Khamis, 30 September 2010
MEGAH GUNA BAHASA KEBANGSAAN
PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) berkongsi pandangan dan bersetuju sepenuhnya dengan rencana Datuk Rejal Arbee dalam Berita Harian, Khamis 23 September.
Itulah juga sebenarnya pendirian PLM sejak sekian lama penubuhannya dan tanpa bermusim. Perlu diingat bahawa bahasa Melayu bukannya bahasa kebangsaan orang Melayu seperti tanggapan pihak tertentu seperti zaman sebelum merdeka tetapi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia yang sudah 53 tahun merdeka.
Sememangnya apa saja acara atau majlis peringkat kebangsaan dan membabitkan mana-mana pemimpin korporat, hatta menteri sepatutnya menghormati bahasa kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan, atur cara, buku program, bahan cetakan, pengumuman dan sebagainya.
Seperti yang pernah dinyatakan PLM menganggap sesiapa saja yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam acara rasmi di negara ini, mereka sebenarnya memang dapat dianggap tidak patriotik kerana tidak menghormati bahasa rasmi negara ini seperti dalam semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan tidak memiliki rasa megah akan bahasa kebangsaan berkenaan.
Jika benar mereka pemimpin menghormati dan punya rasa megah bahasa terhadap bahasa kebangsaan negara sendiri (bukan bahasa negara lain), mengapa mereka tidak gunakan dalam majlis itu, temu bual dan sebagainya?
Apakah antara unsur penting yang membentuk negara ini atau dapat dianggap jati diri negara ini, membezakan negara ini daripada negara lain selain budaya dan sebagainya?
Tentulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi antara unsur penting berkenaan. Lima puluh tiga tahun satu tempoh sangat panjang.
Di manakah negara lain di dunia ini yang warga negaranya tidak fasih atau tidak menghormati bahasa kebangsaannya sendiri dapat kita temui?
Kita dapat menemuinya di beberapa negara termasuk di Afrika Selatan yang masih mengagungkan bahasa penjajahnya sekalipun mereka tetap terkenal sebagai negara miskin dan mundur.
Fasih berbahasa Inggeris atau bahasa lain seperti bahasa Jepun, bahasa Arab, bahasa Perancis adalah suatu kelebihan yang amat kita perlukan dan manfaatkan. Tetapi sesuatu yang tragis dan aneh sekali jika pada masa sama individu warga berkenaan tergagap-gagap atau tidak pun berusaha untuk fasih bahasa kebangsaan negara ini.
Sudah sampai masanya pemimpin kita menjadi model bahasa dan pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertindak tegas terhadap sesiapa saja yang tidak menghormati bahasa kebangsaan dalam apa-apa juga majlis rasmi di negara ini sama ada syarikat gergasi atau kecil, orang biasa atau menteri.
Jika tidak jadilah negara ini seperti dipesankan oleh pepatah Melayu dulu: sepuluh jong lalu, anjing bercawat ekor juga.
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan