Sabtu, 4 September 2010

Langkah Menangani Kemalangan Menjelang Lebaran

Oleh AHMAD ZAKI MOHD. HASSAN

Seperti saban tahun yang lalu, hari Lebaran pasti menjelang tiba pada setiap 1 Syawal. Kampung-kampung akan meriah menerima kunjungan anak perantauan yang pulang ke desa. Pesta balik kampung berulang kembali.

Rata-rata sambutan 1 Syawal di Malaysia sentiasa meriah. Hakikatnya, tidak semua suasana ini dirasai khususnya kepada mereka yang keluarganya terlibat dengan kecelakaan jalan raya, lebih-lebih lagi yang mengundang maut.

Telah menjadi trend apabila bermulanya musim perayaan dan diikuti dengan aktiviti pulang ke kampung, maka perkara ini akan berulang. Banyak bicara daripada pelbagai peringkat masyarakat memberi pandangan dan pendapat, bermula daripada menteri sendiri sehinggalah perbincangan di kedai-kedai kopi. Namun yang nyata apabila menghampiri Syawal, akan terpampang di dada-dada akhbar berita-berita kemalangan yang menyayat hati.

Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh Environmental and Prognosis Institute, Heidelberg Jerman, dianggarkan sebanyak 50 juta penduduk dunia akan mati dan 1.1 bilion akan mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya iaitu antara tahun 1995 hingga 2030 sekiranya masalah ini tidak ditangani segera.

Sebanyak 138,889 purata kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya setiap tahun akan dicatatkan di seluruh dunia. Ini termasuklah negara kita sendiri yang menyumbang sebanyak 6,232 kematian setiap tahun secara purata bermula dari tahun 2000 hingga 2009 (maklumat dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan mengakibatkan negara kita kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa, punca kematian disebabkan kemalangan jalan raya di negara kita berada pada kedudukan kesembilan dalam senarai 100 penyebab kematian. Ia akan meningkat ke kedudukan keenam menjelang tahun 2020 sekiranya masalah ini tidak ditangani secara serius.

Kajian yang dijalankan oleh Transport and Road Research Laboratory (TRRL) menunjukkan bahawa peratusan punca kemalangan disebabkan pengguna jalan raya adalah sebanyak 94.75 peratus (%). Di Malaysia, kajian menunjukkan 95% kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu dan statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 50% mangsa kemalangan terdiri daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Mereka ini merupakan golongan peringkat usia yang paling produktif dan berpotensi dari segi tenaga kerja. Mereka mempunyai tempoh masa antara 20 hingga 35 tahun lagi untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Prihatin dengan situasi ini, kerajaan telah menubuhkan JKJR dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalan raya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu 10 kematian setiap 100,000 penduduk, dua kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan 10 kematian setiap satu bilion kilometer perjalanan kenderaan.

Jabatan ini diwujudkan dengan objektif sebagai 'One Stop Agency' bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalan raya dari aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran. Penubuhan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 3 Januari 2007 juga memberi sumbangan dari segi kajian untuk penjanaan dan penyebaran maklumat tentang keselamatan jalan raya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah melaksanakan pelbagai modus operandi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Pelbagai Ops telah dibuat termasuklah Ops Pacak, Ops Sikap dan Ops Statik.

Berdasarkan statistik PDRM, purata 18 kes kematian sehari dicatatkan pada hari-hari biasa, berbanding purata kematian semasa Ops Sikap 1 yang mula dilancarkan pada 9 Disember 2001 sehingga Ops Sikap ke-21 yang berakhir pada 20 Februari 2010 kepada 13.4 kematian sehari.

Ini membuktikan bahawa kempen keselamatan jalan raya pada musim perayaan dan usaha kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani masalah ini telah membawa impak yang positif. Ini kerana purata kematian sehari semasa musim perayaan dapat diturunkan walaupun kepadatan trafik meningkat dua kali ganda semasa musim perayaan.

Pelbagai kaedah turut diimplimentasikan, antaranya penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster dan kempen kesedaran termasuk penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pernah menyarankan agar kaedah pemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan semula bagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman disenaraihitamkan.

Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Penggunaan kaedah berkenaan dilihat antara kaedah berkesan dalam menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurut Nooryah, jumlah kematian akibat kemalangan di Perancis hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Selain usaha kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan adalah melalui pendidikan. Pujangga pernah berkata 'Kenyataan hari ini adalah impian semalam, impian hari ini adalah kenyataan hari esok'. Jika kita berhasrat melahirkan pemandu-pemandu yang berhemah dan berakhlak pada masa akan datang, inilah masanya untuk bertindak bermula dari akar.

Pendidikan jalan raya perlu diterap seawal usia. Memang diakui kaedah ini akan mengambil masa, namun semua pihak harus bersabar dan berlapang dada kerana hasilnya akan kita tuai pada masa akan datang. Menyahut cabaran ini, Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih dianggap tepat dan diharap ia akan dapat membantu memberi kesedaran dan pandu arah untuk melahirkan pemandu yang berhemah dan berakhlak di peringkat yang lebih awal lagi.

Tidak terhenti di situ, program keselamatan jalan raya juga dilaksana melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia. Ini menunjukkan keprihatinan pelbagai pihak bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.

Diharapkan agar slogan 'Anda Mampu Mengubahnya' menjadi pemangkin dan peringatan kepada semua pengguna jalan raya menjelang Aidilfitri ini.

Penulis ialah Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran, Kolej Komuniti Gerik, Perak.

Sumber : http : //www. utusan .com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan