Isnin, 3 Januari 2011

ISU ALAM SEKITAR : Kesedaran semua pihak kunci utama pulihara alam sekitar

PENGGUNAAN pelbagai bahan yang sukar dilupuskan dalam kehidupan harian kita menyebabkan timbul masalah pencemaran dan pemuliharaan alam sekitar. Antara bahan itu, terutama plastik yang mengikut kajian mengambil masa bertahun-tahun, malah ratusan tahun untuk dilupuskan. Kaedah pelupusan bahan itu yang tidak sistematik menyebabkan alam sekitar semakin teruk tercemar.

Malah, keadaan menjadi lebih serius jika bahan itu bersama kandungan sampah sarap lain meresap ke dalam bumi dan boleh menyebabkan sumber air tercemar.
Penggunaan beg plastik secara berlebihan dan tidak terkawal turut menjadi punca utama sisa pepejal isi rumah di negara ini tidak dapat diuruskan dengan baik. Walaupun, pelbagai program dilaksanakan kerajaan, termasuk kitar semula namun ia kurang mendapat sambutan.
Justeru, antara langkah yang diambil berkuat kuasa kelmarin, iaitu memastikan semua pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negara tidak lagi dibekalkan beg plastik percuma jika membeli-belah pada setiap Sabtu. Jika masih memerlukan beg plastik, pelanggan akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg digunakan. Langkah itu diambil selaras dengan kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik dan Hari Tanpa Beg Plastik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Wang yang dikumpul menerusi caj dikenakan itu akan disimpan dalam dana khas bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan kepenggunaan serta kemasyarakatan, terutama yang memberi fokus ke arah pemuliharaan alam sekitar. Justeru, kita amat berharap langkah itu mampu mengurangkan penggunaan beg plastik, sekali gus dapat memastikan alam kita terus terpelihara.

Apapun kita berpendapat langkah itu wajar diperluas iaitu menjadikan setiap hari sebagai hari tanpa beg plastik kerana impaknya juga menjadi lebih besar. Jika lebih ramai pengguna tidak menggunakan beg plastik atau mengharamkan terus penggunaannya ia pasti dapat mengatasi masalah pencemaran yang berlaku ketika ini.

Namun, pada masa yang sama, kita percaya penggunaan beg plastik semata-mata bukanlah masalah utama, tetapi cara pelupusan bahan berkenaan memberi impak kepada alam sekitar dan kepentingan manusia. Beg plastik akan menjadi ancaman jika tiada perancangan teliti mengenai pembuangan bahan berkenaan.

Kita percaya langkah itu hanya sebahagian kecil atau satu permulaan daripada usaha untuk mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal yang dihadapi negara ini sekarang. Kita khuatir caj 20 sen dikenakan mungkin tidak membawa sebarang makna kerana barangkali masih ramai pengguna yang sanggup membayarnya dan ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Orang ramai juga wajar digalakkan membawa beg sendiri atau diberikan alternatif oleh pihak pasar raya dengan disediakan beg kertas lebih mesra alam. Justeru, aspek lebih penting yang perlu ditekankan adalah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan alam sekitar. Pelbagai langkah atau dasar yang dilaksanakan tidak akan berguna jika kesedaran orang ramai masih rendah.

Kita tentunya tidak mahu melihat beg plastik dan sampah lain dibuang di merata-rata tempat, mahupun ke dalam sungai sehingga menyebabkan sumber bekalan air terjejas. Kita mahu melihat semua pihak memainkan peranan masing-masing ke arah menjaga alam sekitar sama ada kerajaan, orang ramai khususnya pengguna dan peniaga. Kita mahu alam sekitar dalam keadaan terbaik untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan