Isnin, 13 Disember 2010

ISU PENDIDIKAN : Langkah sediakan guru pembantu mampu tingkat prestasi pelajar

MASALAH beban tugas guru bukanlah perkara baru, namun ia kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bebanan tugas yang berlebihan dikatakan bukan saja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain terbabit dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Semua itu, membantutkan usaha golongan pendidik ini untuk memberikan sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan pertengahan tahun ini bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. Satu makmal khas turut diwujudkan dengan menjemput guru dan pengetua untuk mengatasi masalah itu, selain pergi ke sekolah untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada pihak guru sendiri. Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 itu yang didedahkan kepada umum kelmarin, mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Selain itu, jawatankuasa itu turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Justeru, apabila cadangan laporan itu dilaksanakan kelak, kita harap ia mampu menangani masalah beban tugas berlebihan yang dihadapi guru di setiap sekolah seluruh negara. Kita percaya Kementerian Pelajaran sudah mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan cadangan laporan itu agar tidak timbul masalah lain, termasuk dari segi kos operasi di sekolah kerana ia tentunya memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan. Bagi memastikan pelajar mendapat manfaat dan meningkatkan kualiti pencapaian mereka, Kementerian Pelajaran harus melaksanakan cadangan laporan itu dengan bijaksana, teliti dan berkesan. Pembahagian tugas antara guru kelas dan guru pembantu perlu dilaksanakan dengan bijak agar tidak berlaku pertindihan. Dengan berkurangnya beban kerja, kita harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara. Sebab itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Kita percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan