Ahad, 31 Oktober 2010

ISU PENDIDIKAN : Mengapa generasi muda tidak celik sejarah?

Terima atau tidak isu generasi muda buta sejarah adalah berpunca daripada "kecuaian" kita selama ini. Sebahagian daripada mereka buta sejarah lantaran golongan dewasa yang memiliki kuasa telah mengabaikan sejarah.

Pepatah lama telah mengingatkan kita bagaimana acuan begitulah hasilnya. Hakikat ini perlu diterima meski pun pahit untuk ditelan.

Hasil soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini terhadap 200 responden berusia dari 16 hingga 51 tahun perlu dijadikan momentum untuk kita kembali menyemak sejauh mana keberkesanan mata pelajaran Sejarah yang diajar selama ini di sekolah.

Menyalahkan golongan yang dilabel sebagai buta sejarah iaitu kelompok usia di bawah 30 tahun iaitu antara 16 dan 20 tahun seperti yang didedahkan dalam hasil soal selidik tersebut adalah ibarat meludah ke langit kena ke muka kita sendiri.

Walhal, penekanan kita terhadap sejarah tokoh, hari, tempat, peristiwa dan negara selepas bangku sekolah begitu kurang diberi perhatian. Jadi, bagaimana proses sosialisasi masyarakat terhadap sejarah dan jati diri tanah air dapat mengakar umbi dalam akal budi bangsa Malaysia?

Jika di negara luar seperti di Thailand, lagu kebangsaan dinyanyikan di dalam pawagam sebelum filem diputarkan. Mengapa di negara ini tidak?

Barangkali isu ada antara rakyat kita terutama generasi muda tidak tahu nama lagu kebangsaan dan nama bendera seperti yang diperoleh dalam soal selidik tersebut sudah tidak timbul lagi pada masa akan datang jika kita telah lama mengikut jejak Thailand.

Ini kerana kita pun tahu kelompok yang ramai mengunjungi pawagam terdiri daripada golongan muda.

Jika nama Perdana Menteri Malaysia dan cogan kata negara pun tidak tahu, apatah lagi agaknya tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun soal selidik tidak bertanyakan secara langsung tentang tahap penguasaan bahasa kebangsaan tetapi kita sedia maklum akan parahnya rakyat Malaysia hari ini yang tidak fasih dalam bahasa kebangsaan.

Usah kita lupa asas dan jati diri sesebuah bangsa yang maju terletak pada keperkasaan bahasanya. Persoalannya, adilkah untuk generasi muda dipersalahkan dan dilabel buta sejarah jika persekitarannya tidak memperlihatkan keperkasaan bahasa kebangsaan itu sendiri?

Sepanjang bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan pun, penggunaan bahasa milik semua kaum di negara ini disepak ke tepi. Berbeza di negara lain Jepun misalnya begitu mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka terlebih dahulu walaupun dalam program bertaraf dunia seperti yang dapat kita perhatikan dalam Kejohanan Tenis Antarabangsa ATP World Tour di negara Matahari Terbit itu baru-baru ini.

Lain pula halnya di Malaysia. Buku tentang sejarah negara pun dalam bahasa Inggeris. Malah, seminar atau ucapan pun sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris meskipun sebahagian besar adalah rakyat negara ini.

Jadi, jika golongan dewasa termasuk kalangan ahli politik, perniagaan dan ahli akademik pun tidak menghormati asas sejarah jatuh bangun sesebuah bangsa, apakah yang kita hendak harapkan pada generasi muda untuk celik sejarah ?

MOHD ARIF ATAN

Bandar Baru Bukit Beruntung, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan