Jumaat, 19 November 2010

ISU BAHASA : Bangga orang Vietnam berbahasa Melayu



PENGALAMAN saya sewaktu berada di Vietnam baru-baru ini menambahkan kebanggaan saya terhadap bahasa kebangsaan kita. Apakan tidaknya, sewaktu berada di pasar atau di restoran halal, peniaga menyapa kita dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita.

Sehinggakan kita menjadi ragu-ragu, adakah mereka ini orang Malaysia kerana raut wajah mereka juga boleh dikatakan raut wajah Melayu, Cina atau India Muslim. Nyatanya tidak. Mereka Vietnam jati tetapi berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu dengan begitu baik sekali.

"Marilah, kak. Nak cari apa?" adalah antara kata-kata yang telah diungkapkan oleh pekedai-pekedai sewaktu melihat rombongan kami menghampiri kedai-kedai mereka. Saya tersenyum dengan rasa bangga.

Apa yang lebih membanggakan sebenarnya mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Alangkah bangganya apabila mendapati bahasa Melayu telah diguna pakai oleh bangsa lain, di negara lain.

"Saya belajar bahasa Melayu," kata salah seorang pekerja restoran yang kami singgah semasa menikmati makan tengah hari. Saya tersenyum. Mereka belajar bahasa Melayu. Belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik sekali.

Malangnya senario ini agak berbeza di negara kita sendiri. Ada antara warganegara kita ini yang tidak pandai berbahasa Melayu. Sedangkan mereka ini sepanjang hidupnya dihabiskan di negara ini. Mereka tidak tahu berbahasa kebangsaan.

Alangkah malunya.


Dr. Dahlia Dahnil

Bandar Baru Selayang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen