah umur – baru 14 tahun – dan belum layak mendapatkan lesen memandu. Tidak kira kaya atau miskin, rakyat biasa atau rakyat atasan, orang kampung atau orang bandar, memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan. Jangan persoalkan itu, sebab undang-undang tetap undang-undang.

Kalaulah tidak kerana tragedi lewat malam itu, orang kita selama ini memang tidak kisah sangat mengenai kesalahan memandu tanpa lesen. Masyarakat, khasnya sesetengah ibu bapa, bagaikan lepas tangan dan tutup mata, apabila membenarkan anak-anak memandu walaupun mengetahui mereka tidak mempunyai lesen.

Sepanjang yang berhubung dengan kesalahan memandu tanpa lesen, Aminulrasyid sebenarnya bukan kes terpinggir. Bukan dia seorang. Perangkaan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan bilangan remaja bawah umur yang memandu tanpa lesen terus meningkat setiap tahun. Pada 2007 remaja bawah umur yang dicekup kerana kesalahan ini ialah 940 orang, tahun 2008 (1,190), 2009 (2,034) dan tahun ini, setekad Mac, jumlahnya 374.

Itu jumlah yang berjaya direkodkan menerusi operasi-operasi jalan raya yang dilakukan. Bilangan sebenar remaja bawah umur yang memandu tanpa lesen tentulah jauh lebih tinggi dari apa yang direkodkan. Lihatlah di sekeliling kita, setiap hari kita terserempak dengan kanak-kanak sekolah, termasuk yang masih darjah enam, sudah berani menunggang motosikal. Siapa peduli?

Pendek kata Aminulrasyid telah menokoh lagi bilangan pesalah lalu-lintas kerana memandu tanpa lesen. Fakta itu tidak ada siapa pun boleh mempertikai.

Cuma, ‘hukuman’ yang dikenakan ke atas remaja bawah umur ini tidak setimpal dengan kesalahan lalu-lintas yang dilakukan. Dia ditembak mati oleh polis peronda. 20 das tembakan dilepaskan, dan salah satu darinya tepat menembusi kepala pemandu tanpa lesen itu.

Hukuman itulah yang kini dipertikai oleh keluarga mangsa, juga oleh pihak-pihak lain, termasuk orang-orang politik. Tidak fasal-fasal mereka mendapat publisiti media setiap hari. Di satu pihak ada kesedihan kerana kematian tidak diduga itu. Di pihak lain pula ada publisiti yang boleh diraih dari peristiwa tersebut.

Semua tidak setuju tindakan polis melepaskan tembakan pada malam itu. Tetapi, polis juga mempunyai hujah mengapa peluru terpaksa digunakan. Kereta tersebut cuba merempoh polis, menyebabkan keselamatan anggota beruniform itu terancam. Dalam keadaan tersebut pilihan yang ada ialah tembak.

Tambahan pula kereta tersebut dikatakan bergesel dengan sebuah kenderaan lain, dan telah melanggar beberapa lampu merah ketika dikejar oleh polis sejauh beberapa kilometer. Polis berhak mencurigai pemandu kereta tersebut, lebih-lebih lagi dengan kadar jenayah yang meningkat akhir-akhir ini.

Siapa sahaja boleh membuat apa sahaja andaian – atau tuduhan – mengenai perkara ini. Masing-masing ada fakta untuk menyokong andaian. Tetapi, ini masih kes polis. Biarlah siasatan dilakukan dengan rapi mengikut peraturan yang ada. Tidak ada siapa perlu muncul atau menonjolkan diri sebagai hero dalam kes ini.

Lagi banyak kenyataan dan andaian terbuka dibuat, termasuk dari Azamuddin yang menjadi saksi utama, ia hanya akan mempersulit siasatan. Kenyataan terbuka juga boleh membangkitkan persepsi umum yang mungkin berat sebelah pada pihak-pihak tertentu.

Ada baiknya jangan banyak bercakap. Biarlah siasatan dijalankan tanpa gangguan mana-mana pihak. Tambahan pula pasukan panel khas telah ditubuhkan untuk memantau siasatan ke atas insiden ini. Beri peluang untuk mereka menjalankan tugas, jangan awal-awal menuduh mereka sebagai tidak layak, tidak berwibawa.

Ada cadangan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini. Tetapi, apakah suruhanjaya seperti itu nanti benar-benar dapat memuaskan hati semua pihak? Semua maklum sudah ada banyak Suruhanjaya Diraja untuk beberapa kes sebelum ini. Ternyata hasil siasatan suruhanjaya seperti itu juga akhirnya dipertikai.

Sementara pihak yang berkenaan menjalankan penyiasatan, kita semua boleh memainkan peranan untuk mengelakkan tragedi Aminulrasyid daripada berulang. Salah satu caranya ialah dengan ketegasan untuk tidak membenarkan anak-anak tanpa lesen memandu kenderaan, termasuk motosikal. Malah, mungkin sudah tiba masanya tindakan diambil ke atas ibu bapa atau penjaga yang sengaja merelakan anak-anak memandu tanpa lesen.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan