Ahad, 12 Disember 2010

ISU ALAM SEKITAR : Masalah kutipan sampah tonjol kelemahan pengurusan sisa pepejal

Oleh : Syed Azwan Syed Ali

LEBIH 10 tahun lalu, rakyat di negara ini menghasilkan kira-kira 15,000 tan sampah sehari dan jumlah itu jika dikumpulkan selama 10 hari mampu menjadi satu lagi Menara Berkembar Petronas.

Menjelang 2020, jumlah sampah dijana, dijangka mencecah 30,000 tan sehari ekoran peningkatan jumlah penduduk yang kini melebihi 28 juta orang.

Perkembangan itu pastinya memendekkan jangka hayat 176 tapak pelupusan sampah beroperasi di negara ini dan keadaan diburukkan lagi jika tahap kitar semula di kalangan rakyat masih di takuk lama, sekitar lima peratus.

Kepesatan ekonomi menyebabkan persaingan guna tanah semakin sengit walhal lebih 90 peratus daripada tapak pelupusan sedia ada adalah kawasan pembuangan sampah terbuka dengan jangka hayat maksimum lima tahun.

Bermakna, menjelang 2015, pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal berdepan dengan masalah mencari tapak membina kawasan pelupusan baru untuk ‘menguruskan’ sampah yang semakin banyak dihasilkan dari tahun ke tahun.

Persoalannya, adakah kita akan terus berkompromi dengan sistem sedia ada yang bergantung kepada mekanisme tapak pelupusan dan memerlukan tanah luas atau mengguna pakai sistem pengurusan sampah bersepadu seperti diamalkan di negara maju?

Bagi pakar pengurusan sisa pepejal Universiti Malaya, Prof Dr P Agumuthu, kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali menguatkuasakan segera Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang tertangguh sejak tiga tahun lalu.

Katanya, fakta hanya kurang 10 peratus daripada 176 tapak pelupusan sampah adalah tapak pelupusan sanitari yang mesra alam dan selamat, membuktikan keadaan tapak pelupusan sampah negara sebenarnya serius dan tenat untuk jangka panjang.

“Kita perlu penyelesaian jangka panjang lebih efektif. Akta 672 perlu dikuat kuasa secepat mungkin,” katanya kepada Berita Harian.

Saintis alam sekitar itu berkata, penguatkuasaan akta akan membolehkan kerajaan persekutuan mengambil alih pengurusan sisa pepejal negara yang kurang berkesan di bawah selenggaraan PBT.

Katanya, negara juga memerlukan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu seperti diamalkan di negara maju seperti Jepun yang mempunyai lebih 2,000 insinerator dan tapak pelupusan untuk melupuskan sampah dihasilkan.

“Mungkin kita perlu menimbangkan menggunakan insinerator yang sesuai untuk membakar sampah, manakala tapak pelupusan hanya digunakan untuk melupuskan (sisa dibakar di insinerator) seperti di Jepun,” katanya.

Sebelum ini, beberapa insinerator berskala kecil dibina di beberapa pulau, tetapi gagal beroperasi dengan berkesan kerana gagal menampung jumlah sampah dijana selain tidak kos efektif.

Banyak pihak menyifatkan perkara itu berlaku ekoran kegagalan melakukan kajian terperinci mengenai komposisi sampah di negara ini yang mempunyai kandungan air tinggi (45 peratus sisa dihasilkan rakyat negara ini adalah sisa makanan) menyebabkan ia memerlukan tenaga tinggi untuk membakar sampah terbabit.

Sumber industri berkata, kelemahan pengurusan sisa pepejal negara ini dapat dilihat melalui masalah kutipan sampah dan isu pembuangan sampah haram yang sering dilaporkan media tempatan, sehinggakan ia menjadi masalah rutin di beberapa kawasan.

Masalah kutipan sampah, misalnya didakwa dikaitkan dengan kegagalan sebilangan PBT membayar kepada syarikat konsesi yang kemudiannya gagal membayar kepada kontraktor diupah mengikut jadual menyebabkan berlaku gangguan dalam rutin kutipan sampah di kawasan perumahan.

Ini menerangkan kenapa mutu perkhidmatan pengurusan sampah berbeza mengikut kawasan PBT kerana tidak diseragamkan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan hutang PBT kepada syarikat konsesi sejak 13 tahun lalu mencecah RM348.6 juta dan pihak terbabit diminta menjelaskan hutang tertunggak itu sebelum kerajaan pusat mengambil alih pengurusan sisa pepejal negara.

Tunggakan hutang itu bukan saja menjejaskan mutu perkhidmatan kepada pengguna malah menjejaskan usaha syarikat konsesi terbabit menaik taraf secara berperingkat tapak pelupusan sampah sedia ada bagi memanjangkan jangka hayatnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan