Selasa, 13 Julai 2010
Roh budaya iqra makin hilang dalam diri generasi muda Islam
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
UMAT Islam kian ketinggalan dalam serba-serbi khususnya aspek ilmu pengetahuan sedangkan umat Islam dulu yang menjadi pelopor dan peneroka menggali pelbagai ilmu sehingga mencetuskan era keemasan dunia Islam.
Seruan iqra sudah longgar daripada penghayatan sanubari Mukmin. Yang tinggal hanya semangat mengejar ilmu ketika di bangku sekolah atau di universiti. Penekanan pula berlegar kepada hendak lulus peperiksaan dan mendapat segulung ijazah.
Jika melihat kembali sejarah tamadun Islam peringkat awal, aktiviti mencari ilmu sama ada melalui pembacaan buku atau penyelidikan menjadi sebati dan satu kemestian.
Masa banyak dijuruskan kepada bagaimana merungkai sesuatu permasalahan hidup sehingga menemui ilmu pengetahuan baru sekali gus menerbitkan semangat mengkaji yang tinggi. Keupayaan daya kreativiti dan amalan budaya inovasi juga adalah senario umat Islam terdahulu.
Kini, minda umat Islam seakan-akan lumpuh. Mereka tidak berupaya bangun menggilap kembali semangat mencari ilmu pengetahuan. Sebagai umat terbaik dan dilingkungi seruan iqra seharusnya kelesuan budaya mencintai ilmu tidak ditenggelamkan begitu saja.
Generasi muda Islam banyak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak bermanfaat. Ramai hanyut dengan anasir hiburan melampau, aktiviti merempit sehingga merimaskan masyarakat awam, penyalahgunaan dadah terlarang dan pelbagai gejala buruk lain.
Keadaan ini akan merencatkan pembangunan minda umat Islam. Tidak mustahil kita akan terus-terusan ketinggalan dalam arus pembangunan moden dunia. Kadar pembacaan yang rendah akan membeku tahap pemikiran untuk membina suatu umat perkasa daripada segi kehebatan tamadun.
Nampaknya roh budaya iqra tidak kukuh dalam diri generasi muda umat Islam. Sebaliknya, apa yang membiak subur ialah gejala menghabiskan masa sewenang-wenangnya dan kreatif yang negatif seperti hedonisme serta vandalisme.
Inilah gejala yang mewarnai corak hidup segelintir muda mudi Islam yang terus menghabiskan masa dan tenaga dalam aktiviti tidak bermanfaat. Apakah kebanggaan kita seandainya angka statistik jenayah kebanyakan membabitkan anak muda Islam?
Pada masa sama, bangsa lain terus memperkembangkan minda dan memperkaya ilmu pengetahuan. Begitu mudahnya anasir gejala asing khususnya dari Barat menerobos jiwa serta hati anak muda sehingga mereka tidak mampu mempertahankan maruah bangsa dan agama.
Inilah akibat apabila pegangan agama tidak kukuh dan amalan budaya bangsa diketepikan. Langkah pembetulan menjadi semakin sangat diperlukan dalam kadar segera supaya situasi merunsingkan itu tidak berpanjangan menimpa anak muda Islam.
Islam mengajak umatnya menggunakan akal berfikir secara rasional dan menolak sikap menerima sesuatu atas dasar ikutan membuta tuli atau secara warisan. Allah menurunkan al-Quran sebagai panduan lengkap umat Islam ke arah kehidupan yang benar.
Islam sangat menekankan budaya iqra atau budaya keilmuan. Firman Allah bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah: 11).
Tuntutan mencari ilmu pengetahuan tidak terhenti kepada ilmu agama dan umat Islam diwajibkan menggilap akal mengkaji serta mencari ilmu pengetahuan duniawi yang akan memberi faedah kepada manusia, menjadi elemen pemangkin kepada bangkitnya kemajuan ummah.
Bangsa Jepun dan Korea mampu muncul menjadi bangsa yang kuat dari segi ekonomi sekali gus menjadi negara maju kerana masyarakatnya sangat mencintai budaya keilmuan.
Imam Syafie ada mengatakan: “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh.”
Umat Islam masih mampu mengungguli tamadun dunia jika generasi muda Islam memaksimumkan penggunaan masa secara efektif dengan budaya membaca dan rajin meneroka ilmu pengetahuan.
Kesungguhan yang tinggi akan menjadi faktor berjaya atau tidaknya kita umat Islam memacu kejayaan. llmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai cabang akan memartabatkan maruah ummah dan ini akan memercikkan imej positif kepada agama, bangsa dan negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan