SYABAS dan sekalung tahniah kepada pasukan kebangsaan Malaysia ‘Harimau Malaya’ kerana berjaya mengharumkan nama negara selepas menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun. Kejayaan ini lebih manis selepas mengalahkan Indonesia di gelanggang mereka sendiri di Stadium Gelora Bung Karno, malam kelmarin dengan agregat 4-2. Di sebalik semua tekanan, provokasi dan cemuhan daripada segelintir penyokong Indonesia yang fanatik, kesebelasan pemain dapat mempersembahkan permainan yang mantap dan menarik. Kita bangga pasukan negara dibarisi pemain muda yang rata-rata berusia di bawah 23 tahun dapat menyerap tekanan dan serangan psikologi pihak lawan sepanjang tempoh 90 minit masa permainan. Sememangnya, bukan mudah untuk berhadapan lawan di gelanggang mereka sendiri, apatah lagi dengan sorakan kira-kira 95,000 penonton yang amat mengharapkan kemenangan pasukan mereka. Provokasi sebenarnya sudah bermula di luar padang, termasuk di hotel penginapan ketika pemain negara sedang menjalani latihan. Kemenangan itu membuktikan bahawa pasukan negara tidak hanya jaguh kampung atau hebat di gelanggang sendiri, malah tidak gentar atau gerun walaupun terpaksa berhadapan di gelanggang lawan. Kita bangga dengan kecekalan dan keberanian pemain berdepan dengan situasi sedemikian yang tidak mungkin dapat dicapai tanpa latihan fizikal dan mental yang terbaik. Tahniah juga kepada pengendali skuad kebangsaan, K Rajagobal selaku jurulatih yang dapat menyusun strategi dan merancang permainan dengan berkesan. Kerjasama berpasukan yang ditunjukkan pemain juga hebat dengan ketangkasan melancarkan serangan balas, walaupun diasak bertali arus oleh pasukan lawan. Tanpa bimbingan jurulatih dan kesanggupan pemain menerima arahan tidak mungkin sesebuah pasukan dapat bermain dengan baik dan mencapai kejayaan, seterusnya menjuarai piala itu.
Justeru, kemenangan pasukan Malaysia bukan setakat mengakhiri kemarau kejuaraan piala itu selama 14 tahun, tetapi melampaui segala-galanya, terutama bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara yang dicapai pada era 60-an dan 70-an. Ketika itu, Malaysia antara pasukan digeruni di rantau Asia, malah setanding dengan pasukan Korea Selatan dan Jepun yang sudah beberapa kali beraksi di pentas Piala Dunia. Kita mahu pasukan kebangsaan setanding dengan pasukan negara berkenaan mahu pun menjadi lebih baik. Sesungguhnya kejayaan pasukan kebangsaan tidak akan bererti tanpa sokongan padu penyokong setia tempatan. Sudah terlalu lama kita tidak melihat sokongan rakyat kepada pasukan Malaysia seperti yang ditunjukkan sepanjang Piala Suzuki AFF 2010 berlangsung. Jika pasukan negara bermain dengan cemerlang dan menunjukkan daya juang yang tinggi serta tidak mengenal putus asa mencari gol kemenangan, tidak ada sebab peminat tidak kembali memberi sokongan padu dan memenuhi stadium. Apapun, kita berharap pemain pasukan negara tidak leka dibuai mimpi indah berikutan pelbagai pujian dan ganjaran yang dihamburkan. Kemenangan itu sewajarnya menjadi pemangkin kepada mereka untuk berusaha lebih keras mengekalkan prestasi. Mereka tidak sewajarnya lupa diri, sombong, angkuh atau terperangkap dalam dunia glamor yang memusnahkan fokus terhadap kerjaya mereka dalam sukan ini. Apapun, sekali lagi syabas dan tahniah kepada pasukan Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mampu membawa pasukan bola sepak negara ke tahap yang membanggakan ini.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan