ISHAK HAJI MUHAMMAD atau Pak Sako kembali ke negeri abadi pada 7 November 1991 di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor. Beliau tidak mahu mati sia-sia, sebagaimana kebanyakan orang. Maka beliau memilih untuk meninggalkan kepada bangsa dan nusa sejumlah pemikiran besar yang sampai sekarang diperkatakan masyarakat dan pemimpin. Dipinjamkan hayat selama 82 tahun, beliau memanfaatkan masa yang diperuntukkan kepadanya dengan berbakti kepada masyarakat dan mempersiapkan bekalnya ke negeri sana.
Lahir pada 14 November 1909, sesiapa pun tidak menyangka beliau akan mencetak aksara namanya yang cukup tebal pada sejarah negara. Beliau adalah "wartawan-sasterawan" yang memahami bidang tugas kewartawanan sebenar, dan membuktikan kepada nusa bangsa bahawa kewartawanan itu bukanlah hanya sekadar melaporkan atau mencatat angka, tarikh, tempat dan buah bicara orang kenamaan dan tersohor sahaja.
Memberi nilai tambah kepada kriteria seseorang wartawan, memiliki jiwa yang seni juga adalah "pre-requisite" kepada bidang tugas ini untuk melayakkan seseorang itu menjadi wartawan yang meletuskan pemikiran dan mampu membuat anjakan paradigma kepada masyarakat dan pemimpin bangsa. Hal ini selari dengan kata-kata Tun Abdul Razak, "Sasterawan adalah propagandis zamannya" dan ujaran Tun Syed Nasir Ismail, "penulis adalah pembentuk dan pemimpin zamannya".
Khamis lalu Kumpulan Utusan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Seminar Pemikiran Pak Sako di DBP. Seminar yang menyoroti pemikiran dan perjuangan Pak Sako mampu membawa generasi baru mengenali seorang nasionalis sekaligus aktivis politik yang memanfaatkan kewartawanan dan kesusasteraan untuk berjuang. Panel pembentang; Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah dan tokoh akademik Datuk Dr. Latiff Bakar.
Dikutip dari seminar ini, Pak Sako secara tidak langsung memperkenalkan kepada dunia kewartawanan gaya "new journalism", di mana fakta dan kreativiti penyampaian mampu menyampaikan hasrat dan berjaya pula menyentuh serta mempengaruhi sasaran. Gabungan kedua-dua kebolehan ini, Pak Sako berjaya menjadi revolusioner dalam bidang kewartawanan, sementelahan pula beliau adalah insan yang memiliki pengalaman kerja dalam pelbagai bidang.
Pak Sako, jolokan kepada nama "Isako-san" yang dipanggil orang-orang Jepun kepada nama Ishak Haji Muhammad giat menulis sekitar tahun 1930-an sehingga 1950-an. Menggunakan pelbagai nama samaran seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pandir Moden, beliau mengandar tiga tugas sekali gus, iaitu sebagai wartawan, sasterawan dan aktivis politik. Sebagaimana A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob dan A. Samad Ismail, Pak Sako menyerap pemikirannya yang melangkaui zaman kepada masyarakat.
Kembara
Tepat sebagaimana pandangan Dr. Latif Bakar yang menyifatkan Pak Sako sebagai wartawan yang bertindak sebagai opinion leader yang banyak mewakili masyarakat melalui tulisannya. Berdasarkan ilmu yang ditimba sepanjang kembara hidup yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum menyertai dunia penulisan, beliau mengenalpasti penyakit masyarakat yang membawa kepada kemelaratan dan kemunduran. Lalu menyuguhkan sejumlah buah fikir yang mampu menjadi vaksin kepada wabak itu.
Pak Sako adalah wartawan yang menyuarakan resah, keluh dan rintih masyarakat. Menepati kata-kata Tan Sri Hamzah Abu Samah bahawa "penulis ialah pengkritik masyarakat", Pak Sako mengangkat suara masyarakat kepada pihak bertanggungjawab lewat tulisannya. Melangkaui bidang tugasnya sebagai wartawan, Pak Sako tampil dengan usul yang bernas, sekaligus bertindak sebagai penggerak intelek.
Selain popular sebagai wartawan, nama Pak Sako sering dikaitkan dengan nasionalis negara berhaluan kiri. Ini berikutan pandangan telus beliau terhadap beberapa isu bangsa yang melibatkan sikap dan sifat orang Melayu.
Menurut Dr. Abu Hassan, Pak Sako selalu mengkritik sikap buruk bangsa Melayu. Pak Sako berpendapat manusia Melayu sangat nasionalis, tetapi orang Melayu jugalah yang mengkhianati bangsa sendiri.
Bagi Dr. Abu Hassan, Pak Sako bukanlah nasionalis dangkal, tetapi beliau sangat sosialis dalam semangat nasionalismenya. Beliau juga sinonim dengan istilah demokrasi partisipasi. Justeru itu, Dr. Abu Hassan mengibaratkan Pak Sako adalah Che Guevara (pejuang rakyat Argentina) menurut istilah orang muda, atau Nelson Mandela bagi golongan tua. Beliau menginfakkan diri dalam perjuangan bermula pada era sebelum merdeka hingga pascamerdeka. Antara siri gagasan yang ingin diperjuangkan oleh Pak Sako ialah penyatuan Melayu Raya yang mana Indonesia, Tanah Melayu dan Brunei disatukan dalam serumpun.
Bagi A. Samad Said, Pak Sako merupakan "orang biasawan" yang sangat prihatin terhadap "orang biasawan". Sepanjang hidupnya, Pak Sako sering tidak berduit, namun kerana harta bukanlah matlamat hidupnya, Pak Sako terus membela nasib bangsa tanpa mengharap timbal balas harta melalui tulisannya. Beliau yang mengenali Pak Sako di Singapura memaklumkan sumbangan Pak Sako banyak didapati dalam majalah Asmara dan Remaja. Pernah juga tulisan Pak Sako disekat daripada disiarkan lantaran kritikan lantang lewat tulisannya.
Pilih kasih
Mengikuti kembara hidup Pak Sako, dapat dikaji bahawa beliau seorang yang berjiwa merdeka. Bosan dengan kerja sebagai pentadbir British dan mendapati hidup sebagai pentadbir British penuh dengan kepura-puraan, pilih kasih dan tidak mempertahankan kepentingan orang-orang Melayu yang dikatakan hendak diberikan perlindungan oleh pihak British, beliau meletak jawatan dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu pada tahun 1934. Beliau menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan kemudiannya menumpukan kepada penulisan, politik nasionalis sehingga dipenjarakan sebanyak dua kali pada 1948 -1953 dan 1965-1966.
Manakala dalam sejarah persuratkhabaran negara, Pak Sako merupakan orang yang pertama bercita-cita menerbitkan akhbar Utusan Melayu dan seterusnya menjadi antara pengasas kepada penerbitan akhbar tersebut. Beliau meninggalkan Warta Malaya dan menjelajah ke Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk berkempen bagi penubuhan syarikat Utusan Melayu. Pak Sako bertugas di Utusan Melayu di bawah pengarang Abdul Rahim Kajai. Semasa pemerintahan Jepun, Pak Sako menjadi pengarang Berita Malai.
Pak Sako yang banyak menghasilkan novel, cerpen, esei dan memoir serta turut menulis rencana untuk akhbar Utusan Melayu. Dua novelnya yang terkenal iaitu Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila mencerminkan pandangan dan cita-cita beliau sebagai patriot dan sasterawan. Dalam karyanya Pak Sako memberatkan kebudayaan Melayu dan mengagungkan budaya Melayu dengan membandingkannya dengan budaya Inggeris yang kurang kualiti dan terlalu agresif.
Pak Sako sempat menyaksikan pengiktirafan negara terhadap jerih-perih yang dilaluinya sepanjang usahanya membela nasib bangsa apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 29 Jun 1973 oleh Universiti Malaya. Pada 29 Mei 1976, Pak Sako menerima anugerah Pejuang Sastera daripada Perdana Menteri.
Namun agak mengecewakan apabila negara "terlepas pandang" kepada Pak Sako dalam pemilihan Sasterawan Negara. Jika di negara lain, insan berjasa seperti Pak Sako sudah pasti dicalonkan negara untuk Anugerah Nobel dalam bidang kewartawanan atau keamanan.
Usaha menganjurkan seminar dan bicara seputar Pak Sako haruslah diteruskan oleh semua pihak kerana Pak Sako berjuang demi masyarakat tanpa mengira bangsa. Inisiatif Kumpulan Utusan menganjurkan Seminar Pemikiran Pak Sako ini sewajarnya dicontohi agar insan yang banyak berjasa kepada nusa bangsa tidak dilenyapkan oleh sejarah.
Sejarah pasti berulangan, justeru buah fikir dan pemikiran Pak Sako adalah rujukan untuk kita menghadapi zaman mendatang. Perjuangan bangsa, pertelingkahan institusi raja dan feudalisme, hak kebebasan bersuara serta isu kejernihan profesion wartawan adalah persoalan yang sentiasa wujud dalam rona hidup manusia.Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan